Sabtu, 14 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


NS bentang bajet berimbang 2014

Posted: 13 Dec 2013 10:11 AM PST

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan menunjukkan teks Laporan Bajet 2014 sambil diperhatikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hasan (kiri) selepas membentangkan Bajet 2014 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri di Seremban, semalam.

SEREMBAN 13 Dis. - Kerajaan negeri hari ini membentangkan bajet berimbang bagi tahun 2014 untuk kali keenam sejak 2009 berjumlah RM352.626 juta iaitu pertambahan sebanyak 6.5 peratus berbanding Bajet 2013.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini adalah untuk meneruskan dasar pembelanjaan berhemah dan cekap, selain memastikan matlamat Negeri Maju Berpendapatan Tinggi pada tahun 2020 dapat direalisasikan.

"Kerangka Bajet 2014 dibina berasaskan matlamat memastikan Akujanji Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya," katanya semasa membentangkan Bajet 2014 dalam Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohamad berkata, Bajet 2014 itu mencakupi anggaran hasil, belanjawan mengurus dan pembangunan.

''Pada tahun 2014, kerajaan negeri dijangka akan dapat mengutip hasil sebanyak RM352.626 juta iaitu RM152.519 juta daripada hasil cukai, RM126.505 juta (hasil bukan cukai) dan RM73.602 juta (terimaan bukan hasil)," tegasnya.

Beliau memberitahu, anggaran belanjawan mengurus pula berjumlah RM352.626 juta, bertambah RM21.426 juta pada tahun 2013.

Tegas Mohamad, dalam anggaran belanjawan pembangunan 2014 pula, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM91.541 juta bagi membiayai kos projek pembangunan yang akan dilaksanakan oleh jabatan di seluruh negeri.

Katanya, ini melibatkan infrastruktur sebanyak RM28.497 juta, sosial (RM26.204 juta), kerohanian (RM14.940 juta), pentadbiran (RM11.474 juta) dan pertanian (RM10.426 juta).

"Di bawah sektor pentadbiran, kerajaan negeri akan memperluaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang mana segala urusan dihubungkan menerusi elektronik. Saya mencadangkan peruntukan RM5.5 juta untuk tujuan ini," tegasnya.

Mengenai pengurusan kewangan kerajaan negeri sehingga tarikh hari ini, Mohamad berkata, jumlah terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri adalah RM483.85 juta.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2012 berjumlah RM27.717 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 5 peratus berbanding 4.9 peratus pada tahun 2011.

''KDNK per kapita juga merekodkan pertumbuhan positif melalui peningkatan daripada RM20,768 pada tahun 2005 kepada RM26,950 (2008) dan seterusnya RM32,511 (2012)," ujarnya.

Tambah Mohamad, Negeri Sembilan juga akan terus menjadi destinasi utama pelabur selepas menyaksikan sektor pembuatan dan perkhidmatan menyumbang kepada KDNK sebanyak 88.8 peratus atau RM24.634 bilion pada tahun 2012.

Program translokasi ternakan terbiar ke kawasan tumpuan sasar dilaksana

Posted: 13 Dec 2013 10:11 AM PST

SEREMBAN 13 Dis. - Kerajaan negeri akan melaksanakan program translokasi ternakan terbiar ke kawasan tumpuan sasar (TAC) dengan persetujuan tuan punya ternakan dan pengusaha angkat berkenaan bagi mengekang isu haiwan peliharaan terbiar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, perkara itu perlu dibuat selepas timbul ketidakselesaan orang ramai serta tahap bahaya yang dihadapi oleh pengguna jalan raya akibat ternakan terbiar ini.

''Usaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar utama makanan hasil ternakan yang berkualiti dan selamat dimakan sentiasa dipertingkatkan.

''Namun, kadangkala timbul permasalahan yang mana ternakan ini terbiar dan berkeliaran di jalan raya akibat kekurangan kawasan ragutan dan 'foder', apatah lagi bilangan ternakan itu semakin bertambah," katanya dalam Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata, selain langkah tersebut, kerajaan juga akan membantu penternak membangunkan kawasan penanaman rumput pastura dan 'foder' - rumput bermutu dan berprotein tinggi, dengan memberikan bantuan input penanaman melalui peruntukan pembangunan.

Hasim (BN-Labu) yang menjawab soalan lisan Datuk Abd. Samad Ibrahim (BN-Seri Menanti) berkata, kerajaan juga akan menjalinkan kerjasama dengan penternak untuk melakukan 'tagging' atau penandaan pengenalan ternakan bagi memudahkan pihak berwajib mengenal pasti pemilik ternakan.

''Pada masa yang sama juga, pihak berkuasa tempatan yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan ternakan berkeliaran terutamanya di jalan raya, menyediakan khidmat kepakaran menangkap ternakan tersebut selepas mendapati berbahaya kepada keselamatan awam," ujarnya.

Dalam konteks ini juga, Hasim memberitahu, perlu satu kawasan kurungan ternakan terbiar dibina dengan kelolaan penduduk setempat dengan seliaan daripada Jabatan Veterinar supaya tidak mengganggu ketenteraman orang lain.

Tanjung Tuan akan terus dikekal sebagai Taman Laut - Mohamad Hasan

Posted: 13 Dec 2013 10:11 AM PST

SEREMBAN 13 Dis. - Kawasan di Tanjung Tuan dekat Port Dickson akan terus dikekalkan sebagai Taman Laut dan terletak di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Kawasan Larangan)(Pindaan) (1994), yang mana mengutip dan memungut cangkerang, batu karang dan ikan adalah dilarang kecuali dengan kebenaran bertulis.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan ini perlu dipelihara supaya kehidupan lautnya tidak terjejas, apatah lagi wujudnya batu karang dan ikan berkualiti tinggi di situ.

''Kerajaan negeri bersama Jabatan Taman Laut Malaysia memang bersetuju supaya Tanjung Tuan sebelah Port Dickson diwartakan sebagai Taman Laut dalam usaha melindungi, memulihara dan mengurus secara berterusan ekosistem marin terutamanya terumbu karang serta kehidupan dasar laut," katanya dalam Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohamad yang menjawab soalan tambahan Chai Tong Chai (PKR-Chuah) berkata, tidak semua pantai di Port Dickson mempunyai khazanah batu karang dan menjadi satu ancaman apabila wujud segelintir pihak yang merosakkan kehidupan akuakultur ini.

''Bila ada batu karang, maka banyak ikan. Apabila banyak ikan bermutu, ada pula pihak yang menjaring dan memukat ikan ini. Akibatnya, bukan sahaja ikan bermutu itu ditangkap, malah batu karang yang hidup di dalam dasar laut juga rosak dan musnah," tegasnya.

Bagaimanapun kata Mohamad, Jabatan Taman Laut Malaysia akan hanya mengeluar lesen berkala dan pada waktu tertentu bagi membolehkan penangkapan ikan dibuat di kawasan larangan ini.

Terdahulu, Tong Chai mengemukakan soalan lisan yang berkaitan dasar akuakultur negeri ini dan kesannya terhadap hasil pendapatan dan peluang ekonomi.

Kata Mohamad lagi, kerajaan negeri juga sentiasa memastikan pendapatan nelayan dipertingkatkan melalui pelepasan tukun tiruan di kawasan strategik bagi mengembangkan hasil akuakultur.

''Ini telah pun dilaksanakan sejak sekian lama dan nelayan terutamanya di Port Dickson sudah menikmati hasil daripada tukun tiruan ini," katanya lagi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved