Sabtu, 14 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Sumbang empat tan pakaian

Posted: 13 Dec 2013 10:11 AM PST

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

ZULFITRI Yaccob (tengah) dan Rosliza Hasan (kanan) melihat pakaian terpakai untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Bangunan UMNO Kubang Pasu di Kedah, semalam.

KUBANG PASU 13 Dis. - UMNO Bahagian Kubang Pasu mengumpul kira-kira empat tan pakaian terpakai untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Johor.

Timbalan ketuanya, Zulfitri Yaccob berkata, pengumpulan pakaian itu hasil inisiatif pergerakan Puteri UMNO bahagian berkenaan yang melancarkan program kutipan sejak empat hari lalu.

Katanya, program tersebut melibatkan 160 cawangan UMNO bahagian tersebut, selain sumbangan pihak persendirian.

"Pakaian terpakai yang dikumpul ini akan dihantar ke pejabat Badan Perhubungan UMNO Kedah esok sebelum disalurkan kepada mangsa banjir di tiga negeri.

"Jika masih ada pihak yang ingin menderma, pihak kami masih menerimanya dalam tempoh seminggu lagi," katanya ketika ditemui semasa membantu kerja membungkus kotak bantuan pakaian untuk mangsa banjir di pekarangan bangunan UMNO Bahagian Kubang Pasu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO bahagian tersebut, Rosliza Hasan berkata, pihaknya menjalankan program berkenaan kerana prihatin dengan nasib mangsa banjir, di samping mampu memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa bantuan boleh diberi dalam pelbagai bentuk walaupun tanpa wang ringgit.

Katanya, sambutan terhadap terhadap program itu di luar jangkaan sehingga pihaknya terpaksa membuka dua lagi pusat pengumpulan pakaian terpakai yang didermakan di Kampung Seberang di sini.

"Pakaian yang disumbangkan ini terlebih dahulu diasingkan kepada empat kategori iaitu lelaki, wanita, kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Kita juga membuat pilihan supaya pakaian yang benar-benar boleh dipakai sahaja akan dihantar untuk keperluan mangsa banjir di sana," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penderma, Abdul Rahman Aziz, 27, berkata, selepas mendapat maklumat tentang program berkenaan menerusi laman sosial Facebook, dia mengeluarkan pakaiannya yang sudah tidak dipakai tetapi masih dalam keadaan elok untuk didermakan.

Peniaga itu berkata, dia bersimpati dan mahu berkongsi kesusahan rakyat negara ini yang dilanda musibah banjir dengan memberi sumbangan setakat termampu.

UEM Sunrise agih pakaian, peralatan sekolah bantu Orang Asli

Posted: 13 Dec 2013 10:11 AM PST

SAMSUDDIN Abu Hassan (tengah) bersama kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Sungai Geroyang dan Kampung Sungai Merbau yang menerima sumbangan pada 'Program Kembali ke Sekolah' anjuran UEM Sunrise Berhad di Tapah, Perak, semalam.

IPOH 13 Dis. - Pemaju hartanah terkemuka, UEM Sunrise Berhad menyumbangkan bantuan pakaian dan peralatan sekolah kepada 53 pelajar Orang Asli dari Kampung Sungai Geroyang dan Kampung Sungai Merbau di Tapah dekat sini hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat UEM Sunrise, Nik Surina Suria berkata, bantuan itu disalurkan di bawah program 'Kembali ke Sekolah' dan diserahkan kepada pelajar Orang Asli yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Menurutnya, objektif utama program ini adalah untuk meringankan beban keluarga pelajar berkenaan bagi penyediaan keperluan persekolahan untuk sesi 2014 tidak lama lagi.

"Program 'Kembali ke Sekolah' ini merupakan program kedua tanggungjawab sosial korporat kami di Tapah tahun ini. Bulan lalu kami menyumbangkan derma berjumlah RM18,400 kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darul Aitam di Tapah.

"Sumbangan itu juga bertujuan membeli pakaian seragam anak-anak yatim serta sumbangan kewangan untuk Darul Aitam," katanya dalam majlis penyerahan bantuan itu di Tapah.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan dan dihadiri kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada masyarakat orang Asli dari Kampung Sungai Geroyang dan Kampung Sungai Merbau.

UEM Sunrise yang kini memiliki hampir 2,500 ekar tanah rizab simpanan di Tapah, merancang untuk menganjurkan program yang lebih menarik, sejajar dengan misi tanggungjawab sosial korporat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat di mana beroperasi.

Sebagai pemaju utama Nusajaya, Iskandar Malaysia di Johor sejak tahun 2007, UEM Sunrise telah menganjurkan pelbagai aktiviti berasaskan kebajikan yang telah dilaksanakan bersama-sama dengan masyarakat tempatan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup, selaras dengan perkembangan yang dijalankan.

Mana keadilan untuk kami?

Posted: 13 Dec 2013 10:11 AM PST

RAMLAH Ahmad menyusun semula sebahagian daripada peralatan perniagaannya di Georgetown, Pulau Pinang semalam selepas gerainya dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 5 November lalu.

PULAU PINANG 13 Dis. - Tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merobohkan dua gerai makan di Persiaran Gurney di sini minggu lalu mengundang pelbagai persoalan kepada peniaga terbabit berhubung ketidakadilan yang diterima mereka.

Peniaga berkenaan, Ramlah Ahmad, 75, berkata, dia kecewa apabila diperlakukan sedemikian oleh MPPP, seolah-olah wujud unsur dwistandard pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menguatkuasakan undang-undang.

Menurutnya, jika benar gerai yang diusahakan mengganggu laluan awam seperti didakwa, kenapa tiada sebarang notis atau pemberitahuan diberikan kepadanya sebelum tindakan roboh diambil.

"Mengapa wujud ketidakadilan terhadap kami dan kenapa hanya kami yang dikenakan tindakan seperti ini?" katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gerai milik Ramlah yang diusahakan sejak 20 tahun lalu dirobohkan oleh penguat kuasa MPPP minggu lepas.

Isnin lalu, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid membangkitkan tindakan MPPP merobohkan dua gerai peniaga Melayu di Persiaran Gurney tanpa sebarang notis awal sedangkan peniaga makanan laut di Pantai Bersih hanya dikenakan kompaun sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, anak Ramlah yang turut sama mengusahakan gerai tersebut, Mohamad Zambri Md. Shid, 36, memberitahu, dia hanya mahu dilayan secara adil, sama seperti peniaga lain yang tidak diganggu PBT.

"Kalau kerajaan negeri boleh tutup jalan untuk memberi laluan kepada penjaja Cina berniaga, kenapa kami diperlakukan sebegini sedangkan kami hanya berniaga di hadapan rumah? Kenapa tidak boleh bertolak ansur dengan kami?

"Sudahlah tiada notis pemberitahuan untuk merobohkan gerai, mereka (MPPP) datang terus roboh. Sekurang-kurangnya bukalah ruang perbincangan untuk kami sebelum sebarang tindakan diambil," ujarnya kesal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved