Jumaat, 27 Disember 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tiga anggota kastam didakwa

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

ANGGOTA polis mengawal ketat tiga anggota kastam yang didakwa mengedar dadah di Mahkamah Majistret, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 27 Dis. - Tiga anggota Cawangan Narkotik Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret dekat sini hari ini atas pertuduhan mengedar 1.54 kilogram (kg) dadah disyaki heroin.

Mereka ialah Wee Sew Him, 58, Bahara Mansor, 58, dan Syafizal Mahmud, 36, bertugas di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat KDRM, Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kesemua tertuduh yang memahami pertuduhan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 12.30 malam, pada 15 Disember lalu di cawangan tersebut di Jalan Ciku, Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bahara dan Syafizal diwakili peguam Rosal Azimin Ahmad manakala Sew Him tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli yang mengendalikan pendakwaan, memohon tarikh sebutan baharu ditetapkan sementara menunggu laporan kimia.

Siti Khairiah menetapkan 3 Mac depan bagi tarikh sebutan kes.

Pada 17 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan empat pegawai penguat kuasa antara 11 individu termasuk pegawai penguat kuasa KDRM dan warga asing ditahan dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, mereka disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM14 juta melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, dalam serbuan di sekitar Taman Desa, Jalan Klang Lama, Brickfields dan Jalan Pudu di sini serta Nilai dan Seremban di Negeri Sembilan, polis menahan empat lelaki warga Nigeria, seorang lelaki warga India dan enam lelaki tempatan berumur antara 22 dan 58 tahun.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 68.68kg, heroin 9.7kg, kafein 25.3kg, sepucuk pistol jenis CZ bersama magazin serta 30 butir peluru, wang tunai RM34,950 dan menyita dua buah kenderaan.

Dadah: Warga Iran ke tali gantung

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

SHAH ALAM 27 Dis. - Seorang juruteknik warga Iran yang menelan 103 kapsul mengandungi dadah methamphetamine dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 581.24 gram dadah tersebut, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap Mahdi Keramatvyarsagh Khodavirdi, 34, selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim tersebut dalam penghakimannya berkata, keterangan pembelaan tertuduh seolah-olah diajar.

''Tertuduh mendakwa dia ditipu oleh lelaki bernama Wahid yang menyuruhnya menelan kapsul itu bertujuan mengelak dikenakan cukai,'' ujar beliau.

Lelaki itu didakwa mengedar 218.5 gram methamphetamine di pejabat Narkotik Aras 3, Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pukul 3.45 petang, 11 Jun 2010.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved