Jumaat, 27 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


MPSJ diminta kaji semula

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Chong Chee Yen (tengah) bersama sebahagian 35 peniaga sekitar Subang Jaya berkumpul sebagai membantah kenaikan kadar baharu lesen perniagaan yang didakwa naik terlalu mendadak di pekarangan MPSJ, Subang Jaya, Selangor, semalam. - UTUSAN/Ghazali Basri

SUBANG JAYA 27 Dis. - Kira-kira 35 peniaga di sini membantah kenaikan kadar baharu lesen perniagaan yang didakwa dinaikkan secara mendadak oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Peniaga mendakwa, kenaikan itu memberi kesan kepada mereka yang terdiri daripada peniaga kecil dan sederhana kerana dibuat tanpa sebarang pemberitahuan notis awal.

Naib Pengerusi Parti Gerakan Selangor, Chong Chee Yen, berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula kenaikan tersebut kerana kenaikannya terlalu mendadak sehingga mencecah 400 peratus bermula tahun depan.

Menurutnya, kenaikan itu akan sudah tentu memberi kesan kepada kos peniagaan.

"Kami dimaklumkan bahawa kedai runcit dikenakan yuran sehingga RM1,000 setahun berbanding RM180 sebelum ini.

"Tindakan ini amat keterlaluan kerana dilaksanakan tanpa sebarang notis awal," katanya kepada pemberita semasa mengetuai bantahan aman bersama peniaga di pekarangan i MPSJ di sini hari ini.

Semasa bantahan tersebut, Chee Yen turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Timbalan Setiausaha MPSJ, Mohd. Zulkarnain Che Ali bagi mewakili peniaga terlibat.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan MPSJ bahawa kenaikan kadar tersebut adalah pindaan baharu Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.

"Bagaimana pun kami melihat kenaikan yang terlalu mendadak itu hanya akan menyebabkan kesulitan kepada peniaga pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Chen Eng Keng, 38, berkata, dia berharap MPSJ dapat menangguhkan kenaikan tersebut dan mengenakan kadar yang lebih munasabah.

"Sudahlah sewa di sini mahal ditambah dengan kadar lesen yang naik secara tiba-tiba pula, perkara tersebut benar-benar memberi tekanan kepada kami.

"Kami juga tidak mendapat maklumat yang jelas mengapa kadar tersebut dinaikkan, sedangkan sebelum ini caj yang dikenakan sangat berpatutan," ujarnya.

Golongan muda diminta lebih matang dan rasional - Johan

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Johan Abdul Aziz (tengah) bersama sebahagian daripada penerima bantuan persekolahan sekitar Hulu Langat selepas merasmikan Program Empat Dalam Satu di Semenyih, Hulu Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

HULU LANGAT 27 Dis. - Anggota masyarakat terutama golongan muda diminta bersikap lebih matang dan rasional dalam melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap sebarang isu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, mereka tidak sepatutnya terpedaya dengan pengaruh dan ajakan untuk turun berdemonstrasi yang dikhuatiri boleh memporak perandakan keamanan negara.

Menurutnya, tindakan itu hanya merugikan diri mereka sendiri dan akan merencat semangat golongan muda.

"Lebih baik kita menyertai pelbagai aktiviti yang menyihatkan atau mengambil iktibar dari pelbagai sejarah dan peristiwa yang berlaku di negara lain, dalam erti kata pentingnya kita mempertahankan keamanan negara kita yang tercinta ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penganjuran Himpunan Guling Kerajaan pada 31 Disember ini yang dipercayai cuba memperalatkan golongan belia untuk menentang kerajaan menerusi demonstrasi jalanan.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Program Empat Dalam Satu di sini.

Selain acara pelepasan empat veteran ahli UMNO berbasikal menjelajah Selangor sejauh 341 kilometer, beliau turut melancarkan Kelab Bola Sepak Peringkat DUN Semenyih.

Turut diadakan majlis penyampaian penghargaan kepada Kelab Bola Sepak Remaja Semenyih Putra United yang menjuarai Divisyen 1 Kejohanan Bola Sepak 1 Malaysia Cardiff Club (1MCC) baru-baru ini dan Penyerahan Bantuan Kembali Ke Sekolah kepada kira-kira 200 pelajar sekolah rendah sekitar Hulu Langat.

Johan menambah, adalah lebih baik melibatkan diri dalam aktiviti sukan kerana ia bukan sahaja meningkatkan kesihatan, sebaliknya usaha untuk mengharumkan nama negara sekiranya terpilih ke peringkat antarabangsa.

"Ini sebagaimana yang kami usahakan di daerah ini, apabila kita mampu untuk melahirkan dua pemain muda kebangsaan bagi mewakili pasukan bola sepak negara," katanya.

Tambahnya, semangat empat ahli veteran UMNO berbasikal menjelajah Selangor itu perlu dijadikan contoh kepada anak-anak muda lain dengan melibatkan diri melalui kegiatan lebih sihat dan tidak merugikan diri mereka sendiri.

Menurutnya, acara berbasikal itu merupakan sebahagian latihan fizikal dan mental mereka sebelum menyertai satu ekspedisi berbasikal untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah pada Mac 2014.

Kerajaan peruntuk RM7 juta untuk PP1M

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Hasan Malek (tengah) mencuba alat membuat laksa kebak selepas merasmikan Program Penjaja 1Malaysia di R&R Bukit Dukong, Kajang, Selangor, semalam - UTUSAN/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Kerajaan memperuntukkan RM7 juta untuk melaksanakan transformasi fizikal premis penjaja dan peniaga kecil selaras dengan matlamat Program Penjaja 1Malaysia (PP1M) sejak mula diperkenalkan tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, PP1M diperkenalkan bagi menaik taraf kawasan perniagaan melalui premis yang lebih bersih dan teratur serta menekankan penyediaan makanan yang bersih, sihat dan selamat.

"Program ini dimulakan di Kuala Lumpur dan diteruskan secara berperingkat ke kawasan-kawasan lain di seluruh negara.

"Kerajaan juga memperkenalkan satu lagi projek yang dikenali sebagai 'transformasi kios' yang bertujuan memberikan landskap baharu kepada gerai tradisional penjaja yang dibina dengan kayu dan zink," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan PP1M di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Dukung, Kajang dekat sini hari ini.

Menurut Hasan, melalui projek 'transformasi kios', penjaja dan peniaga kecil akan menggunakan gerai keluli tahan karat.

Katanya, sebanyak 13 projek 'transformasi kios' telah dilaksanakan di PP1M Bukit Dukung yang juga merupakan projek perintis sebelum dikembangkan ke seluruh negara.

"Kementerian melalui kerjasama strategik bersama Grand Saga Sdn. Bhd. (Grand Saga) iaitu syarikat konsesi tol Lebuhraya Cheras-Kajang telah bersetuju untuk berkongsi peruntukan menaik taraf pusat penjaja di sini yang menelan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM114,000," jelasnya.

Turut bekerjasama menjayakan program itu adalah Majlis Perbandaran Kajang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Yaqin Marketing Sdn. Bhd. serta persatuan-persatuan penjaja dan peniaga kecil setempat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved