Sabtu, 14 Disember 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


8 emas berkilau di Myanmar

Posted: 14 Dec 2013 08:57 AM PST

Atlet karate negara (dari kiri), Syakilla Saini, A. Nisha, S.Shree Sharmini dan S. Senthil Kumaran bersama pingat emas masing-masing yang dimenangi dalam acara kumite pada hari keempat Sukan SEA 2013 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam.

NAY PYI TAW - Selepas empat hari Sukan SEA Myanmar dibuka secara rasmi, kontinjen Malaysia mengharungi hari paling cemerlang apabila menokok lapan pingat emas dengan karate sekali lagi menjadi mesin mencetak pingat buat negara selepas menyumbangkan empat emas, semalam.

Walaupun sebelum ini mereka sekadar menetapkan sasaran empat emas untuk dibawa pulang, namun kontinjen karate menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang percaya sukan itu mampu menghadiahkan enam emas.

Pesta emas Malaysia dimulakan oleh S. Senthil Kumaran dalam acara bawah 60 kilogram lelaki, sebelum ia ditokok oleh rakan-rakan sepasukannya, S. Shree Sharmini (bawah 68kg wanita), A. Nisha (bawah 55kg) dan K. Syakilla Saini (bawah 61kg).

Pasukan negara turut memenangi pingat perak apabila R. Sharmemdran tumpas 0-3 kepada peserta Indonesia, Jintar Simanjuntak pada pertarungan akhir lelaki bawah 67kg, manakala gangsa diraih Shaharudin Jamaludin dalam acara bawah 75kg, L. Kunasilan (bawah 55kg) dan Mohd Hatta Mahanut (bawah 84kg).

Kelmarin, karate meraih dua pingat emas dalam acara kata individu, Lim Chee Wei dan berpasukan, sekali gus mengumpul enam emas keseluruhan.

Jika Senthil puas kerana memenangi emas dengan menumbangkan juara lima kali, Donny Dharmawan dari Indonesia, Shree pula agak emosi apabila dinobat sebagai juara kerana kemenangan ini mengingatkannya kepada ibunya, individu yang telah memaksa dia menyertai sukan karate.

Selepas ayah meninggal dunia, ibu menyuruh saya belajar sukan karate sebagai tujuan mempertahankan diri kerana saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

Tidak sangka, hanya kerana dipaksa oleh ibu, minat timbul perlahan-lahan sehingga saya boleh berjaya pada hari ini, " ujar Shree, yang menumbangkan Thi Tien Pham dari Vietnam.

Khabar gembira turut diberikan di kolam renang apabila Daniel Bego yang baharu kembali daripada kecederaan bahu akhirnya menghadiahkan emas dalam 400 meter gaya bebas lelaki, manakala Khoo Chai Lin menutup mulut pengkritik dengan menggondol gelaran 800m gaya bebas wanita.

Saya mahu berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya selama ini. Saya tahu, ramai yang meragui keupayaan saya selepas beraksi buruk dalam perlumbaan 400m (menamatkan cabaran di tangga kelima). Kemenangan hari ini memang amat menggembirakan," ujar Chai Lin.

Sementara itu dua kejutan besar berlaku di lapangan ekuestrian dan gelanggang badminton, apabila dua emas hadir daripada atlet yang tidak diduga, sekali gus melengkapkan hari penuh gemilang kontinjen Malaysia.

Di Pusat Ekuestrian Wunna Theikdi, penunggang berusia 16 tahun, Praveen Nair Mathavan berjaya mengungguli acara dressage individu hanya pada penampilan pertama di Sukan SEA, malah dengan menggunakan kuda pinjaman, Sen Win Mal.

Pelajar Sekolah Antarabangsa Nexus Putrajaya itu mengetepikan dua pencabar dari Indonesia, Velentino Lumentah dan Ferry Wahyu Hadiyanto untuk menghadiahkan emas ketiga buat ekuestrian sepanjang temasya di Myanmar.

Woon Khe Wei-Vivian Hoo pula menceriakan kontinjen Malaysia di Stadium Tertutup Wunna Theikdi apabila menghadiahkan emas tidak diduga dalam acara beregu wanita selepas mengejutkan pasangan berpengalaman dan pilihan utama dari Indonesia, Krishinda Nitya Maheswari-Greysia Polii 21-17, 18-21, 21-17 dalam pertarungan sengit yang berlarutan sehingga 1 jam, 15 minit.

Semalam, Malaysia turut meraih lima perak menerusi acara menembak air pistol berpasukan wanita (Wahidah Ismail, Bibiana Ng, Joseline Cheah), Sharmendran (karate bawah 67kg lelaki), Sazali Samad (bina badan 70kg), renang 4. 4x100m gaya bebas lelaki dan petinju harapan, G. Ramkumar (tinju 69kg). - Mingguan

Badminton akhirnya raih emas

Posted: 14 Dec 2013 08:57 AM PST

Woon Khe Wei (kanan) dan Vivian Hoo berpelukan selepas melakar kejutan ke atas pilihan utama dari Indonesia, Nitya Krishinda-Greysia Polii dalam perlawanan akhir beregu wanita Sukan SEA di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.

NAY PYI TAW - Selepas mengharungi musim tidak menentu, Woon Khe Wei-Vivian Hoo menutup 2013 dengan kejayaan paling manis apabila melakar kejutan terbesar Sukan SEA dengan merangkul kejuaraan beregu wanita di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, semalam.

Ketika harapan yang disandarkan kepada pemain lelaki gagal dipenuhi, Khe Wei-Vivian tampil menyelamatkan maruah badminton negara apabila mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Nitya Krishinda-Greysia Polii dalam perlawanan akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas dalam acara ini ialah melalui Chin Eei Hui-Wong Pei Tty di Laos 2009, tetapi semalam Vivian-Khe Wei berjaya mengikut jejak langkah mereka selepas berhempas selama satu jam 15 minit untuk mencatat kemenangan 21-17, 18-21, 21-17.

Kemenangan tersebut amat bermakna buat kedua-dua pemain kerana mereka telah mengharungi pahit manis, jatuh bangun bersama sepanjang tahun ini dan akhirnya penantian untuk meraih kejuaraan terlaksana di Sukan SEA Myanmar.

Mereka begitu tenang di gelanggang sejak set pertama, tetapi memasuki set kedua rentak serangan mereka seakan terhenti walaupun pada satu ketika pernah mendahului 16-13 sebelum lawan mengejar dan tewas set kedua 18-21.

Pada set penentuan Khe Wei dan Vivian tidak menoleh ke belakang lagi apabila meninggalkan lawan dengan kelebihan lima mata sebelum menghabiskan perlawanan dengan sempurna.

"Kami jatuh dan bangun tahun ini, jadi kemenangan ini sangat baik buat kami. Kunci utama kami boleh berjaya adalah kami dahaga kemenangan. Pingat emas ini bukan untuk diri saya sendiri tetapi untuk negara," kata Vivian, 23.

Lebih menyentuh perasaan, Vivian menganggap pingat emas yang dimenanginya itu layak ditujukan kepada Khe Wei yang kembali bangkit tahun ini selepas mengalami kecederaan tahun lepas di bahagian buku lali dan lutut kiri.

"Kemenangan ini sangat bererti. Sebenarnya banyak orang saya mahu sebut tetapi saya rasa pingat emas ini adalah untuk pasangan saya, kerana dia selalu cedera, sebelum bangkit dengan bekerja keras," katanya lagi.

Sementara itu, Khe Wei pula gembira kerana memenangi emas buat Malaysia tetapi tidak mahu peminat badminton menganggap bahawa dia adalah pengganti kepada Eei Hui-Pei Tty.

"Kami mahu menjadi diri kami sendiri iaitu Vivian-Khe Wei, kami adalah yang terbaik dan mahu terus cemerlang pada masa akan datang," katanya.

Indonesia masih boleh berbangga walapun tewas dalam beregu wanita selepas meraih tiga emas melalui beregu lelaki, Angga Pratama-Agung Saputro Ryan, yang mengalahkan rakan senegara, Berry Angriawan-Ricky Karanda Suwardi 21-13, 17-21, 21-17.

Perseorangan wanita mereka, Bellaetrix Manuputty mengalahkan pilihan kedua, Busanan Ongbamrungphan 9-21, 21-13, 21-13, manakala satu lagi emas diraih melalui beregu campuran, Muhammad Rizal-Debby Susanto. - MINGGUAN

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved