Selasa, 5 November 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


PSDC sedia jadi pusat animasi

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Khairul Rizal Ramli (lima dari kiri) bersama pensyarah dan pelajar dalam majlis penyampaian sijil di Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 5 Nov. - Seramai 13 warga Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) mengikuti kursus animasi perisian teknologi Toon Boom di sini baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif PSDC, Khairul Rizal Ramli berkata, animasi Toon Boom dari Kanada itu sangat dikenali dalam dunia animasi serta industri perfileman.

Tambahnya, peserta terdiri daripada lapan pelajar kursus Program Peningkatan Kemahiran Industri dan selebihnya ialah pensyarah bidang animasi di PSDC.

"Kursus selama lima hari itu merupakan anjuran PSDC dengan kerjasama sebuah syarikat animasi dari Selangor iaitu Nadi Ayu Technologies Sdn. Bhd.

''Kursus ini juga mendapat sokongan padu Multimedia Development Corporation (MDEC),'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Khairul Rizal, PSDC bersedia dijadikan pusat pengembangan bidang animasi di Pahang dan Pantai Timur kerana mempunyai kemudahan yang diperlukan selain tenaga pengajar berpengalaman.

Menurutnya, kursus yang berlangsung dalam bentuk amali bagi memastikan peserta memahami perisian ini dengan lebih mudah.

Selain itu, tambah beliau, peserta kursus turut dilatih oleh dua tenaga pengajar bertauliah perisian animasi Toon Boom dari Nadi Ayu Technologies Sdn Bhd.

'' Peserta didedahkan dengan perisian Toon Boom Harmony 2D Animation dan Toon Boom Storyboard Pro yang membolehkan mereka memperoleh kemahiran industri animasi semasa khususnya yang membabitkan animasi dua dimensi," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran penganjuran pada tahun hadapan, pihak PSDC telah mula mengambil langkah awal ke arah itu apabila memilih seramai lima orang pensyarahnya mengikuti kursus Pengajar Bertauliah ini.

''Adalah diharapkan bidang animasi ini dapat dikembangkan di Wilayah Pantai Timur, khususnya negeri Pahang dengan penganjuran kursus profesional ini pada tahun hadapan," katanya.

UMP raih sepuluh pingat dalam BioMalaysia 2013

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Mashitah Mohd. Yusoff (duduk, tengah) bersama penyelidik yang mencatat kejayaan memenangi pingat dalam Pameran BioMalaysia 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, baru-baru ini.

KUANTAN 5 Nov. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya meraih tiga pingat emas, tiga perak dan empat gangsa dalam Pameran BioMalaysia 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd. Yusoff, kejayaan penyelidik UMP ini diharapkan dapat memberi perangsang dan motivasi kepada penyelidik lain untuk terus maju dalam bidang penyelidikan.

"UMP turut berbangga apabila gerai pameran universiti berjaya memenangi tempat pertama rekabentuk gerai terbaik dan pameran paling inovatif," katanya.

Pameran BioMalaysia 2013 yang bertemakan Convergence of Ideas, Confluence of Opportunities itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pameran tersebut, lebih daripada 126 penyertaan daripada pelbagai agensi termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) serta syarikat dari dalam dan luar negara.

Katanya Mashitah, pingat emas yang dimenangi UMP ialah daripada penyelidik Fakulti Sains Industri & Teknologi (FSTI), Dr. Gaanty Pragas Maniam dengan projek penyelidikan beliau bertajuk Novel Utilization of Decanter Cake as a Feedstock for Biodiesel Production.

"Beliau menemui kaedah penggunaan hasil buangan sisa pepejal dari proses penjernihan minyak kelapa sawit iaitu Decanter Cake yang mampu menghasilkan minyak biodiesel.

"Pingat emas juga diraih oleh Prof. Jose Rajan dari FSTI dengan tajuk penyelidikan A Green Supercapacitor Device Employing Waste to Wealth dengan hasil penyelidikan beliau yang menemui tempurung kelapa sawit terbuang serta dijadikan medium karbon di dalam kapasitor yang membolehkan dicas dengan pantas," jelasnya.

Tambahnya, satu lagi emas milik Dr. Essam A. Makky dari FSTI dengan penyelidikannya bertajuk Biotechnology of Hazardous Waste Management for Nano Particle Production.

"Penyelidikan beliau ini berkaitan dengan kitaran semula medium perak di dalam filem x-ray terbuang yang boleh dijadikan zarah nano yang boleh diaplikasikan dalam produk antibakteria.

"Sementara itu, pingat perak diraih Profesor Madya Dr. Md. Maksudur Rahman Khan dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA); Dr. Andri Kusbiantoro dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA) dan Profesor Madya Dr. Arun Gupta dari FKKSA.

"Manakala pingat gangsa diraih penyelidik Dr. Mohd. Hasbi Ab. Rahim, Dr. Jolius Gimbun, Dr. Mohammad Dalour Hossen Beg dan Dr. Ghazi Faizal Najmuldeen," ujarnya.

Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang sumbang bahan bacaan

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

A. RAHIM Omar (empat dari kanan) bersama guru-guru selepas program penyampaian sumbangan buku untuk Pusat Sumber Sekolah di SK Pelindung, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 5 Nov. - Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) dan W. R Grace Specialty Chemicals (M) membekalkan bahan bacaan pusat sumber sekolah (PSS) kepada dua buah sekolah rendah di daerah ini sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Pensyarah Kanan PSDC, A. Rahim Omar berkata, sekolah terpilih ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pelindung, Beserah dan SK Cenderawasih, Kuantan.

Menurutnya, usaha ini membantu kelangsungan agenda pendidikan negara serta memupuk amalan membaca bahan bacaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah.

''Antara strategi ialah dengan menyediakan pelbagai bahan bacaan bermutu bagi merangsang minat membaca sekali gus mampu menyemarakkan lagi amalan membaca di kalangan pelajar,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian bahan bacaan di SK Pelindung, Beserah dekat sini baru-baru ini.

A. Rahim menambah, para pelajar perlu menjadikan membaca satu budaya dengan memanfaatkan melalui buku-buku yang disumbangkan itu

"Dengan membaca, pelajar akan menjumpai perkataan baharu yang menambahkan lagi pengetahuan diri.

"Selain itu mereka juga dapat menambah ilmu pengetahuan yang boleh digunakan bukan sahaja pada masa kini tetapi juga akan datang," katanya.

Menurut beliau, pelbagai pendekatan menarik dan bersesuaian perlu diambil oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi menyemarakkan lagi amalan membaca dalam kalangan pelajar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved