Selasa, 5 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Interpretasi alam semula jadi

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Mohamad Jantan (kanan) menerangkan hasil karyanya kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Hamdin Abdollah (depan kiri) ketika majlis perasmian Pameran Solo Mohamad Jantan di Balai Seni Lukis Melaka, Banda Hilir, baru-baru ini. - UTUSAN/NURSURAYA ZULKIFLI

MELAKA 4 Nov. - Seni lukisan membawa pelbagai mesej dan identiti tersendiri dalam setiap karya yang dihasilkan pelukisnya mengikut interpretasi dan pemahaman mereka untuk tatapan umum.

Lukisan yang digambarkan oleh seseorang pelukis turut mengaitkan pengalaman istimewa yang diluahkan di atas permukaan seperti kanvas, kertas, kaca dan sebagainya melalui terjemahan gerak minda dan hati.

Setiap individu mempunyai kemahiran dan cara berbeza untuk menghasilkan kreativiti diri sendiri yang karya seni tersebut boleh membawa perubahan dari segi bagaimana individu itu boleh melihat perkara dalam kehidupan.

Melukis merupakan satu cabang seni yang melibatkan aktiviti mengolah medium dua dimensi atau permukaan daripada objek tiga dimensi untuk mendapatkan kesan tertentu di atas kanvas atau kertas.

Seni lukis juga dapat diangkat menjadi satu karya yang amat bernilai dan sangat menguntungkan, serta merupakan satu kaedah pembelajaran yang boleh memperkenalkan budaya bangsa negara kepada orang ramai.

Secara umumnya, perkembangan awal seni lukis tempatan dipengaruhi tiga faktor penting iaitu penjajahan Inggeris, penghijrahan bangsa dagang dan pendidikan.

Di Malaysia, perkembangan seni halus berlaku secara berperingkat-peringkat iaitu berkaitan dengan lukisan, catan, cetakan dan arca.

Perkembangan bidang seni lukis di negara ini pada masa kini juga kian meletakkan tahapnya di aras yang tersendiri.

Kebanyakan karya yang dihasilkan oleh pelukis tanah air mempamerkan estetika dan mempunyai nilai yang cukup tinggi yang terhasil dalam pelbagai medium seni.

Daya imaginasi pelukis akhir-akhir ini, berjaya melahirkan pelbagai idea yang berteraskan prinsip bahawa kreatif ialah suatu proses yang menghasilkan sesuatu yang baharu, dan melahir karya seni yang agak tidak terbatas.

Peredaran masa turut memperlihatkan bilangan pelukis, galeri dan peminat seni lukisan semakin bertambah mewarnai dunia seni lukisan yang tidak pernah pudar dan luput ditelan zaman.

Salah seorang pelukis tanah air yang tidak kurang hebatnya, Mohamad Jantan adalah antara nama tersohor dalam dunia lukisan.

Di Balai Seni Lukis Melaka, berlangsung pameran solo Mohamad selama sebulan yang mempamerkan 44 hasil karya koleksi miliknya bertemakan alam semula jadi.

Hasil karyanya yang dipamerkan kepada orang ramai itu kebanyakan bertemakan pemandangan alam seperti air terjun, laut, sungai, gunung dan sebagainya.

Pameran anjuran bersama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) itu berlangsung selama sebulan dan dibuka kepada orang ramai setiap Selasa hingga Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Dalam pameran solonya itu, Mohamad mengetengahkan teknik lukisan terbaru iaitu cat air di atas zink selain cat di atas kanvas.

Menyedari bakat seni yang dikurniakan sejak dari kecil, Mohamad sering kali menghabiskan masa lapang dengan berkarya mengolah lukisan alam semula jadi di atas kanvasnya.

Beliau yang berusia 68 tahun itu, buat pertama kali sejak pembabitannya dalam bidang seni diberi peluang mengadakan pameran solonya di Balai Seni Lukis Melaka.

Karya seninya banyak menggunakan medium cat air di atas kanvas yang kebanyakannya bertemakan pemandangan alam semula jadi seperti air terjun, laut, sungai, gunung, hutan dan lain-lain menggambarkan rasa kecintaannya terhadap alam sekitar.

"Bakat seni ini saya sedari ketika zaman kanak-kanak apabila mampu menghasilkan permainan tradisional mengikut kreativiti sendiri dan di situ timbulnya minat mendalam dalam bidang seni ini.

"Bagi menyiapkan sesuatu karya kebiasaannya masa yang diambil antara dua minggu hingga sebulan bergantung kepada mood dan idea yang datang dalam fikiran lalu saya terjemahkannya ke dalam lukisan yang terhasil," katanya di sini bari-baru ini.

Beliau yang berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Halus pada 1975 dari Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan seorang pesara dan pernah mengajar di beberapa sekolah menengah dalam subjek pendidikan seni visual selain menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Perempuan Melaka.

Katanya, dia pernah berhenti seketika daripada melukis selama 10 tahun berikutan tidak pernah berpeluang untuk mengetengahkan dan mempamerkan karyanya kepada umum.

"Bukan merajuk atau tawar hati untuk melukis dalam tempoh itu, namun disebabkan terlalu banyak lukisan yang dihasilkan hanya tersimpan di dalam rumah.

"Pernah juga saya menyertai majlis-majlis lain untuk mempamerkan karya, namun akhirnya saya diberi peluang oleh Perzim untuk membuat pameran solo buat julung tahunnya pada tahun ini," katanya yang kini menetap di Bukit Piatu.

Dalam pameran solonya itu, Mohamad banyak mempamerkan lukisan yang mengetengahkan teknik lukisan terbaru iaitu cat air di atas zink selain cat di atas kanvas.

Katanya, idea tersebut muncul daripada bingkai gambar yang dibuat sendiri berasaskan besi yang dilihat lebih mudah untuk dibingkai bersama zink berbanding kanvas.

"Daripada beberapa percubaan, akhirnya teknik itu berjaya dan membawa kelainan serta menjadi identiti tersendiri pada lukisan yang dihasilkan," katanya.

Mohamad berkata, antara lukisan yang memerlukan daya imaginasi tinggi ialah Bayang Alam, Alunan Seni, Satu Pertemuan dan Tingkap Kejayaan yang mengambil masa paling lama untuk dihasilkan.

Pameran yang bermula 24 Oktober hingga 24 November itu mempamerkan sebilangan karya yang dihasilkan Mohamad antara 1979 hingga hari ini dan turut dijual kepada umum dengan harga RM800 senaskhah.

Perzim galak usaha ketengah bakat seni lukis

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

MELAKA 4 Nov. - Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) menggalakkan usaha mengetengahkan bakat sedia ada kepada pelukis menerusi hasil karya mereka dengan memberi ruang kepada golongan itu mengadakan pameran di Balai Seni Lukis Melaka.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Hamdin Abdollah berkata, peluang itu dapat memperkembangkan bidang seni kepada umum sekali gus memperkasa kemajuan sektor kesenian secara lestari bagi pembangunan dan kesejahteraan generasi yang akan datang.

Menurutnya, langkah berkenaan dilihat antara usaha menarik generasi muda untuk melibatkan diri dalam seni visual yang kian mendapat tempat sebagai peluang kerjaya dan menambahkan pendapatan sampingan kepada penggiat seni itu.

"Pihak kita memberi peluang kepada golongan pelukis untuk mempamerkan karya mereka kepada umum sejak daripada dahulu lagi.

"Walau bagaimanapun, kita mahu mereka ini hendaklah menonjolkan identiti masing-masing melalui karya yang mahu diketengahkan di samping pembaharuan yang dilakukan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pameran Solo Mohamad Jantan, di Banda Hilir, di sini baru-baru ini.

Hamdin berkata, pameran di balai itu secara tidak langsung meluaskan idea kepada pelukis lain khususnya kepada golongan muda dari segi medium, cara persembahan, tema dan sebagainya.

"Saya yakin dan percaya melalui karya seni ini mampu mencerita dan menggambarkan kenangan mahupun peristiwa akan datang mengikut pemahaman masyarakat yang juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat melalui paparan visual.

"Ini sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda serta dapat mengolah idea yang sedia ada daripada karya yang dipamerkan selain dapat memperkembangkan lagi bidang seni dan memartabatkannya," katanya.

Kerajaan negeri tolak rayuan

Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Pusat penyembelihan babi bersebelahan dengan Mahkamah Syariah, Ayer Keroh akan ditutup berkuat kuasa 31 Disember depan.

MELAKA 4 Nov. - Kerajaan negeri tidak berganjak dengan keputusan untuk menutup pusat penyembelihan babi bersebelahan Mahkamah Syariah di Ayer Keroh di sini, berkuat kuasa 31 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Rahman berkata, rayuan pemilik pusat berkenaan untuk menangguhkan penutupan pusat berkenaan terpaksa ditolak.

Walau bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memberi kelonggaran selama dua bulan dari Januari hingga Februari tahun depan untuk memindahkan segala peralatan penyembelihan dari pusat berkenaan ke lokasi baharu yang telah ditetapkan.

"Perbincangan hari ini (semalam) dengan pemilik pusat penyembelihan akhirnya akur dengan arahan yang dibuat oleh mesyuarat Exco yang memutuskan pusat itu perlu ditutup pada 31 Disember depan.

"Kerajaan negeri juga menyediakan sebuah tapak di Paya Mengkuang di Masjid Tanah sebagai pusat penyembelihan sementara menggantikan pusat di Ayer Keroh yang ditutup.

"Saya lega perbincangan dengan pemilik pusat penyembelihan dan penternak haiwan itu bersetuju bekerjasama untuk berpindah ke tapak baharu di Masjid Tanah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pemilik pusat penyembelihan babi di Jabatan Veterinar negeri di Ayer Keroh, di sini semalam.

Hasan berkata, kerajaan negeri mendapatkan sebuah syarikat swasta yang akan membina pusat penyembelihan baharu menggunakan teknologi dari Korea yang akan dibina di Paya Mengkuang.

Menurutnya, pusat baharu itu dilengkapi peralatan moden serba lengkap di samping mempunyai pusat rawatan kumbahan yang tidak akan menjejaskan sungai di kawasan berhampiran.

"Pusat ini akan mula dibina tahun depan dan memakan masa sembilan bulan untuk disiapkan serta menjadi pusat penyembelihan baharu di Melaka," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menyediakan sebuah pusat penyembelihan sementara menggantikan pusat dari Ayer Keroh yang akan mula ditutup hujung tahun ini.

Beliau berkata, bermula 31 Disember depan, tidak ada lagi aktiviti penyembelihan diadakan di pusat yang terletak bersebelahan Mahkamah Syariah di Ayer Keroh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved