Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kebanyakan negeri di utara catat peningkatan

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Saat menggembirakan bagi Osnamila Ilias apabila anaknya, Ku Anis Nabila Ku Idris (kiri) dan rakan baiknya, Syazliyana Sheik Daud mendapat 5A dalam UPSR di SK Convent Green Lane Georgetown, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 14 Nov. - Kebanyakan negeri di utara mencatatkan keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 yang diumumkan hari ini.

Pulau Pinang mencatatkan peningkatan manakala Perak mencatatkan penurunan.

Di GEORGETOWN, sebanyak 2,722 atau 11.6 peratus dari 23,562 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.11 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,752 murid daripada 26,370 calon memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran.

"Pada keseluruhannya, sebanyak 15,996 murid atau 68.55 peratus mencatat sekurang-kurangnya gred C dalam keseluruhan mata pelajaran dan jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.1 peratus berbanding 17,904 murid tahun lepas,'' katanya.

Di IPOH, sebanyak 3,249 atau 8.49 peratus daripada 38, 248 murid yang menduduki UPSR di Perak lulus cemerlang dengan memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Muhammat Roli Hassan berkata, peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum (A,B,C) bagi semua mata pelajaran menurun daripada 63.77 peratus pada tahun ini, berbanding 65.10 peratus tahun lepas.

"Sekolah yang paling banyak calon memperolehi A dalam semua mata pelajaran ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Ave Maria Convent, Ipoh (66 calon), Sekolah Jenis Kebangsaan Yuk Choy (45), Sekolah Kebangsaan Marian Convent (41), Sekolah Kebangsaan Tasik Damai (32) dan Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist (35)," katanya.

Di ALOR SETAR, seramai 3,282 daripada 35,630 calon di Kedah mencapai tahap cemerlang dengan memperoleh 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Mansor Lat berkata, pencapaian calon cemerlang yang mendapat semua A meningkat sebanyak 0.73 peratus kepada 9.21 peratus tahun ini, berbanding 8.48 peratus tahun lepas.

"Pencapaian keseluruhan UPSR 2013 Kedah tahun ini adalah 65.94 peratus (lulus) berbanding 66.41 peratus pada tahun lalu," katanya.

Di KANGAR, Timbalan Pengarah Pendidikan Perlis Nuzrin Nuiman berkata, peratus kelulusan UPSR 2013 di Perlis menurun sebanyak 3.42 peratus kepada 62.29 peratus berbanding 65.71 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata sekolah yang mencapai peratus kecemerlangan dengan sekurang-kurangnya 20 peratus calon memperolehi semua A ialah SK Seri Indera (43 calon), SK Paya (16), SK Jejawi (18) dan SK Kayang (25).

Dua murid cacat dapat 5A dan 4A 1C

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

MUHAMMAD Hamzani gembira didukung oleh bapanya, Mohd. Hawari Mohd. Rafiae selepas memperoleh 5A dalam UPSR di Sekolah Pendidikan Khas Hashim Awang di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 14 Nov. - Cacat penglihatan dan disleksia tidak menghalang dua murid sekolah pendidikan di sini dan Alma, Bukit Mertajam meraih kejayaan 5A dan 4A 1C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 negeri ini yang diumumkan hari ini.

Kejayaan kedua-dua calon tersebut, Muhammad Hamzani Mohd. Hawari, 12, (disleksia) dan Norafifa Abdul Halim, 12, (cacat penglihatan) membuktikan mereka mampu bersaing dengan murid normal yang lain.

Menurut bapa Muhammad Hamzani, Mohd. Hawari Rafiae, 40, kejayaan anak sulungnya itu memperoleh 5A tidak diduga kerana pembelajarannya agak lambat berbanding murid-murid lain di sekolahnya.

Katanya, anaknya itu dikesan tidak boleh bercakap sejak berusia tiga tahun.

"Saya berusaha menghantar anak saya belajar tuisyen terutama bagi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris sejak darjah empat kerana dia lemah dalam mata pelajaran tersebut," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Hawari, hobi membaca dan sering membuat latihan pelajaran menjadikan anaknya mampu menguasai pelajaran dengan baik di sekolah.

"Anak saya tidak minat dengan barang mainan dan kerana itu dia mampu membaca sebuah buku dalam tempoh yang cepat," ujarnya yang bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Kulim, Kedah.

Sebanyak 96 calon menduduki peperiksaan UPSR di sekolah berkenaan dan daripada jumlah itu, lapan calon mendapat 5A manakala 10 calon memperoleh 4A 1B.

Sementara itu, bapa Nurafifa, Abdul Halim Mat Hassan, 47, berkata, dia bangga dengan kejayaan cemerlang anaknya memperoleh 4A 1 C dalam peperiksaan UPSR kali ini.

Beliau berkata, meskipun anaknya menghadapi masalah cacat penglihatan namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk belajar.

"Kecacatan yang dialami anak saya bermula setelah dia menghidap penyakit buah pinggang sejak darjah satu dan kerana sering makan ubat menyebabkan penglihatannya menjadi kabur.

"Anak saya menjalani lima kali pembedahan mata setelah dinasihatkan doktor supaya penglihatannya tidak terjejas," katanya ketika ditemui di Sekolah Pendidikan Khas di Alma, Bukit Mertajam.

Anak kelima daripada lima adik beradik itu memperoleh 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu-Pemahaman, Bahasa Melayu- Penulisan, Matematik dan Sains manakala 1 C dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Nor Afifa bercita-cita menjadi guru dan dia antara 13 calon yang menduduki peperiksaan di sekolah tersebut tahun ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved