Selasa, 5 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Hidup dalam kebimbangan

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

KELUARGA BADRON MOHD. SAID
Kampung Melayu Gelang Patah

Penduduk membersihkan kesan lumpur di persekitaran rumah mereka akibat banjir kilat di Kampung Melayu Gelang Patah, Johor Bahru, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

PENDUDUK Kampung Melayu Gelang Patah kini hidup dalam kebimbangan memandangkan kawasan tersebut mudah dinaiki air ke paras pinggang dan dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat dalam tempoh sejam.

Banyak harta benda dan barangan rumah seperti perabot rosak dan musnah setiap kali kampung ini dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian baru-baru ini, sebanyak 15 rumah terjejas selepas hujan lebat selama dua jam bermula pukul 3.30 petang.

Hampir pukul 9 malam barulah air surut sepenuhnya dan seperti kejadian sebelum ini, bukan sahaja rumah dimasuki air dan lumpur, malah banyak barangan dalam rumah yang rosak terutamanya peralatan elektrik.

Kadangkala kami terfikir sampai bila masalah ini perlu berlarutan. Justeru, kami berharap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah ini kerana kami sudah serik hendak berhadapan dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Masalah banjir kilat di kampung ini dipercayai berpunca daripada pembangunan pesat terutama projek pembinaan perumahan di kawasan tersebut selain sistem perparitan sedia ada sudah lama dan tidak berfungsi dengan baik.

Banjir kilat yang terbaharu itu bukan sahaja merosakkan harta benda, malah barangan persekolahan anak-anak kami.

Membeli barangan baharu bukannya murah kerana kebanyakan penduduk terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Difahamkan, beberapa pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah menghulurkan bantuan awal termasuk menyediakan makanan kepada mangsa yang terjejas, malah ada pihak membuka bilik operasi di Masjid Al-Falah bagi memastikan setiap bantuan diterima.

Kami sangat berharap agar masalah diselesaikan dengan segera.

Baiki segera longkang rosak Taman Desa Sri Ara

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

KAK ROHANI
Taman Desa Sri Ara, Pontian

Keadaan longkang yang rosak di belakang rumah penduduk menyebabkan aliran air tersekat di Taman Desa Sri Ara, Kayu Ara Pasong, Pontian, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

SAYA mewakili pemilik tujuh buah rumah kos rendah di Taman Desa Sri Ara, Kayu Ara Pasong, Pontian merayu pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi membaiki longkang yang rosak di bahagian belakang rumah kami.

Masalah tersebut menyebabkan aliran air tersekat dan jika hujan lebat berlaku limpahan air sehingga ke dalam bahagian rumah dan merisaukan kami.

Kami juga bimbang disebabkan air tidak mengalir dengan baik boleh mendatangkan masalah penyakit kepada penduduk tempatan mahupun dalam kalangan pekerja asing yang menyewa di situ.

Masalah kerosakan longkang sudah diajukan kepada pihak berkenaan, namun tiada sebarang tindakan diambil menyebabkan kerosakan semakin hari bertambah teruk dan boleh menimbulkan soal keselamatan terutama kepada kanak-kanak.

Oleh yang demikian, kami berharap keluhan ini dapat diberikan perhatian sewajarnya memandangkan kami sudah tidak tahan lagi untuk menghadapi masalah yang tidak diatasi ini.

Kami sudah tidak tahu lagi ke mana mahu mengadu, diharap rintihan ini dapat didengar oleh pihak berkuasa supaya dapat dibina longkang baharu memandangkan taman ini telah berusia lebih 14 tahun.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved