Jumaat, 27 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Penegasan UMNO memartabatkan Islam

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Oleh AZRIL MOHD AMIN
PENULIS ialah Naib Presiden, Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia dan mengetuai delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam di sesi Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPRo) Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober 2013.

PERKARA 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan merupakan nadi penting di dalam perjuangan memartabatkan agama suci ini di Malaysia.

Peruntukan itu menegaskan fungsi Islam sebagai agama negara, bukan terhad sekadar 'alat' bagi acara-acara rasmi keagamaan serta hanya ibadah khusus untuk kesejahteraan individu.

Pada hakikatnya, peruntukan ini memperkasa peranan Islam sebagai cara hidup di ruang awam dan mencakupi pentadbiran kesejahteraan masyarakat Muslim dan non-Muslim secara komprehensif. Malah, peranan fasal ini diperkukuhkan dengan Perkara 37, Jadual Keempat berkenaan sumpah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara Islam pada setiap masa. Dengan wujudnya kedua-dua peruntukan ini, maka terbatal sebarang unsur-unsur yang cuba mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Beberapa kes-kes utama yang diputuskan mahkamah tertinggi di negara ini juga mengesahkan peranan Islam dalam konteks ini. Percubaan pihak pembangkang yang berfahaman sekular mendakwa Malaysia sebuah negara sekular dengan menyalahtafsir sebahagian penghakiman Tun Salleh Abas di dalam kes Che Omar Che Soh lawan Pendakwaraya [1988] ternyata tidak berjaya mempengaruhi masyarakat umum tentang sifat Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Sebaliknya, kes-kes mutakhir yang lebih berautoriti seperti Meor Atiqurrahman & Ors vs Fatimah Sihi Abdullah & Yang Lain (2005) dan Azlina Jailani lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain [Rayuan Sivil No: 01-2-2006] merupakan penegasan peranan dan ruang lingkup peranan Islam sebagai suatu cara hidup.

Di samping pelbagai pencapaian berkaitan model-model Islam telah banyak diwujudkan, ruang pemerkasaannya untuk memenuhi maksud peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut adalah sangat luas, malah perlu diperkasakan dengan mengambil kira Malaysia masih dipimpin parti pemerintah yang bercitra Melayu-Islam seperti UMNO.

Ternyata hakikat kedudukan Islam ini tidak disenangi ramai pihak. Malaysia menerima ujian besar apabila wujud beberapa siri percubaan menghakis kedudukan istimewa Islam kebelakangan ini. Sejak lebih dua dekad lalu, strategi parti-parti politik pembangkang melalui NGO-NGO yang berfahaman sekular liberal, serta bertopengkan gerakan Hak Asasi Manusia (HAM) telah mencetuskan pelbagai percubaan mengubah lanskap kesederhanaan amalan beragama.

Mutakhir, pelbagai lapisan masyarakat telah menolak gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) di sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) Geneva, yang ghairah memperjuangkan tuntutan-tuntutan batil bagi membuka ruang murtad, amalan gaya hidup LGBT, menidakkan hak istimewa orang Melayu serta tuntutan-tuntutan lain yang tidak munasabah.

Kesemua ancaman ini dimanipulasi dengan menyalahgunakan prinsip-prinsip serta mekanisme HAM sejagat khususnya melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang pada hakikatnya sendiri menjunjung ideologi yang tidak sempurna serta bergelumang dengan sikap hipokrit negara-negara Barat.

UMNO sebagai parti tulang belakang pemerintahan negara, serta memikul amanah menjalankan usaha memartabatkan perjuangan akidah, syariah dan akhlak umat Melayu-Islam, harus memposisikan niat dan tindakannya agar sejajar dengan perkembangan membimbangkan berkenaan usaha menghakis kedudukan istimewa Islam di negara ini.

Selain membangun keadaan sosio-ekonomi bangsa, UMNO perlu lebih ke hadapan di dalam memperjuangkan Islam menurut acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), berpandukan sumber-sumber rujukan keagamaan yang muktabar serta mempunyai kredibiliti.

Hanya dengan inisiatif sedemikian maka perjuangan UMNO akan menzahirkan niat dan tindakan yang dilihat sederhana sekali gus dapat menjuarai usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia secara umum, melalui contoh kefahaman dan pengamalan Islam yang baik.

Justeru usaha pemerkasaan asas UMNO berhubung perjuangan memartabatkan Islam ini haruslah dipelbagaikan. Dasarnya harus jelas dan konsisten dengan peruntukan dan semangat Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang tegas menjunjung tinggi kedudukan Islam.

Fasal 3 Perlembagaan UMNO menyatakan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Pada sub-fasal 3.3 pula menyatakan tujuan UMNO untuk "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama."

Selari dengan apa yang telah pun difahami dan diterjemahkan UMNO di dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini, maka adalah wajar cadangan agar pindaan dilakukan menggantikan frasa asal sub-fasal 3.3 tersebut dengan frasa "Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama persekutuan, serta menjunjung fahaman ASWJ". Istilah 'Islam agama rasmi' dipadamkan bagi menjadikan sub-fasal tersebut konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penulis ingin menggariskan tiga rasional utama keperluan pindaan fasal 3.3 ini. Pertamanya, memasukkan frasa Islam sebagai agama Persekutuan ini menjadikan asas, aspirasi dan tujuan perjuangan UMNO sebagai parti tulang belakang umat Melayu-Islam selari dengan kehendak dan tujuan Perlembagaan Persekutuan yang telah pun memaktubkan kedudukan istimewa Islam dengan segala keutamaan dan implikasinya terhadap pentadbiran agama Islam di negara ini.

Pindaan ini akan secara sendirinya menzahirkan hakikat peranan besar UMNO selama ini di dalam memperjuangkan Islam sebagai suatu cara hidup dan bukan sekadar 'agama rasmi'. Malah, penambahan frasa "menjunjung fahaman ASWJ" akan memperkukuh idealisme serta iltizam perjuangan Islam UMNO dan menolak sebarang unsur-unsur ajaran sesat, termasuklah agama Syiah yang semakin berleluasa.

Keduanya, pindaan ini sebenarnya menegaskan peranan UMNO sendiri sebagai tulang belakang pemerintahan kerajaan Malaysia yang telah banyak memperkenalkan model dan sistem Islam di dalam pelbagai bidang. Kita boleh menyebut beberapa contoh seperti pindaan pada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan di dalam tahun 1988 yang telah membuka ruang pemerkasaan sistem pentadbiran undang-undang Islam yang sangat meluas.

Sebagai bukti, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini mengumumkan bahawa Peguam Negara telah memberi lampu hijau untuk meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang ketika ini mengehadkan Dewan Undangan Negeri hanya boleh mewujudkan kesalahan melanggar perintah agama Islam yang hukumannya tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Ini membuka ruang pemerkasaan undang-undang syariah. Selain itu, pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (Islamic Financial Services Act) 2013 merupakan sumbangan terkini Malaysia mewujudkan model mithali dalam regulasi perkhidmatan kewangan Islam di peringkat sejagat.

Ketiga, para pemimpin UMNO sendiri dapat menzahirkan niat dan tindakan mereka mempertahankan Islam dengan lebih matang, kukuh serta berwibawa dengan adanya pindaan sub-fasal 3.3 ini. Dengan serangan yang dizahirkan melalui NGO-NGO HAM dan parti-parti politik berfahaman liberal sekular, maka kepimpinan UMNO harus terlebih dahulu memantapkan kefahaman Islam sebagai suatu cara hidup dan mengenalpasti fahaman-fahaman berbahaya seperti liberalisme, pluralisme dan sekularisme agama yang mencetuskan bukan sahaja kekalutan pemikiran umat Islam, tetapi juga menghasilkan gaya hidup bebas anti-Tuhan serta mengamalkan gaya hidup songsang seperti LGBT.

Melihat pada cabaran-cabaran mendatang di peringkat sejagat, ketegasan pendirian tersebut hanya dapat terus dilakukan oleh kerana wujud jaminan utuh kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka sewajarnya hal ini diterjemahkan di dalam UMNO sendiri, sebagai mengekalkan peranan relevan memperjuangkan Islam di Malaysia dan menawarkan contoh kepada negara-negara Islam lain.

Siapa yang diperbodohkan?

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

GENERASI muda diperalatkan! Inilah hakikatnya apabila kita bercakap soal Himpunan Guling Kerajaan yang dirancang diadakan pada 31 Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Lebih malang, sudah pasti yang ramai akan terlibat adalah anak muda Melayu yang ada antara mereka masih bergelar pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sebelum ini pun dalam perhimpunan haram yang diadakan, ramai anak Melayu bersedia melakukan kerja bodoh dan diperbodohkan dengan menyertainya.

Walaupun mereka tidak mendapat apa-apa faedah tetapi masih ramai antara mereka masih belum insaf. Mereka ini sebenarnya golongan yang boleh dianggap mentah dalam hal ehwal negara tetapi cuba hendak tunjuk pandai, bukan kerana mereka bijak tetapi akibat terhasut dengan ajakan pihak tertentu.

Biarpun di dalam laman sosial, penganjur menguar-uarkan tiada ahli politik terlibat namun sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Namun itu tidak penting kerana kalau ada beberapa pemimpin pembangkang terlibat ia bukanlah satu kejutan tetapi persoalan siapakah yang diperbodohkan dalam gerakan ini?

Kalaupun hendak menjadi pembela rakyat biarlah bertempat dan bukannya melakukan tindakan yang boleh menggadaikan masa depan sendiri. Tidakkah mereka fikir atau kaji, apakah yang berlaku kepada golongan muda yang sebelum ini ditahan ketika menyertai perhimpunan haram?

Apakah nasib mereka dibela oleh mana-mana pemimpin pembangkang apabila mereka dibuang atau digantung pengajian oleh pihak universiti?

Dalam soal ini, kita tidak menyalahkan seratus peratus segelintir golongan muda yang diperbodohkan atau sedia diperbodohkan, tetapi apa yang kita hendak mempersoalkan siapakah yang tergamak memperbodohkan mereka?

Sememangnya kita mengetahui anak muda begitu mudah terpancing apatah lagi apabila mendapat sedikit upah. Ada antara mereka tidak tahu pun apa tujuan perhimpunan itu, tetapi oleh kerana terpengaruh dengan ajakan untuk berseronok maka mereka pun turut serta.

Kita tidak boleh membiarkan golongan muda ini terus menjadi mangsa hasutan mana-mana pihak. Mereka sepatutnya dibimbing untuk menghormati kedaulatan undang-undang dan bukannya turun ke jalanan bagi mencabar undang-undang.

Sebab itulah, kita mahu tindakan tegas diambil kepada dalang perhimpunan ini tanpa mengira siapa pun mereka. Ini memandangkan tindakan mereka memperalatkan golongan muda adalah satu tindakan keterlaluan dan melampau.

Mereka perlu diburu sehingga ke lubang cacing dan dihadapkan ke muka pengadilan supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di negara ini.

Kalau benar, mereka mahu menjadi pejuang dan bersedia menanggung apa juga akibat maka tampilkan diri, jangan bersikap pengecut dengan hanya menjadi tok dalang yang menghasut anak-anak muda.

Individu seumpama ini tidak layak menjadi pemimpin dan harus ditolak oleh rakyat kerana mereka hanya mengundang kesengsaraan kepada negara ini.

Apatah lagi mengikut perancangan kumpulan yang mahu mengadakan perhimpunan pada 31 Disember ini, mereka akan mula memasuki Dataran Merdeka pada pukul 10 malam dan akan berada di situ selama mungkin.

Malah mereka juga sudah menguar-uarkan bersedia berhadapan dengan tindakan pihak berkuasa dengan seruan, masuk ke Dataran Merdeka walau apa pun halangan.

Keadaan ini sudah jelas membuktikan perhimpunan kali ini mempunyai motif untuk menghuru-harakan negara dan harus dihalang dengan apa juga cara sekali pun.

Mungkin ada pihak khususnya pembangkang akan terpekik terlolong jika pihak berkuasa bertindak dengan menganggap ia pencabulan demokrasi, tetapi bagaimana pula dengan tindakan mereka?

Apakah hasrat untuk mengguling kerajaan melalui demonstrasi jalanan tidak boleh dianggap sebagai pemerkosaan ke atas amalan demokrasi di negara ini?

Justeru bagi mengelak anak muda kita terjebak dengan politik songsang mana-mana juga pihak, maka adalah perlu perhimpunan haram yang dirancang itu perlu dihalang. Jangan biarkan ratusan laporan polis yang dibuat di seluruh negara hanya sekadar menjadi fail polis sahaja sedangkan majoriti rakyat mahu pihak terlibat ditahan dan didakwa.

Semua pihak yang membuat laporan polis itu bimbang kerana ia bukan sahaja melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman tetapi bagaimana anak muda dihasut oleh pihak tertentu untuk berdemonstrasi.

Kita sudah saksikan di banyak negara bagaimana apabila golongan muda terhasut dengan gejala seumpama itu negara tersebut menjadi porak-peranda.

Pemikiran mereka diracuni dengan propaganda bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada. Mungkin bagi kerajaan yang zalim dan kuku besi, ia layak ditumbangkan tetapi apakah kerajaan negara ini benar-benar zalim seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak.

Kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) zalim, sudah lama puak-puak yang mahu membuat tindakan tidak waras dengan turun ke jalanan ini disumbatkan ke dalam tahanan. Tetapi kerajaan tidak berbuat demikian, sebaliknya pihak berkuasa hanya akan bertindak selepas bukti dimiliki dan siasatan selesai.

Kita memahami kenaikan kos sara hidup akan membebankan rakyat tetapi membuta tuli hendak menuduh kerajaan zalim hanya kerana perkara itu adalah tidak adil tanpa melihat sebab munasabah dan usaha yang sedang dilakukan bagi mengurangkan beban rakyat.

Sepatutnya berilah peluang kepada kerajaan mengendalikan situasi sebelum hendak menggunakan pendekatan jahil turun ke jalanan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Namun begitu kita percaya masih ramai lagi anak muda yang tidak akan terpedaya dengan hasutan pihak tertentu untuk menggadaikan masa depan dengan turun ke jalanan pada 31 Disember ini.

Kita percaya pihak berkuasa berkemampuan mengendalikan keadaan, apa yang perlu dilakukan ialah memberi penerangan dan penjelasan kepada anak-anak muda jangan melibatkan diri dalam perbuatan tidak berfaedah itu.

Mungkin ada pihak yang menganggap tindakan memperbesar-besarkan isu perhimpunan haram tersebut akan memberi kelebihan kepada penganjur.

Tambahan pula menurut sumber, kelompok itu gembira kerana paparan sedemikian akan memberi publisiti percuma kepada mereka dan sekali gus akan menggalakkan lebih ramai orang menyertai perhimpunan itu.

Tetapi mereka terlupa bahawa tidak semua orang bersedia melakukan kerja bodoh, diperbodohkan atau memperbodohkan diri?

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved