Rabu, 18 Disember 2013

Utusan Online - Feminin


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Feminin


Anis tidak dimanja

Posted: 17 Dec 2013 08:52 AM PST

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR

PERTAMA kali melihatnya semasa sesi fotografi fesyen, gadis berkulit kuning langsat ini tampak seorang yang lemah-lembut, perlahan tatkala menuturkan kata-kata dan tersenyum sopan jika ada sesuatu yang menggelikan hatinya. Mungkin juga dia masih malu kerana baru pertama kali bertemu.

Kali kedua berjumpa untuk satu lagi sesi fotografi, dia tetap begitu. Sememangnya dia seorang yang berperwatakan lembut dan mempamerkan ciri seorang wanita Melayu yang masih tebal dengan sifat-sifat malu.

Begitu pun, pemilik nama Sharifah Anis Syed Zainal Al-Idrus, 25, ini sebenarnya telah dididik dengan sifat berdikari dan berani menghadapi apa sahaja cabaran.

Ringkas dengan panggilan Anis, gadis ini merupakan anak tunggal yang kebiasaannya akan ditatang bagai minyak yang penuh dan dilayan dengan penuh kemanjaan, namun semua itu amat berbeza bagi Anis.

Katanya, sejak di bangku sekolah rendah lagi dia telah belajar berdikari dan tidak berharap kepada orang lain.

Selagi dia mampu menyelesaikan sesuatu masalah itu bersendirian, tnpa perlu meminta pertolongan orang lain waima daripada ibu bapanya sendiri.

"Semasa kecil dahulu memanglah saya banyak berkecil hati dan menganggap mak dan ayah tidak sayangkan saya. Kalau saya mengadu apa-apa pun mereka akan suruh saya selesaikan sendiri.

"Mereka biarkan sahaja saya selesaikan sendiri dan tidak campur tangan cuma adalah juga mereka nasihatkan apa yang patut saya lakukan.

"Pernah semasa saya masih menuntut di Universiti Selangor (Unisel) pada tahun 2006, saya terlibat dengan kemalangan kereta. Dua buah motosikal yang ditunggang oleh lelaki mabuk 'terbang' ke arah kereta saya dan jatuh di atas cermin tingkap hadapan kereta yang menyebabkan ia pecah dan bersepai ke atas saya. Muka dan tangan saya berdarah. Keadaan kereta pula memang rosak teruk.

"Saya panik dan terkejut, tak tahu nak buat apa. Saya terus telefon ayah yang ketika itu bekerja di Sabah dan bertanya apa yang patut saya buat.

"Ayah bertanya jika ada orang lain di situ, mungkin untuk mempastikan saya mendapat bantuan. Apabila saya kata ada, ayah kemudian menyuruh saya buat laporan polis.

"Saya sedih sangat masa itu. Saya ingatkan ayah dan mak akan balik tapi mereka langsung tak balik melawat saya.

"Bagaimanapun lama-kelamaan apabila saya fikir semula, baru sekarang saya faham apa yang ayah dan mak lakukan adalah untuk kebaikan saya juga supaya saya berani menghadapi sebarang masalah,'' kata gadis yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini.

Menurut Anis, sehingga sekarang dia tinggal bersendirian sementara kedua ibu bapanya di Medan, Indonesia, kerana bapanya bekerja dalam bidang perladangan kelapa sawit di sana.

Anis akan ke Medan sebulan sekali berjumpa dengan ibu bapanya dan akan berada di sana selama tiga atau empat hari. Dia tidak mahu tinggal di sana kerana jiwanya lebih kepada Malaysia. Baginya tiada tempat yang sebaik Malaysia.

Beli kain di Medan

Kesempatan berada di Medan digunakan oleh Anis bagi membeli kain-kain untuk dibuat tudung bagi koleksi tudungnya Nish yang dijual melalui atas talian dan boleh dilihat di Instagram NishbyAnis Al-Idrus.

Katanya, harga kain yang dibeli di Medan jauh lebih murah dan cantik. Oleh itu dia juga dapat menjual tudung dan selendang rekaannya itu pada harga yang lebih murah.

Kadang-kadang tambah Anis, dia akan membuat rekaan dahulu dan terus menempah di sana. Ini kerana harga tempahan juga murah dan boleh disiapkan dalam masa sehari.

"Sudah setahun saya hasilkan koleksi Nish ini. Mulanya saya buat tudung untuk pakai sendiri. Masa itu saya baru-baru nak belajar memakai tudung. Setiap kali bila keluar, kawan-kawan dan orang lain akan tanya di mana saya beli. Bila dah ramai sangat orang tanya dan mereka suruh pula saya menjual, baru timbul idea untuk membuat rekaan saya yang saya namakan Nish ini dan saya jual secara atas talian.

"Tambah pula saya pula sering ulang alik ke Medan dan memberi peluang kepada saya mencari kain-kain yang baru untuk dibuat tudung. Setiap bulan saya akan buat dua rekaan terbaru dan sekarang ini sudah terdapat 24 rekaan yang terdiri daripada selendang, half moon, turban, hoody dan tudung bawal nombor satu yang dibuat daripada fabrik voile Jepun.

"Tudung-tudung Nish sesuai bagi digayakan sama ada sebagai tudung harian, ke pejabat, glamor dan tudung untuk perkahwinan,'' kata Anis.

Bagi memperkenalkan lagi koleksi Nish, Anis turut mengajar cara pemakaian tudung dengan kerjasama Datin Azrene Ahmad, seorang konsultan imej atas jemputan pejabat dan majlis-majlis.

Kerjaya sebagai wartawan politik

Menurut pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa pengkhususan Perbankan dan Kewangan dari Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) ini, selepas memperoleh ijazah, dia bekerja selama setahun sebagai pembaca berita dan wartawan penyiaran di sebuah stesen televisyen.

Anis telah ditugaskan melakukan tugasan politik yang bukan merupakan sesuatu yang diminatinya.

Ini memberikan tekanan yang amat sangat kepadanya. Dia tidak dapat melakukan tugasannya dengan baik dan setiap hari dia berasa amat tertekan apabila mengingatkan perlu melakukan tugasan tersebut.

Suatu hari, oleh kerana terlalu tertekan, Anis pengsan di tempat kerja. Setelah mendapatkan rawatan doktor, didapati Anis mengalami tekanan darah rendah.

Oleh kerana tidak mahu bekerja dalam suasana yang tidak menggembirakan, Anis nekad berhenti setelah genap setahun bertugas.

Walaupun tidak bekerja makan gaji namun kata Anis dia kini gembira dengan apa yang dilakukannya, iaitu berniaga koleksi tudungnya serta mendapat tawaran berlakon banyak drama televisyen.

Hasmaida pemilik kain kapas

Posted: 17 Dec 2013 08:52 AM PST

MAKA tidak hairanlah sekiranya fabrik ini mendapat permintaan yang tinggi serta mempunyai kelompok peminatnya tersendiri di serata dunia.

Menyedari akan hal tersebut, Hasmaida Abd. Hamid, 31, tidak teragak-agak untuk menceburkan diri di dalam perniagaan yang berasaskan fabrik tersebut.

Sanggup berhenti kerja kerana tidak menang tangan untuk mengendalikan perniagaan yang pada mulanya hanya dilakukan secara dalam talian, hari ini Apple Cotton Couture bukan sahaja menawarkan penjualan melalui dalam talian tetapi telah mula beroperasi di premis perniagaan yang terletak di Pusat Komersial Setapak, Starparc Point, Taman Danau Kota, Kuala Lumpur.

Menurut Hasmaida, seperti peniaga-peniaga dalam talian yang lain, di awal pembabitannya ia hanya dilakukan secara sambilan tetapi memandangkan permintaan yang diterima semakin hari semakin bertambah akhirnya dia membuat keputusan untuk berniaga sepenuh masa.

Jelas usahawan muda ini, fabrik tersebut sentiasa mendapat permintaan malah pelanggannya hari ini bukan sahaja terdiri daripada orang peseorangan bahkan golongan usahawan tempatan yang membeli secara borong.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya itu, jelas anak kelahiran Jengka, Pahang ini, dia telah memulakan perniagaan sejak tujuh tahun yang lalu.

"Sepanjang lima tahun saya hanya berniaga secara dalam talian dan akhirnya tidak mampu lagi bertahan kerana pelanggan semakin bertambah.

"Jadi saya tidak menang tangan kerana hendak mengambil stok kain lagi, pos tempahan, dan sebagainya jadi saya berbincang bersama suami akhirnya membuat keputusan untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

"Lagi pun, sambutan yang diterima begitu menggalakkan malah pendapatan yang diperoleh juga kadang kala melebihi kerjaya tetap selama ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Apa yang menariknya mengenai cerita Hasmaida ini, dia juga terpaksa meminta suaminya, Zairil Fikri Zakaria, berhenti kerja dan bersama-sama mengusahakan perniagaan mereka memandangkan tidak mempunyai pekerja lain untuk membantunya.

Ternyata pengorbanan suami amat berbaloi kerana mereka bukan sahaja boleh bekerja bersama bahkan boleh berbincang bagaimana untuk memajukan lagi perniagaan yang diusahakan selama ini.

Memperoleh stok fabrik dari negara-negara yang cukup terkenal dengan pengeluaran fabrik jenis kain kapas ini, Hasmaida turut berkongsi pengalaman di mana corak-corak baharu kain kapas akan dihasilkan setiap minggu.

Oleh yang demikian, dia perlu peka dan sentiasa melihat corak-corak terbaharu yang berada di pasaran agar tidak ketinggalan untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia.

Menawarkan tiga jenis kain kapas iaitu kain kapas Vietnam, China, dan Korea, Hasmaida menyatakan bahawa kain kapas dari ketiga-tiga negara ini sentiasa mendapat sambutan daripada peminat-peminat fabrik tersebut.

Tuturnya lagi, kainnya yang dibekalkan bukan sahaja memenuhi cita rasa pelanggannya tetapi corak-corak yang ditampilkan selain terkini ia juga merupakan corak yang begitu cantik dan sudah pasti memikat hati para wanita.

Begitupun dia mengakui, kain kapas dari Korea merupakan kain kapas yang dilihat paling berkualiti serta corak yang dihasilkan juga lain daripada yang lain.

"Sehingga kini saya sendiri akan pergi ke negara-negara ini untuk melihat sendiri kain serta corak yang terbaharu yang ditawarkan kepada saya.

"Saya sememangnya tidak mempercayai sekiranya hanya melihat melalui laman sosial atau gambar kerana kadang kala apa yang dilihat tidak sama dengan yang betulnya.

"Jadi untuk mengelakkan kerugian, saya serta suami akan pergi sendiri untuk memilih kain-kain tersebut dan membawa masuk melalui kontena," katanya lagi.

Menjelaskan harga kain kapas yang boleh diperoleh di kedainya dari serendah RM65 hingga RM95, Hasmaida juga memberitahu stok terbaharu akan dibawa masuk setiap dua minggu sekali.

Melainkan stok dari Korea, ia akan masuk sebulan sekali atau dua bulan sekali kerana pengusaha kain kapas dari Korea tidak terlalu kerap pengeluarkan corak-corak terbaharu.

Tidak sekadar memasarkan kain kapas secara ela, Hasmaida turut memasarkan baju kurung siap yang dihasilkan daripada kain kapas.

Boleh diperoleh pada harga sekitar RM 115 hingga RM165, kesemuanya dijahit oleh tukang jahit tempatan.

Jadi kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan koleksi kain kapas dari Apple Cotton Couture bolehlah layari laman sosial Facebook AppleCottonCouture. – mariatul qatiah zakaria

Gambar noor azlina jaafar

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved