Selasa, 5 November 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Kubu Pas semakin retak

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat memorandum sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional pada majlis perjumpaan kaum Tiong Hwa tersebut di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah, baru-baru ini.

SEBELUM ini, Pas begitu mendabik dada kononnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau merupakan salah satu daripada dua kubu terkuatnya di Kedah, selain DUN Tokai.

Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau kelmarin membuktikan, hakikatnya kawasan itu bukanlah kubu kuat Pas.

Selama ini Pas bertahan hampir lima penggal di situ kerana Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Politik damai yang beliau pelopori telah membolehkan Allahyarham diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di Sungai Limau.

Malah apa yang menarik bukan sahaja ahli Pas menyokong Allahyarham, malah bekas Menteri Besar Kedah itu turut meraih undi daripada penyokong Barisan Nasional (BN) dan atas pagar.

Keadaan itulah yang memungkinkan Sungai Limau dianggap kubu Pas tetapi apabila Azizan kembali ke rahmatullah, kekuatan Pas di situ tergugat. Sebab itulah sepanjang kempen PRK DUN Sungai Limau, Pas cuba memainkan sentimen Allahyarham Azizan.

Bagaimanapun, pengundi-pengundi khususnya orang Melayu tidak mudah terperangkap dengan helah tersebut apatah lagi ada antara pemimpin Pas yang turun berkempen di situ pernah menyusahkan Allahyarham ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar.

Kesudahannya, Pas yang bercita-cita untuk memperolehi majoriti sekurang-kurangnya 2,000 berbanding 2,774 undi yang diperolehi oleh Allahyarham dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ternyata hampa apabila hanya mendapat 1,084 undi.

Berikutan keputusan itulah, ketika singgah minum pagi di sebuah warung di Yan Kechil, kelmarin penulis terdengar sekumpulan penyokong tegar Pas bersungut.

''Orang dah cakap ambik (ambil) umpan saja, bukannya makan mata kail, menang pun kalau majoriti macam tu buat malu saja, awatlah (kenapa) depa (mereka) ni tak pandai sangat'' kata salah seorang daripada mereka.

Penulis percaya, perbuatan itu berkisar dengan perolehan undi Pas memandangkan, parti itu begitu yakin bahawa pengundi-pengundi Cina akan terus menyebelahi mereka seperti PRU-13.

Tetapi sekali lagi, ramalan Pas meleset apabila pengundi Cina membuat keputusan memilih BN.

Bagaimanapun BN tidak boleh selesa dengan keadaan itu kerana sudah ada cakap-cakap sebelum hari pengundian bahawa pengundi Cina mungkin akan memberikan undi mereka kepada BN dalam usaha untuk menjaga hubungan dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti itu.

Bagi mereka, Sungai Limau hanyalah pilihan raya kecil dan bukannya pilihan raya umum, oleh itu tidak rugi apa-apa jika tindakan menyokong BN dilakukan.Namun begitu apa yang menjadi tumpuan bagaimana peningkatan undi orang Melayu kepada BN yang diwakili oleh UMNO. Ternyata orang Melayu semakin bimbang dengan corak politik Pas terutamanya sekali hubungannya dengan DAP.

Faktor ini menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan undi BN, justeru biar pun kalah BN hakikatnya berjaya 'meretakkan' satu lagi kubu Pas di Kedah.

Perolehan undi majoriti 1,084 undi oleh calonnya, Mohd.Azam Abdul Samat membuktikan Sungai Limau tidak boleh lagi diiktiraf sebagai kubu Pas. Ia memandangkan dalam senario politik sekarang, mana-mana parti yang menguasai majoriti di bawah 1,500 undi, bila-bila masa sahaja boleh tumbang dalam pilihan raya.

Mengulas kejayaan ini, Exco Pemuda UMNO Mohd.Rafiq Naizamohideen berkata, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir di peringkat negeri.

''Walaupun BN tidak berjaya merampas kerusi DUN itu yang merupakan kubu kuat Pas, kejayaan mengurangkan majoriti Pas daripada 2,774 undi kepada 1,084 undi iaitu pengurangan sehingga 1,690 undi adalah kejayaan besar buat BN,'' katanya ketika dihubungi.

Pencapaian tersebut adalah hasil kerja keras jentera BN khususnya dari seluruh negara ketika jentera tempatan dilihat tidak banyak membantu.

Selain kehadiran anggota Majlis Tertinggi termasuk anggota Kabinet yang sanggup turun padang membantu calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, penghargaan tertinggi perlu diberikan kepada kepimpinan sayap UMNO.

Kegigihan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Puteri UMNO Zahida Zarikh Khan yang 'berkampung' di Sungai Limau berjaya menambah jumlah undi yang diperolehi oleh BN.

Ketiga-tiga mereka sanggup meredah semua kawasan di DUN tersebut biar pun terpaksa mengharungi lumpur dan batas sawah semata-mata untuk menemui pengundi.

Ketekunan itu ditambah pula dengan kesungguhan Mukhriz yang ternyata mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan pengundi. Kehadiran beliau di kawasan-kawasan kubu kuat Pas disambut mesra. Keadaan itulah juga yang membolehkan BN menambah undi atas faktor 'aura Mukhriz'.

Malah kejayaan BN merentap peluang Pas untuk memperolehi lebih banyak undi majoriti dianggap pengiktirafan rakyat kawasan itu terhadap kepimpinan Mukhriz.

Semua keadaan ini harus memberi peringatan kepada Pas bahawa mereka masih 'berkuasa' di Sungai Limau kerana sokongan pengundi tegar mereka dan sedikit sumbangan pengundi atas pagar, tetapi orang Melayu semakin meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, BN sebenarnya boleh mencapai kemenangan jika tidak berlaku 'opera politik' dalam dalam pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian.

Biarpun masing-masing berhujah bahawa tiada persengketaan sesama mereka, namun semua itu hanyalah 'wayang politik' dan sikap hipokrit 'darjah tertinggi' hingga menyebabkan BN gagal meraih undi yang mencukupi sebagai persediaan untuk menampung undi yang tidak diperolehi memandangkan Pas mempunyai pengundi tetap mereka.

Berdasarkan satu sumber, jentera pilihan raya yang dikendalikan oleh individu tertentu tidak melancarkan kempen seperti mana yang diharapkan, biarpun di hadapan semua orang, mereka berdegar-degar berjanji akan memastikan kemenangan BN.

Dalam soal ini, BN perlu menjalankan siasatan rapi untuk memastikan pemimpin dan penyokong mereka yang bersedia menjadi 'duri dalam daging' dan 'gunting dalam lipatan' dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

Sebenarnya, Pas juga mempunyai masalah dalaman termasuklah sabotaj terhadap percetakan risalah calon mereka, malah semua orang tahu ada antara pemimpin utama mereka tidak 'berlaga angin'.

Tetapi biar pun kita mengetahui bahawa mereka juga bersikap hipokrit namun sikap itu tidak sampai menyebabkan Pas kalah. Sebaliknya, mereka bersedia mengenepikan persengketaan tersebut demi memastikan parti mencapai kemenangan. Bagaimanapun dalam UMNO ia berbeza, persengketaan berlanjutan sehingga rela melakukan perbuatan yang memungkinkan BN tewas.

Kesimpulannya, keputusan di Sungai Limau membuktikan BN bukanlah parti yang ditolak oleh rakyat termasuklah oleh sebahagian pengundi Cina, justeru perbaikilah kelemahan. Kemenangan pasti akan diperolehi jika sindrom pemimpin UMNO bersedia menjadi pengkhianat kepada parti sendiri dihapuskan, strategi politik lapuk ditinggalkan, jentera tempatan diperkasakan dan hanya kelompok pengundi yang tahu mengenang budi sahaja diutamakan.

Jika ini dapat dilakukan sudah pasti bukan sahaja di Sungai Limau malah di mana-mana juga kawasan, BN mampu mencapai kemenangan.

Inisiatif S2A untuk memperkasa sains

Posted: 05 Nov 2013 10:39 AM PST

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Mohd Yusoff Sulaiman
Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT

PEMBENTANGAN Bajet 2014 masih menjadi perdebatan hangat bukan sahaja di kalangan ahli politik malahan rakyat dan juga pihak industri yang mempunyai kepentingan dan pelaburan di Malaysia.

Pihak industri rata-ratanya menyambut baik apa yang dibentangkan Perdana Menteri tetapi ada pula pihak yang cuba memanipulasi dan mencipta isu dengan mendakwa banyak perkara diabaikan kerajaan termasuk dasar untuk sains dan teknologi.

Golongan ini seolah-olah cuba memperbodohkan rakyat malahan pihak industri dengan menggambarkan Bajet 2014 itu muktamad dan apa yang tidak dinyatakan dikira telah ditinggalkan sepenuhnya oleh kerajaan.

Untuk dasar-dasar jangka panjang seperti sains dan teknologi, tidak semestinya semua perancangan dimasukkan dalam bajet tahunan kerana pelaksanaannya akan mengambil masa beberapa tahun sementara hasil atau impaknya akan dirasai antara 10 ke 15 tahun dari sekarang.

Ini bermakna, keputusan dasar jangka panjang yang dibuat oleh pemimpin generasi kini akan mula dinikmati oleh generasi akan datang, iaitu anak-anak kecil yang masih di bangku sekolah.

Menyedari masa depan negara bakal dipengaruhi kadar pembangunan sains, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Inisiatif Sains Untuk Tindakan (S2A) sempena majlis sambutan ulang tahun ke-20 Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) pada 1 November lalu.

S2A adalah inisiatif terbaharu untuk meningkatkan penggunaan sains dan teknologi dalam pembangunan industri, mewujudkan kesejahteraan rakyat serta urus tadbir sains, teknologi dan industri yang mengikut Model Baharu Ekonomi (MBE).

Inisiatif S2A adalah berdasarkan kepada tiga teras utama iaitu Sains untuk Industri, Sains untuk Kesejahteraan dan Sains untuk Tadbir Urus.

Sains untuk Industri menggalak dan memberikan ganjaran kepada usaha mengambil risiko terutama dalam kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mengambil peranan lebih besar dalam membangunkan industri-industri baharu.

Ini termasuk meningkatkan pertumbuhan syarikat-syarikat permulaan berasaskan teknologi di kalangan saintis dan usahawan muda sementara kerajaan pula akan menyediakan pemangkin bagi membolehkan usaha-usaha berasaskan teknologi tinggi ini berjaya.

"Kerajaan akan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi usahawan dan syarikat-syarikat untuk meneroka dan melabur dalam usaha yang berasaskan teknologi tinggi, membina keupayaan untuk memenuhi keperluan tempatan dan mewujudkan peluang-peluang untuk mengeksport produk dan perkhidmatan," kata Najib.

Sains untuk Kesejahteraan pula memberi tumpuan kepada meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penguasaan dan aplikasi sains, teknologi dan inovasi dengan mengukuhkan sistem pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk generasi muda.

Seterusnya, Sains untuk Tadbir Urus memberi tumpuan kepada pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam dan swasta dalam usaha menyediakan persekitaran yang kondusif dan merangsang pembangunan sains secara berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Mohd Yusoff Sulaiman menjelaskan, Bajet 2014 mungkin tidak memberi penekanan jelas kepada sains dan teknologi tetapi inisiatif S2A membuktikan kerajaan tidak mengabaikannya dan mempunyai perancangan yang melangkaui tahun 2020.

"Dasar jangka panjang seperti sains dan tekonologi ambil masa 10 ke 15 tahun baru nampak impaknya, untuk itu kita kena ada strategi berterusan dan mampan. Keputusan perlu dibuat sekarang untuk polisi, strategi dan pelan tindakan antara kerajaan dan industri.

"Penekanan S2A adalah tindakan dan pelaksanaan. Oleh itu, adalah amat penting bagi sektor swasta serta kerajaan, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat untuk bekerjasama ke arah kejayaan pelaksanaan inisiatif ini," katanya.

Tambahnya, fokus utama adalah dalam aspek pelaksanaan kerana ramai melihat banyak dasar dan perancangan yang baik oleh kerajaan mempunyai masalah untuk dilaksanakan.

Beliau turut memaklumkan pihak industri juga mahu melihat struktur lebih kemas untuk sains dan teknologi khususnya dalam pengurusan peruntukan mahupun modal insan yang bertindih dalam banyak agensi atau jabatan kerajaan.

"Untuk melaksanakan inisiatif ini, perlu ada perkongsian kerajaan dan industri. Kita sudah bincangkan dan semua bersetuju pihak swasta mengambil peranan utama selaku peneraju dengan perkongsian 60:40 bersama kerajaan.

"Kita akan kenal pasti dari sekarang sektor-sektor yang kita ada kekuatan untuk bersaing dengan kuasa besar. Lihat sahaja kisah kejayaan sektor aeroangkasa, perkapalan dan elektronik, semuanya bermula dengan keputusan yang dibuat sekitar 1990-an dan tahun 2000," jelasnya.

Beliau memaklumkan, bayangan MIGHT untuk S2A, sumbangan sains dan teknologi sebagai penggerak ekonomi lebih besar dalam tempoh 10 ke 15 tahun dari sekarang kerana impak sains dan teknologi sudah kelihatan kini seperti dalam perkhidmatan melalui internet.

Menurut beliau, Malaysia juga bakal berdepan banyak cabaran dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang, bukan sahaja dari China, India dan Eropah malahan negara-negara ASEAN sendiri dengan bermulanya perjanjian Kawasan Dagangan Bebas ASEAN pada 2015.

"Saya berharap negara dapat mencapai satu posisi kukuh yang boleh bersaing malah mengatasi negara-negara terbabit dengan mencari bidang khusus yang memberikan kelebihan kepada Malaysia melalui perkhidmatan, pengeluaran, kapasiti mahupun kebolehan.

"Untuk itu, kita juga perlu tingkatkan sistem pendidikan negara agar anak-anak kecil bersedia, lebih penting lagi suka kepada sains dan teknologi. Kita khuatir jika semuanya cenderung kepada bidang seni dan bidang popular lain seperti perundangan sahaja," ujarnya.

Mohd Yusoff juga mahu menjadikan subjek sains dan teknologi popular seperti subjek lain dalam pendidikan agar anak-anak muda tertarik, khususnya dalam bidang fizik, kimia dan biologi.

Selain itu, beliau menegaskan isu penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan yang dibangkitkan pihak industri perlu ditangani segera untuk mengelakkan dinding komunikasi menjejaskan peluang kemahiran mereka diaplikasikan dalam bidang kerja berkaitan.

"Untuk masa depan negara, semua kelengkapan ini perlu ada, kita perlu kepakaran dalam bidang-bidang sains dan teknologi. Negara boleh gunakan kepakaran mereka ini untuk mencipta produk dan perkhidmatan baharu malahan meningkatkan sektor sedia ada agar lebih efisien, tingkatkan kualiti dan turunkan kos.

"Industri, rakyat dan tadbir urus perlu melibatkan sains dan teknologi. Malaysia bukannya teruk sangat, kita sebenarnya ada banyak kejayaan dalam bidang ini. Mungkin kedudukan negara akan lebih tinggi kelak selepas isu-isu berbangkit dapat diatasi melalui inisiatif S2A," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved