Rabu, 18 Disember 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Operasi banteras iklan ah long

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

KULAIJAYA 17 Dis. - Iklan-iklan ah long di kawasan awam dilaporkan semakin berkurangan hasil Ops Cantas Khas yang dilancarkan secara berterusan di seluruh daerah ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Asisten Supritendan Lyidia Mastura Alias berkata, namun masih terdapat ah long yang keras kepala dengan menaikkan semula iklan perkhidmatan mereka.

"Mereka turut mengedarkan risalah atau kad nama di premis perniagaan sama ada menerusi peti pos ataupun diselitkan di pintu premis serta pengelap cermin depan kenderaan.

"Operasi hari ini mensasarkan untuk menurun atau menanggalkan sekurang-kurangnya 200 poster di empat lokasi 'panas' di sekitar Taman Putri dan Bandar Putra.

"Tindakan seterusnya mengemukakan nombor tertera kepada syarikat telekomunikasi untuk disenaraihitamkan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi membanteras iklan ceti haram, di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi berkenaan mendapat kerjasama daripada anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulaijaya (MPKu).

"Operasi selama tujuh jam yang bermula kira-kira pukul 8 pagi berkenaan diadakan di empat lokasi iaitu Taman Putri Fasa 1, 2, 11 dan 12 selain Jalan Kempas serta Jalan Merbau di Bandar Putra," katanya.

Tambah Lyidia Mastura, pihaknya telah menahan 10 individu yang melakukan kesalahan terbabit manakala lapan daripadanya telah didakwa di mahkamah sepanjang tahun ini.

"Pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang Pindaan 2010 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

"Maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan ini amatlah dialu-alukan. Bagaimanapun, mengenai aduan berhubung poster ah long ini biasanya dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Kes denggi di Johor meningkat akibat banjir

Posted: 17 Dec 2013 10:41 AM PST

Ayub Rahmat (dua dari kanan) tertarik melihat pokok diperbuat daripada botol plastik yang dikitar semula sambil diperhatikan Onn Jabbar (dua dari kiri) sempena Seminar Alam Sekitar 2013 di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 17 Dis. - Bencana banjir yang berlaku di negeri ini turut menyebabkan pertambahan jumlah kes denggi terutama di Segamat yang menyaksikan seorang lagi menjadi mangsa penyakit bawaan nyamuk tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah kematian di seluruh negeri kini meningkat kepada sembilan orang akibat korban terbaru itu.

"Faktor hujan yang mengakibatkan air bertakung dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat keperluan memusnahkan kawasan takungan air menjadi punca peningkatan kes denggi seperti tin kosong dan kawasan takungan air yang dibiarkan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Ini merupakan perkara serius yang memerlukan tanggungjawab semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan menyelesaikan masalah ini dari peringkat awal lagi," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Alam Sekitar 2013, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar.

Dalam pada itu, Ayub berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri juga sudah bersiap-sedia untuk menghadapi cabaran gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku esok seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi.

Beliau bagaimanapun optimis gelombang kedua itu tidak akan memberi kesan yang teruk berdasarkan jumlah taburan hujan yang berlaku di negeri ini setakat ini sudah mendekati purata taburan hujan untuk setahun.

"Johor menerima hujan secara purata pada 2,148 milimeter setahun dan setakat ini kita sudah menerima 2,048 milimeter hujan. Baki 100 milimeter lagi yang bakal turun tidak akan menjejaskan atau berlaku banjir besar walaupun turun dalam tempoh sehari, kecuali kawasan rendah yang akan dinaiki air," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved