Khamis, 5 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


500 keluarga akan dipindah

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Abdul Latiff Bandi meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Bandar, Mersing, semalam.

MERSING 4 Dis. - Kerajaan negeri akan memindahkan lebih 500 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah ini ke beberapa penempatan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi berkata, pihaknya melalui jawatankuasa perumahan khas sudah mengenal pasti beberapa lokasi untuk pembinaan penempatan baharu yang akan dijadikan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau berkata, antara lokasi yang akan dijadikan kawasan penempatan baharu termasuk di Batu 6 Tenglu, Kampung Sri Pantai, Jalan Ariffin serta Semaloi yang terletak berhampiran bandar Mersing dan Endau.

"Kebanyakan rumah yang dinaiki air pada musim banjir terdiri daripada kawasan setinggan yang terletak di kawasan rendah dan mereka ini akan dipindahkan ke lokasi penempatan baharu ini.

"Ini merupakan langkah kerajaan negeri untuk mengatasi masalah yang dihadapi penduduk, khususnya di kawasan Mersing dan Endau, selain inisiatif kita untuk mengatasi masalah setinggan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Bandar Mersing di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau turut meluangkan masa kira-kira satu jam untuk melawat mangsa banjir di lokasi pemindahan terbesar di daerah itu yang menempatkan 1,491 penduduk.

Abdul Latiff berkata, sehingga hari ini, sebanyak 5,672 mangsa dari Mersing dan Endau sudah dipindahkan ke 21 pusat pemindahan banjir yang ada di daerah itu dan pihaknya bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pertambahan jumlah mangsa.

Katanya, daerah itu mempunyai 25 pusat pemindahan banjir secara keseluruhannya dan pada waktu ini, hanya 21 daripadanya aktif digunakan.

Beliau memberitahu, masih terdapat penduduk di beberapa kampung di sini enggan berpindah dengan alasan rumah mereka belum dinaiki air dan perkara itu akan dipantau sepenuhnya bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kemalangan jiwa.

"Kita juga bersedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan berlakunya air pasang besar di daerah ini. Kita sudah memaklumkan kepada semua agensi yang terlibat untuk memantau segala perkembangan berlaku di daerah ini," katanya.

JPS pantau 4 stesen telemetri, sukat paras air Sg. Muar

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

MUAR 4 Dis. - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang memantau empat stesen telemetri milik agensi itu di sini, bagi menyukat paras air Sungai Muar kerana menjadi penentu berlakunya banjir di daerah itu.

Menurut jurutera JPS Muar, Abdul Hakim Hamzah berkata, pada masa ini, Sungai Muar berada dalam keadaan berjaga-jaga apabila paras airnya melepasi bacaan 1.9 meter di Stesen Telemetri di Bukit Kepong.

Katanya, Stesen Telemetri di Bukit Kepong sebelum ini telah menunjukkan peningkatan daripada 0.3 meter kepada 1.6 meter pada pukul 11 pagi ini dan terus meningkat pada pukul 2 petang.

"Banjir hanya akan berlaku di daerah ini dan kawasan sekitarnya apabila paras air Sungai Muar di Bukit Kepong, dekat sini, menerima aliran air sungai dari Pahang dan daerah Segamat.

"Ini disebabkan aliran sungai akan berakhir di daerah ini sebelum ke laut. Bagi mengetahui paras air sungai Muar meningkat atau menurun, kita akan mengukur empat stesen telemetri yang salah satu fungsi utamanya mengukur paras air Sungai Muar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain stesen telemetri tersebut, tiga lagi ialah di Lenga, Pagoh dan Panchor. Bacaan 1.83 meter dikategorikan bersedia, bacaan 2.43 meter (amaran) dan bacaan 3.04 meter (bahaya).

Abdul Hakim seterusnya meminta penduduk di kawasan rendah peka dengan arahan dan tidak membiarkan anak-anak bermain di kawasan berdekatan sungai terutama di Bukit Kepong.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved