Jumaat, 27 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


RM20,000 bagi lepasan GiatMara

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Ismail Mohamed Said (duduk, tengah) bergambar bersama sebahagian pelatih GiatMara selepas Majlis Graduasi GiatMara Zon 2 di Dataran Desa Murni, Kerdau, Pahang, Pahang, baru-baru ini.

KUALA KRAU 27 Dis. - Lepasan pelatih Pusat GiatMara di dalam Parlimen Kuala Krau akan ditawarkan geran sebanyak RM20,000 bagi membolehkan golongan tersebut menceburi bidang keusahawanan berdasarkan kursus yang mereka ikuti di pusat itu.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, tawaran itu terbuka kepada pelatih yang berkongsi perniagaan sekurang-kurangnya lima orang sama ada mahu membuka bengkel motosikal, jahitan dan lain-lain.

Menurutnya, tawaran ini bertujuan memperkasakan latihan kemahiran dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan negara.

"Para pelatih boleh berbincang sesama sendiri untuk membentuk kumpulan dan memilih jenis perniagaan sesuai, khususnya bidang yang dipelajari di Pusat GiatMara.

"Kumpulan perniagaan yang berjaya tidak perlu membayar balik pinjaman tetapi hanya memastikan perniagaan terus berkembang maju, sekali gus memberi pulangan pendapatan kepada mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Hari Graduasi Pusat GiatMara Zon 2 membabitkan 240 pelatih dari Kuala Krau, Jengka, Temerloh, Maran dan Bera di Dataran Desa Murni, Kerdau di sini kelmarin.

Menurut Ismail, geran yang ditawarkan itu adalah inisiatif beliau sendiri daripada peruntukan Ahli Parlimen bagi menyokong usaha untuk menarik lebih ramai tenaga mahir diwujudkan di negara ini.

Katanya, mereka juga boleh mengemukakan permohonan pinjaman tambahan dengan agensi kerajaan lain seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, Agrobank dan lain-lain bagi menambah modal pusingan.

Beliau memberitahu, kerajaan menyasarkan 33 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang tahun 2020 yang menentu hala tuju menjadi negara maju.

"Usaha membina keupayaan kendiri pelatih perlu dimantapkan supaya mampu melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan, berkemahiran dan pakar dalam bidang berkaitan," katanya.

RM617,000 bantu mangsa banjir tiga daerah

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

KUANTAN 27 Dis. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) telah mengeluarkan bantuan RM617,000 kepada lebih 3,000 mangsa banjir di negeri ini melibatkan tiga daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Chenor.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, setiap keluarga mangsa banjir menerima bantuan wang tunai RM200 di samping barangan keperluan seperti makanan dan pakaian.

"Buat masa sekarang, Muip masih mengumpul maklumat mangsa-mangsa banjir untuk dipertimbangkan bantuan yang lebih sesuai.

"Kita (Muip) akan terus memberikan bantuan terutama dari segi barangan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini," titah baginda selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Korporat di Istana Abdul Aziz di sini hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak tujuh syarikat menyerahkan zakat masing-masing yang keseluruhannya berjumlah RM5,593,491.45.

Syarikat-syarikat terlibat, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) (RM1,778,328.11); Kumpulan DRB-Hicom Berhad (RM2.5 juta); Tanah Makmur Berhad (RM687,203.38) dan Affin Islamic Bank Berhad (RM466,666.67).

Turut menyerahkan zakat, AgroBank Berhad (RM85,461.29); Bank Persatuan Malaysia Berhad (RM50,000) dan Kumpulan Hospital Pakar PRKMUIP Sdn. Bhd. (RM25,832).

Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Muip bertitah, Muip menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM108 juta pada tahun ini dan sehingga kini, jumlah kutipan termasuk bayaran daripada tujuh syarikat tersebut berjumlah RM102.6 juta.

"Bagaimanapun masih terdapat bayaran zakat melalui potongan gaji bulan Disember sebanyak RM3.2 juta serta bayaran di kaunter zakat menjelang 31 Disember ini yang dianggarkan sebanyak RM1.4 juta lagi," titah baginda.

Baginda bertitah, bilangan pembayar zakat sehingga kini adalah sebanyak 69,248 orang sementara sasaran pembayar, 71,000 orang.

Rela Pahang tetapkan KPI anggota

Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST

Mohd. Shah Rizal Zainal (tengah) memeriksa barisan platun Rela pada perasmian premis PKKR Platun di Felda Padang Piol, Jerantut, Pahang, kelmarin.

JERANTUT 27 Dis. - Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Pahang akan dipantau bagi memastikan indeks pencapaian utama (KPI) pasukan dapat ditingkatkan seterusnya memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang.

Pengarahnya, Mohd. Shah Rizal Zainal berkata, walaupun pasukan itu bergerak sebagai sukarelawan namun aspek perkhidmatan serta pengurusan tidak boleh dibuat secara sambil lewa kerana pasukan itu kini telah diiktiraf sebagai salah sebuah jabatan kerajaan.

Menurutnya, Rela negeri ini akan menentukan KPI terhadap ahli dan semua aspek kegiatan pasukan mulai tahun depan menerusi pegawai yang ditempatkan di setiap daerah dan ibu pejabat di Kuantan.

"KPI yang ditentukan terhadap pentadbiran Rela di daerah dan kawasan berdasarkan usaha menambahkan ahli, pentadbiran platun, pengurusan Pusat Khidmat Komuniti Rela (PKKR), mesyuarat, fail pengurusan, kegiatan platun, dokumentasi dan kehadiran tugas anggota berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan premis PKKR Platun di Felda Padang Piol di sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Shaari Din; Pengurus Felda Padang Piol, Abd. Malek Shaari dan Ketua Platun Rela Padang Piol, Norhisyam Ariffin.

Menurut beliau, sasaran itu bukan untuk memberi tekanan kepada anggota terbabit sebaliknya bagi mewujudkan sebuah pasukan sukarelawan yang bertaraf jabatan kerajaan seperti dilaksanakan oleh agensi kerajaan lain.

Katanya, pegawai Rela di peringkat negeri dan daerah akan memantau kegiatan platun di semua tempat dan memberi tunjuk ajar mengenai pengurusan dan pentadbiran supaya lebih efektif dan bersiap siaga berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Mohd. Shah Rizal meminta pengurusan platun dan anggota Rela menggunakan kemudahan PKKR untuk tujuan pentadbiran, mesyuarat dan merancang kegiatan yang boleh membantu komuniti setempat.

"Kemudahan ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya sebagai pusat transit untuk latihan kawad, latihan ahli baharu, pusat logistik dan dokumentasi kegiatan platun sebagai rujukan umum," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved