Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


MPAJ buat pemantauan berterusan di Kemensah

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Penduduk taman-taman perumahan yang menghadapi masalah banjir lumpur di Kemensah mendengar penerangan Hasrolnizam Shaari (barisan depan, empat dari kanan) di kawasan pembinaan baharu di Hulu Klang, Ampang, Selangor semalam.

AMPANG 15 Nov. - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan menempatkan juruteranya di tapak projek perumahan baharu berdekatan Taman Tropika Kemensah, Hulu Klang untuk memastikan pemaju terlibat mengikut arahan yang dikeluarkan.

Ini berikutan kejadian banjir lumpur yang berlaku hujung bulan lalu berpunca daripada kerja-kerja tanah dan pembersihan oleh pemaju projek perumahan di situ.

Pengarah Jabatan Perancang Korporat MPAJ, Rosliza Mohd. berkata, jurutera MPAJ akan berada di tapak projek tersebut pada setiap Jumaat bagi membuat pemantauan terhadap kerja-kerja penyenggaraan yang diarahkan.

"Merujuk kepada permintaan penduduk dalam lawatan tapak hari ini, jurutera MPAJ akan ditempatkan di sana. Jurutera itu juga akan menjadi medium komunikasi antara penduduk dengan pihak berkaitan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Hasrolnizam Shaari mengadakan lawatan tapak di lokasi itu pagi tadi bersama penduduk dari beberapa taman perumahan yang terlibat.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib; Orang Besar Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh dan wakil pemaju Aman Kemensah.

Pada 6 November lalu, penduduk Taman Tropika, Prima Ukay, Prima Villa, Tiara Kemensah, Persona Villa dan Desaku Apartment menyuarakan kebimbangan berikutan kejadian banjir lumpur yang menimpa perumahan mereka.

Tambah Rosliza, Notis Pemberhentian Kerja yang dikeluarkan oleh MPAJ kepada Aman Kemensah dan dua lagi pemaju lain masih berkuat kuasa sehingga mereka mematuhi semua syarat yang ditetapkan terutamanya sistem kawalan hakisan kelodak.

"Mengenai kompaun pula, ketiga-tiga pemaju iaitu Aman Kemensah, SDB Properties dan Hamton Development telah dikenakan kompaun pertama mengikut Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 70(a) dan 71 yang memperuntukan kompaun tidak lebih daripada RM500,000.

"MPAJ juga dalam proses untuk mengeluarkan kompaun kedua kepada ketiga-tiga pemaju tersebut," katanya.

Sementara itu, wakil pemaju Aman Kemensah dalam sesi lawatan tapak itu berjanji untuk menyiapkan monsun drain (longkang besar) dalam tempoh sebulan dan kerja-kerja itu akan bermula Isnin depan.

Shaari pula berkata akan membawa masalah berkaitan pembangunan di cerun kawasan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang selain meminta kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pemaju yang bersikap sambil lewa.

"Dalam projek ini, jelas sekali pemaju telah melanggar syarat yang ditetapkan dan arahan berhenti kerja itu perlu dikenakan untuk pengajaran kepada pemaju lain," katanya.

Banjir lumpur melanda lagi

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

KAWASAN projek baharu di taman Taman Tropika, Kemensah, Hulu Klang, Selangor yang didakwa menjadi punca banjir lumpur melanda kawasan perumahan berdekatan. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

AMPANG 15 Nov. - Belum pun selesai masalah banjir lumpur ekoran kerja-kerja tanah dan pembersihan berdekatan Taman Tropika Kemensah, kejadian sama berulang lagi awal pagi ini selepas hujan lebat melanda kawasan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, halaman beberapa buah rumah di Jalan 5/L5 dinaiki air berlumpur.

Kejadian itu terus menimbulkan kebimbangan kepada penduduk, yang mempersoalkan tahap keselamatan mereka yang yang mendiami kawasan terbabit.

Seorang penduduk, Datuk Ahmad Azwan, 43, berkata, mereka kini hidup dalam ketakutan selepas masalah banjir lumpur itu berulang dalam tempoh dua minggu.

"Perkara ini sudah pun berlaku dan adakah kawasan ini selamat untuk diduduki, selain masalah banjir lumpur kami tidak tahu apa pula yang akan mengancam kami selepas ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Tambah beliau, sesi lawatan tapak bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pemaju projek pembangunan baharu di situ pada hari ini itu juga gagal mencapai sebarang persetujuan.

"Kami hanya mendengar penerangan yang berulang-ulang mengenai perkara berkaitan projek dan banjir lumpur itu dan apakah jaminan kepada penduduk sekiranya projek itu diteruskan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azmi Abdul Aziz, 50, pula menyuarakan kebimbangan mengenai tiga bongkah batu yang berada di atas bukit berdekatan rumahnya.

"Saya sudah memaklumkan kepada pemaju sebanyak dua kali dalam tempoh kurang sebulan dan pemaju turut mengakui perkara itu ketika sesi lawatan tapak tadi.

"Tetapi, mengapa mereka tidak mengambil tindakan segera kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku, tambahan pula dalam cuaca hujan kebelakangan ini," tegasnya.

20 pengawal USIM gotong-royong bersih tasik

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

JETI di tasik turut diperbaiki untuk kemudahan pengunjung semasa aktiviti gotong-royong yang dijalankan oleh pengawal keselamatan USIM di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Sebanyak 20 pengawal keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan telah menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tasik di universiti berkenaan baru-baru ini.

Aktiviti itu dilaksanakan sebagai salah satu persediaan menjelang Pesta Konvokesyen USIM Ke-11 yang akan berlangsung pada 28 November hingga 1 Disember ini.

Ketua Bahagian Keselamatan USIM, Kapt. (B) Abdul Wahab Mat Zin berkata, program tersebut merupakan persiapan awal pihaknya sebelum majlis simbolik pelancaran pesta konvokesyen dan pelepasan ikan diadakan pada 28 November ini.

"Ini merupakan salah satu inisiatif Bahagian Keselamatan USIM, kerana kami tidak mahu dilihat hanya terikat kepada tugas hakiki semata-mata, tetapi turut berperanan membantu pihak universiti dalam segala aspek.

"Pada masa yang sama kami melihat tasik yang berkeluasan hampir 10 hektar ini mempunyai daya tarikan dan sesuai bagi menjalankan pelbagai aktiviti air termasuk memancing," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, tasik berkenaan akan dibuka kepada umum dan aktiviti pertama yang akan dijalankan di situ ialah pertandingan memancing sempena Pesta Konvokesyen Ke-11 anjuran USIM dan Kumpulan Utusan pada 1 Disember ini.

Abdul Wahab yakin tasik itu mampu dikomersialkan untuk menjadi tarikan kepada orang ramai, bukan sahaja warga USIM.

Menurut beliau, terdapat pelbagai jenis ikan mendiami tasik itu seperti toman dan tilapia.

"Kami melihat pertandingan memancing yang dianjurkan oleh pihak USIM dan Kumpulan Utusan itu adalah satu langkah yang tepat kerana sudah sampai masanya tasik itu dijadikan sebagai lokasi kunjungan orang ramai.

"Saya yakin pihak pengurusan universiti mempunyai perancangan untuk menjadikan kawasan tasik itu sebagai lokasi yang sesuai bukan saja untuk para pelajar malah kepada orang ramai beriadah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved