Rabu, 18 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Gelombang kedua banjir

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

Oleh HERMAN HAMID
utusanktn@utusan.com.my

Mohamed Fauzi Abdul Rahim (depan, tiga kiri) bersama sebahagian anggota dan pegawai polis bersiap sedia menghadapi gelombang kedua selepas sidang akhbar di Pangkalan Marin Wilayah Timur, Kuantan, semalam. - Utusan/ Zakki Jilan

KUANTAN 18 Dis. - Sebanyak 2,971 anggota dan pegawai polis negeri ini terlibat bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta bantuan sekiranya banjir gelombang kedua berlaku seperti mana diramalkan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, di samping itu, pihaknya turut menyediakan 102 kenderaan darat meliputi lori dan pacuan empat roda di samping 42 bot bagi menghadapi bencana kali ini.

"Dari segi polis, kita bersiap sedia sepenuhnya bagi menjalankan tugas seperti mana diamanahkan sama ada tugas menyelamat mahu pun menghantar bantuan.

"Selain itu, aset polis akan turut digunakan bagi rondaan mencegah jenayah sepanjang musim banjir bagi menjamin keselamatan harta benda penduduk terlibat ketika mereka di pusat pemindahan," katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Marin Wilayah Timur di sini hari ini.

Yang hadir sama, Komander Polis Marin Wilayah Timur, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Abdul Aziz Ahmad.

Dalam pada itu, Fauzi berkata, penduduk yang diminta berpindah perlu segera berbuat demikian tanpa berlengah bagi melicinkan operasi menyelamat.

"Untuk itu, mereka perlu bersiap sedia dengan dokumen penting kerana apabila diminta berpindah, semuanya boleh dilakukan dengan cepat.

"Apatah lagi ketika ini amaran telah dikeluarkan mengenai kemungkinan banjir gelombang kedua terutama di tiga daerah, Pekan, Rompin dan Kuantan. Jadi, ikuti perkembangan semasa banjir terutama di sekitar kawasan tempat tinggal supaya kita bersiap sedia," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta penduduk tidak meletakkan kenderaan sehingga menghalang lalu lintas seperti mana sebelum ini sehingga mengganggu tugas menyelamat dan penghantaran bantuan.

Mengenai kes kecurian di rumah mangsa banjir ketika mereka berada di pusat pemindahan, Fauzi berkata, setakat ini tidak ada laporan diterima.

"Aspek rondaan cegah jenayah sentiasa diberi penekanan. Jadi orang ramai diminta jangan bimbang, yang penting bila diarah pindah kita kunci rumah dan pindah," ujarnya.

Barangan keperluan mencukupi

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

Ahmad Dahuri Mahmud (kiri) bersama pegawai KPDNKK membersihkan kerusi yang berlumpur ekoran kesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 18 Dis. - Pemantauan berterusan anggota penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) berjaya memastikan bekalan barangan keperluan di negeri ini termasuk di daerah yang dilanda banjir sentiasa mencukupi.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Ahmad Dahuri Mahmud berkata, malah hasil pemeriksaan turut mendapati tiada peniaga yang menjual barangan keperluan melebihi harga ditetapkan.

"Kita sentiasa mengawal barangan keperluan agar mencukupi dan peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasikan harga barangan pada musim banjir dengan mengaut keuntungan yang berlebihan semasa permintaan meningkat.

"Semua anggota penguat kuasa telah digerakkan bagi mempertingkatkan pemeriksaan dan membuat pemantauan yang aktif ke semua peringkat perniagaan iaitu pembekal, pengedar, pengimport, pemborong dan peruncit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program gotong-royong oleh 130 sukarelawan dari kementerian itu dan bomba Jerantut bagi membersihkan peralatan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Tawar di sini kelmarin.

Sekolah tersebut mengalami kerugian kira-kira RM100,000 apabila air naik sehingga paras 1.6 meter selama seminggu menyebabkan banyak peralatan yang rosak.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 50 pegawai baharu kementerian dari seluruh negara kini berkursus di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) dekat sini.

Tambahnya, semua peserta kursus didedahkan dengan pelbagai prosedur kerja serta semangat tanggungjawab sosial bagi membantu mereka yang berada di dalam kesusahan.

Bantuan kerajaan setakat di pusat pemindahan

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

KUANTAN 18 Dis. - Agensi kerajaan hanya bertanggungjawab menguruskan bantuan kepada mangsa banjir ketika mereka berada di pusat pemindahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (gambar) berkata, selepas pulang ke rumah, mangsa kebiasaannya menerima sumbangan pihak lain seperti korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.

''Maka, perlu dijelaskan di sini, bantuan kepada mangsa yang diurus pihak kerajaan adalah ketika mereka di pusat pemindahan. Bila mereka pulang ke rumah, kita tidak lagi terlibat.

''Bantuan yang datang daripada korporat, NGO dan sebagainya itu diuruskan penyumbang kerana mereka mahu agih sendiri bantuan tanpa melalui penyelarasan pihak kita. Jadi mereka kenal pasti sendiri mangsa terlibat," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri diminta mengulas keluhan mangsa banjir di daerah ini yang merungut tidak lagi menerima bantuan daripada pihak kerajaan selepas mereka dibenar pulang ke rumah.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Saffian dalam sidang akhbarnya semalam memaklumkan, tiga pusat pemindahan utama ditetapkan kerajaan bagi menempatkan mangsa di daerah ini sekiranya gelombang kedua banjir berlaku seperti mana diramalkan.

Beliau berkata, lokasi tersebut ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Ching, Wisma Belia dan Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota.

Menurutnya, ketiga-tiga lokasi tersebut dipilih kerana bebas daripada bencana banjir seperti mana pada gelombang pertama awal bulan lalu.

''Tiga pusat ini sahaja mampu menampung sekurang-kurangnya 10,000 mangsa dan jika jumlah bertambah, kita akan buka pusat pemindahan lain yang telah dikenal pasti," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved