Khamis, 5 Disember 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Harimau Muda tempang

Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

Hamidin Mohd. Amin (kiri) memberi amanat terakhir kepada skuad Harimau Muda yang bakal menggalas cabaran pada Sukan SEA Myanmar dalam majlis meraikan pemain di Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA - Pertemuan dengan kelab Jepun, FC Ryukyu kelmarin mungkin membantu Malaysia menguji kekuatan menjelang Sukan SEA minggu depan, namun ia juga memaksa skuad Harimau Muda membayar harga tinggi selepas pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menjadi bintang terbaharu yang tidak dapat dibawa oleh Datuk Ong Kim Swee ke Myanmar akibat kecederaan.

Kemenangan 3-1 ke atas Ryukyu akhirnya memberi gambaran jelas buat pengendali Harimau Muda, Kim Swee untuk membariskan 20 pemain yang bakal menggalas misi berat memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA.

Namun, Kim Swee turut mengakui, keputusan untuk melengkapkan barisan pemain bukan satu tugas mudah kerana beliau perlu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai Kecik.

Saya ingin memaklumkan bahawa Wan Zaharulnizam tidak berada dalam senarai kerana mengalami kecederaan ketika aksi persahabatan menentang FC Ryukyu. Dia memerlukan masa dua atau empat minggu untuk pulih.

Sungguh pun pemain yang ada kurang daripada segi pengalaman berbanding skuad pada Sukan SEA dua tahun lepas, namun saya dapat lihat pasukan kali ini penuh dengan semangat juang tinggi.

Itulah kekuatan yang kami mahukan sebelum berlepas ke Myanmar nanti," katanya dalam sidang akhbar bersama Harimau Muda A dan skuad wanita di sini, semalam.

Selain Wan Zaharulnizam, skuad bawah 23 tahun negara juga akan meneruskan misi mempertahankan emas buat kali ketiga berturut-turut tanpa Nik Shahrul Azim Abdul Halim, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Syahrul Azwari Ibrahim yang mengalami kecederaan. Skuad Harimau Muda akan berlepas ke Myanmar esok.

Sementara itu, Wan Zaharulnizam mengakui, dia akur dengan keputusan yang dibuat jurulatih dan yakin rakan-rakan yang terpilih mampu melaksanakan tugas dengan baik.

Saya terima keputusan ini seadanya selain perlu sedar bahawa kecederaan ini memerlukan masa yang lama untuk pulih.

Tiada perasaan iri hati pada kawan-kawan yang terpilih ke Sukan SEA sebaliknya saya doakan kejayaan mereka di sana," katanya.

Kesemua 20 pemain yang disenaraikan adalah dalam kalangan terbaik daripada 30 yang dipanggil menjalani latihan sebelum ini.

Kempen Malaysia untuk memburu kejuaraan hatrik Sukan SEA bermula dengan menentang Brunei dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada 10 Disember.

Mereka akan menentang Laos pada 13 Disember, diikuti Singapura (15 Disember) dan Vietnam, 17 Disember. Jika ke separuh akhir, mereka perlu beraksi pada 19 Disember, diikuti final pada 21 Disember.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Tunjukkan mereka siapa kita - Khairy

Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
dan SUFIAN HADI SOJAK
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin bersama atlet negara yang bakal membawa cabaran pada Sukan SEA Myanmar dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

KUALA LUMPUR - Anda bukan sahaja atlet tetapi duta negara di Sukan SEA 2013." Itu kata-kata semangat yang diberikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kepada kontinjen negara yang akan beraksi di temasya dwi tahunan tersebut dari 11 hingga 22 Disember ini di Nay Pyi Taw dan Yangon.

Khairy berkata, walaupun datang sebagai atlet Sukan SEA tetapi kesemua yang beraksi di sana adalah duta tanah air yang akan berjalan bangga dengan baju kebangsaan (celoreng harimau) dan tersemat di dada lencana jalur gemilang.

Biar negara lain di Asia Tenggara yang mengambil bahagian melihat sekali lagi kehadiran kita dengan berbaju harimau, jadi mereka akan sedar bahawa Malaysia sudah tiba di Myanmar untuk menawan temasya ini," katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan ke Sukan SEA 2013 Myanmar semalam.

Jelasnya, apabila atlet negara meninggalkan padang, kolam dan gelanggang pencabar negara lain akan meraih satu pengalaman bahawa mereka sekarang ini sedang berdepan dengan juara Sukan SEA.

Saya ingin mengucapkan selamat berjuang dan lakukan yang terbaik buat semua, saya sentiasa berdoa setiap hari, setiap malam kepada anda semua. Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan sudah buat yang terbaik kepada saudara dan saudari sekalian.

Kami minta maaf jika ada sebarang kekurangan tetapi tidak kira acara apa yang anda sertai kami bangga kerana anda semua mewakili Malaysia. Walaupun kita tidak menang semua pertandingan tetapi biarlah negara kita menjadi yang terbaik di Asia Tenggara, pentas ini bukannya pencapaian tertinggi kita, anda semua harus terus memandang ke depan untuk melihat Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik kerana itu matlamat sebenar kita tetapi biarlah perjalanan ini bermula dari temasya ini," katanya.

Ujarnya, semua atlet harus ingat kepada keluarga dan rakyat Malaysia bahawa harapan tinggi diletakkan kepada mereka dan jangan sesekali mudah menyerah kalah, kerana semua mahukan Malaysia membawa pulang kejayaan.

Sukan sudah pastinya tidak diukur dalam kejayaan sesebuah negara, banyak perkara lain lagi seperti ekonomi dan sebagainya namun bila menyebut soal hati dan emosi rakyat ia boleh digerakkan sekiranya anda mendapat kejayaan di atas gelanggang, jadi buktikan kepada negara Asia Tenggara yang lain bahawa sekali lagi Malaysia akan menjadi yang terbaik.

Seperti mana yang kita tahu sukan amat dekat dengan hati rakyat, harapan mereka memang tinggi tetapi harapan menteri lagi tinggi kepada saudara dan saudari namun saya tidak hendak meletakkan tekanan yang terlalu besar di bahu anda. Sekiranya membuat persiapan rapi dan terbaik untuk menghadapi apa jua saingan dan cabaran keputusannya pasti akan datang," katanya.

Tambahnya, latihan telah dilakukan dengan sepenuh jiwa raga, dedikasi, iltizam dan komitmen tinggi jadi sudah pastinya di sana atlet Malaysia akan mencatat keputusan cemerlang.

Kontinjen negara diketuai Chef-de-Mission, Datuk Wira Amiruddin Embi bersama 336 atlet lelaki, 220 atlet wanita dan 199 pegawai dan mengambil bahagian dalam 29 daripada 33 acara yang dipertandingkan seperti akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, biliard & snuker, bina badan, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, catur, ekuestrian, golf, hoki, judo, kanu, karate, memanah, menembak, silat, pelayaran, petanque, ping pong sepak takraw, taekwando, tinju dan wusyu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved