Khamis, 5 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


599 masjid bakal dapat geran

Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

MARAN 5 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bersetuju supaya tapak 599 masjid di negeri ini diberi suratan hak milik pada tahun hadapan.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, suratan hak milik atas nama Muip itu sebagai jaminan tapak masjid tersebut kekal menjadi 'rumah Allah' untuk selamanya.

Menurutnya, tapak masjid sekarang dipercayai tiada bergeran dan dibuat di atas tanah milik individu, malah berstatus tanah wakaf yang boleh dituntut oleh waris yang berhak.

"Muip dengan persetujuan kerajaan negeri akan memulakan langkah dan prosedur untuk mendapat suratan hak milik dengan premium yang paling minimum.

"Kita menjangkakan usaha mendapat geran itu di setiap daerah di negeri ini tiada masalah kerana Pejabat Tanah dan Daerah komited membantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Kursus Peningkatan Profesionalisme Bilal dan Siak masjid kariah negeri di sini baru-baru ini.

Wan Abdul Wahid berkata, usaha serupa untuk mendapat geran bagi 1,435 tapak surau juga akan dilaksanakan secara berperingkat setelah mendapat persetujuan semua pihak.

"Masjid adalah satu institusi ibadat untuk orang Islam dan perlu dipelihara kesuciannya daripada unsur pecah belah dan penyebaran fahaman Syiah serta lain-lain,'' katanya.

Dalam pada itu beliau menegaskan, jawatankuasa masjid yang dilantik berhak menghalang mana-mana kumpulan atau individu mengadakan ceramah tanpa kebenaran Muip terlebih dahulu.

Ibu sarat mengandung, warga emas uzur disaran ke hospital

Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST

Anggota Bomba dan Penyelamat membawa wanita mengandung menggunakan bot berikutan air sungai melimpah di Kampung Paya Garuk, Jerantut, Pahang, semalam. - UTUSAN/M. RIZAL NOR

JERANTUT 5 Dis. - Wanita sarat mengandung dan warga emas uzur perlu dibawa ke hospital segera bagi mengelak kesulitan apabila rumah mereka dilanda banjir.

Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Syed Abd. Mutalib Syed Hassan berkata, mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir dinasihati berbuat demikian kerana banyak kawasan di daerah ini yang terputus hubungan.

"Kaum ibu yang sudah hampir dengan tarikh bersalin perlu dirujuk ke hospital kerana mereka akan berdepan masalah untuk bersalin sekiranya kawasan terbabit dinaiki air.

"Semalam, kita bawa empat wanita mengandung dari Felda Padang Piol dan Felda Sungai Retang kerana laluan Jerantut ke tanah rancangan itu sudah dinaiki air dan tidak boleh digunakan oleh semua jenis kenderaan," katanya ketika meninjau kawasan banjir di Kampung Paya Garuk di sini hari ini.

Menurutnya, pihak terlibat termasuk bomba, polis dan hospital telah diarahkan bersiap sedia bagi memudahkan kerja-kerja membawa keluar mereka yang berdepan dengan masalah kesihatan.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang berdepan risiko banjir segera berpindah ke pusat pemindahan.

"Kita hanya akan memberi bantuan kepada mereka yang tinggal di pusat pemindahan mangsa banjir sahaja dan bantuan tidak akan diberikan kepada yang menetap di rumah saudara mara," ujarnya.

Katanya, bagi kawasan yang terputus hubungan, bantuan akan disalurkan selepas tiga hari selagi air tidak surut.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Banjir Jerantut di talian 09-2661999.

4 lagi pusat pemindahan dibuka di Jerantut

Posted: 05 Dec 2013 10:40 AM PST

JERANTUT 5 Dis. - Sebanyak empat lagi pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah ini hari ini berbanding hanya tiga semalam.

Seramai 259 mangsa banjir kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan termasuk di Surau Kampung Paya Garuk, Sekolah Kebangsaan Pedah dan Balai Raya Kampung Paya Teh.

Pengerusi Bencana Alam Daerah, Datuk Syed Abd. Mutalib Syed Hassan berkata, jumlah itu mungkin akan meningkat sekiranya paras air di Sungai Pahang dan Sungai Tembeling terus naik.

"Biarpun hujan sudah reda di sini, namun paras air sungai semakin naik menyebabkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai berdepan risiko banjir.

"Saya sekali lagi mengingatkan semua penduduk di daerah ini agar tidak melakukan aktiviti di sungai kerana arus deras yang boleh mendatangkan musibah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan paras air turut menyebabkan tujuh laluan di daerah ini terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan.

"Jalan Jerantut-Maran berhampiran simpang Jengka 8 dinaiki air sedalam 1.2 hingga 2.7 meter sejauh 2.6 kilometer," katanya merangkap Pegawai Daerah Jerantut.

Syed Abd Mutalib berkata, jalan lain yang ditutup ialah di Kampung Bakong, tiga laluan Jerantut-Kuala Lipis, simpang Felda Lepar Utara dan Jerantut-Padang Piol yang dinaiki air hingga ke paras 2.5 meter.

Beliau memberitahu, paras air Sungai Tembeling di Kuala Tahan kini mencatat bacaan 71.65 meter dan melepasi paras bahaya 68 meter..

"Paras air di Sungai Yap pula mencatat ketinggian 55.50 meter melepasi paras bahaya 52.00 meter," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved