Selasa, 5 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kumpul 100 tin, botol Coca-Cola

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my

Barangan Coca-Cola dalam pelbagai bentuk menyerlahkan lagi keistimewaan koleksi tersebut.

IPOH 4 Nov. - Tin, botol, beg, alat mainan, baju, jam, poster, papan tanda, rak pameran, mesin layan diri dan apa sahaja barang asalkan berjenama Coca-Cola pasti menjadi koleksi menarik.

Justeru barangan tersebut terutama keluaran terhad dan khas adalah yang paling dicari oleh pengumpul barangan Coca-Cola dari seluruh dunia.

Bagi kebanyakan orang, barangan tersebut mungkin tidak bernilai tetapi tidak bagi pengumpul barangan Coca-Cola. Keunikan pada barangan Coca-Cola ialah keluarannya berbeza setiap tahun dan setiap negara sejak jenama minuman ringan terkenal itu mula dikeluarkan pada 1886.

Hobi tersebut turut dikongsi oleh seorang pemuda dari Kampung Manjoi di sini, Mior Saiful Azlan Mior Puzi, 29, yang mula mengumpul barangan Coca-Cola sejak di bangku sekolah pada 1997.

Sehingga hari ini, sudah lebih 100 jenis tin dan botol minuman Coca-Cola berada dalam koleksi Mior Saiful Azlan yang tersusun rapi dalam rak di rumahnya.

Koleksi itu tidak termasuk barangan Coca-Cola lain dan jenama minuman lain seperti Pepsi, 7up, Milo, Nestle dan F&N yang turut dikumpulnya.

Menurut Mior Saiful Azlan, minat mengumpul barangan Coca-Cola bukan sekadar hobi tetapi sebagai bukti dia menghargai rakan-rakan dan saudara-maranya.

"Saya mula mengumpul barangan Coca-Cola setelah dihadiahkan seutas jam tangan Coca-Cola oleh rakan sekolah saya yang merupakan pengumpul pelbagai jenis jam jenama Coca-Cola.

"Saudara-mara dan rakan-rakan juga sentiasa membeli 'buah tangan' barangan Coca-Cola untuk saya setiap kali mereka pergi melancong ke luar negara," ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Epoi.

Paling mengharukan dan menguatkan semangat Epoi untuk terus mengumpul barangan tersebut ialah apabila ibunya menghadiahkannya dua tin minuman jenama Pepsi selepas pulang menunaikan ibadat haji di Mekah pada 2005.

Kata Epoi, selain tin minuman Pepsi yang dihadiahkan ibunya, dua lagi koleksi paling disayanginya ialah botol keluaran khas sambutan ulang tahun ke-100 Coca-Cola tin Coca-Cola watak kartun Winnie The Pooh yang dibeli oleh abangnya di Jepun.

Menurut Epoi, selain dihadiahkan oleh rakan-rakan dan saudara-mara, dia membeli barangan Coca-Cola dari pasar karat Loken di sini, Isetan di Kuala Lumpur serta daripada pengumpul barangan Coca-Cola dan peniaga kedai runcit dan restoran.

Pernah ditawarkan RM5,000 oleh seorang rakan yang mahu membeli sebahagian koleksi tin minumannya, Epoi menolak tawaran tersebut kerana menganggap barangan tersebut tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

"Barangan yang dikumpul ini adalah tanda kasih sayang dan ingatan rakan-rakan dan saudara-mara kepada saya. Saya tidak akan menjualnya walau dengan apa harga sekalipun," katanya yang merancang mewujudkan sebuah mini muzium untuk mempamerkan koleksinya suatu hari kelak.

RM36 juta bantu rakyat

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh A. MALEK ASLIE
utusanperak@utusan.com.my

Ismail Saffian (kiri) menyampaikan bantuan Yayasan Bina Upaya kepada seorang penduduk di Kampung Parit Haji Kassim, Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak, baru-baru ini.- utusan/A.Malek Aslie

BAGAN SERAI 4 Nov. - Yayasan Bina Upaya (YBU) Perak menerima peruntukan sebanyak RM36 juta tahun ini bagi melaksanakan program bantuan untuk rakyat.

Pengerusi Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismail Saffian berkata, antara program bantuan rakyat yang dilaksanakan termasuk pembinaan rumah, baik pulih kediaman, pinjaman kredit mikro serta bantuan barangan makanan.

"Program bantuan YBU merangkumi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak tanpa mengira sesuatu DUN itu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) ataupun pembangkang.

"Mereka yang layak terima bantuan itu terdiri daripada yang berpendapatan di bawah RM870 sebulan dan nama mereka perlulah disenaraikan di dalam program e-Kasih peringkat daerah masing-masing," katanya dalam Program Majlis Turun Padang Siri Jelajah YBU di Kampung Parit Haji Kassim dalam DUN Alor Pongsu dekat di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.

Sementara itu, Ismail berkata, sebanyak 874 peminjam YBU masih gagal melunaskan pinjaman berjumlah RM2.9 juta.

Sehubungan itu, kata beliau, YBU sedang memburu mereka, namun jika mereka menghadapi masalah untuk membayar balik pinjaman, YBU sedia memberikan bantuan khidmat nasihat.

"Namun, jika mereka sengaja liat untuk membayar balik pinjaman, YBU terpaksa menggunakan kaedah lain," katanya.

Mengenai Program Majlis Turun Padang Siri Jelajah YBU di DUN Alor Pongsu, Ismail menjelaskan, YBU telah meluluskan bantuan membina dua rumah baharu dan dua rumah dibaikpulih dengan kos RM80,000 di kawasan berkenaan.

Menurutnya, beliau dan pegawai YBU turun padang untuk melihat sendiri keadaan penduduk yang memohon bantuan perumahan tersebut.

"Setelah melihat sendiri keadaan mereka yang memohon bantuan, saya dapati mereka memang layak mendapatkan bantuan ini.

"Sebelum ini, kita membuat penilaian menerusi borang permohonan dan gambar keadaan rumah pemohon. Namun, YBU telah mengubah konsep iaitu turun padang menjelajah dengan melihat sendiri keadaan rumah pemohon sama ada perlukan kediaman baharu atau dibaikpulih," katanya.

Dua lagi PDK dibuka di Perlis tingkatkan kualiti hidup OKU

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

KANGAR 4 Nov. - Perlis bakal membuka dua lagi program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam usaha meningkatkan lagi kualiti hidup orang kurang upaya (OKU).

Penolong Pengarah, Unit Pembangunan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Mohd. Khairi Hadi berkata, dua PDK itu akan dibuka pada Disember tahun ini untuk kemudahan masyarakat yang tinggal di kawasan selatan dan utara negeri ini.

''PDK baru ini bakal dibuka di Sanglang dan Beseri bagi memberikan kemudahan masyarakat mendapatkan perkhidmatan ini berdekatan dengan kediaman masing-masing," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat enam PDK iaitu Indera Kasih Jejawi, 4RRD Arau, Kangar, Felda Mata Ayer, Residensi dan Felda Chuping.

Katanya, sehingga kini 250 OKU sedang menjalani program di semua PDK tersebut.

Beliau berkata, antara program di PDK seperti kemahiran motor kasar iaitu kegiatan yang melibatkan pergerakan otot kasar iaitu bahagian anggota kaki, tangan seperti berjalan, berlari, merangkak dan melompat.

Mohd. Khairi berkata, program pemulihan OKU dijalankan di Pusat PDK selama empat jam sehari.

''Program pemulihan dijalankan di rumah OKU yang tidak dapat hadir ke PDK kerana kecacatan yang dialaminya," katanya.

Katanya, pekerja PDK akan ke rumah untuk menjalankan latihan pemulihan selama enam jam sehari.

Beliau berkata, PDK itu juga melibatkan penyertaan penuh integrasi sosial OKU dalam keluarga dan juga komuniti.

''Ini untuk memberi pengetahuan dan kesedaran dalam aspek-aspek pemulihan kepada ahli keluarga dan juga saudara terdekat," katanya.

Selain itu, katanya, sebuah jawatankuasa yang melibatkan kalangan OKU, golongan profesional, sukarela dan komuniti tempatan juga dibentuk supaya program pemulihan itu menjadi tanggungjawab bersama.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved