Jumaat, 27 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Murid mula bersekolah dibantu

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
pengarang@utusan.com.my

Suhaimi Salleh (kiri) menunjukkan kemahiran menggunting rambut selepas majlis penyampaian sumbangan beg sekolah di Dewan Serbaguna Tok Moy, Kampung Duku, Pontian, kelmarin.

PONTIAN 26 Dis. - Seramai 200 murid di kawasan Tanjung Piai di sini menerima sumbangan beg sekolah daripada Badan Perhubungan UMNO negeri sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan baharu minggu depan.

Pergerakan Puteri UMNO serta Biro Pendidikan UMNO Bahagian Tanjung Piai turut menyumbangkan peralatan sekolah selain perkhidmatan gunting rambut percuma.

Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan membuat persediaan persekolahan anak-anak mereka.

"Kami berharap sesi persekolahan mereka akan lebih bermakna serta bermotivasi dengan sumbangan yang diterima ini," katanya dalam majlis penyampaian sumbangan kepada ibu bapa dan wakil sekolah di Dewan Serbaguna Tok Moy, Kampung Duku di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Puteri UMNO Bahagian Tanjung Piai, Rahimah Ithnin; Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mohd. Mokhtar Abdullah dan Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Piai, Shafie Kadar.

Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan bersungguh-sungguh memberi pendidikan sempurna kepada semua lapisan masyarakat termasuk anak-anak golongan kurang berkemampuan supaya mereka tidak ketinggalan dalam bidang tersebut.

Beliau berharap semua ibu bapa memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sebaiknya bermula di peringkat prasekolah sehingga ke sekolah menengah dan seterusnya ke institusi pengajian tinggi (IPT).

"Dengan kemudahan bangunan sekolah yang serba lengkap termasuk di luar bandar, tenaga pendidik yang berkualiti serta berkemahiran, tentunya tiada halangan bagi mereka untuk berjaya," katanya sambil menyarankan ibu bapa mewujudkan tabungan khas bagi tujuan pendidikan anak-anak demi masa depan mereka.

Beliau berkata, dengan adanya perancangan awal, beban ibu bapa akan berkurangan kerana mereka telah mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa.

"Sekurang-kurangnya mereka boleh menabung sebanyak RM150 sebulan dan pada akhir tahun dapat mengumpul sebanyak RM1,800 yang boleh digunakan pada awal persekolahan," katanya.

Acara menarik ulang tahun Johor Bahru

Posted: 26 Dec 2013 10:22 AM PST

Ismail Karim (tiga dari kiri) menyentuh bebola kristal elektronik bagi melancarkan Perayaan Ulang Tahun Ke-20 MBJB di Johor Bahru, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 26 Dis. - Pelbagai acara menarik menanti warga bandar raya ini sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Johor Bahru mulai 1 Januari ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim berkata, sebanyak 20 acara dianjurkan hingga penghujung Jun depan sempena mengimbau dan meraikan 20 tahun perisytiharan Johor Bahru sebagai bandar raya kelima di negara ini pada 1 Januari 1994.

"Acara yang disusun termasuk aktiviti sosial, kerohanian, cara hidup sihat, sukan, kemasyarakatan, pengindahan dan keilmuan membabitkan semua golongan belia, kanak-kanak, keluarga, pemaju, profesional dan komuniti setempat.

"Tema yang dipilih ialah JB Dihatiku bertujuan mengeratkan kerjasama serta hubungan baik dan harmoni antara staf Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan warga bandar ini," katanya semasa melancarkan Perayaan Ulang Tahun Ke-20 MBJB di sini kelmarin.

Yang turut hadir, bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd. Jaffar Awang yang berkhidmat mulai 2009 hingga 2011.

Ismail turut berharap semua warga bandar raya ini menghayati tema yang dipilih dan bersama-sama bertanggungjawab menjadikan Johor Bahru sentiasa bersih, indah dan ceria.

Beliau berkata, Johor Bahru yang kini menjangkau usia 158 tahun mengalami pelbagai proses peralihan dan perubahan iaitu dari sebuah perkampungan kecil petani dan nelayan kepada bandar yang pesat membangun dan kini menuju sebuah bandar raya maju, bersepadu dan bertaraf antarabangsa menjelang 2020.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Johor Bahru mengalami beberapa perubahan yang agak ketara membabitkan pertumbuhan kawasan penempatan baharu, pembangunan infrastruktur, landskap, rekreasi serta projek pembangunan mega yang memberi imej baharu kepada bandar raya ini.

"MBJB menyahut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan memberikan perkhidmatan yang sebaik mungkin supaya bandar raya ini sentiasa kondusif untuk didiami," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved