Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Peratus cemerlang meningkat

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Sebahagian murid SK Kempas bersorak gembira bersama guru mereka selepas mendapat 5A dalam keputusan UPSR 2013 di SK Kempas, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 14 Nov. - Sebanyak 5,532 atau 9.62 peratus daripada jumlah keseluruhan 58,391 calon yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini tahun ini berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Md. Hasidin Zaini berkata, keputusan itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.55 peratus berbanding 9.07 peratus atau seramai 5,777 daripada 63,676 calon tahun lalu.

Peratusan calon yang mencapai penguasaan minimum, sekurang-kurangnya mendapat C meningkat daripada 69.30 peratus tahun lalu kepada 69.69 peratus kali ini.

Anak seorang pemandu lori, Farie Zul Hakimi Mohd. Zulkifli (kiri) yang mendapat 5A menunjukkan slip UPSR kepada adiknya Mohammad Farish Daniel Hakim yang menangis kegembiraan di atas kejayaan abangnya di SK Kempas, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Bagi Gred Purata Negeri (GPN) pula, Johor mempamerkan peningkatan keseluruhan dengan mencatat 2.14 berbanding 2.19 pada 2012. Ini adalah pencapaian membanggakan memandangkan GPN tersebut berjaya mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 2.27 mata.

Apabila nilai gred semakin mengecil bermakna negeri ini berjaya merekodkan pencapaian calon yang lebih baik," katanya dalam Majlis Pengumuman Keputusan UPSR peringkat negeri di Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru UDA 2 (BBU2) diumumkan sebagai sekolah yang memiliki calon paling ramai memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil iaitu seramai 79 murid.

Tambah Md. Hasidin, ia diikuti SK Infant Jesus Convent (73) dan ketiga adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 1.

Mengulas mengenai calon yang tidak mencapai penguasaan minimum iaitu mendapat semua D atau E, beliau berkata, Johor berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 0.49 peratus iaitu daripada 30.44 peratus kepada 29.98 peratus.

Negeri ini juga berjaya merapatkan jurang antara calon bandar dan luar bandar apabila hanya mencatatkan perbezaan sebanyak 2.14 peratus berbanding tahun lalu iaitu 2.59 peratus," katanya.

Muar catat sejarah peroleh pencapaian terbaik GPS 2.08

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

MUAR 14 Nov. - Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daerah ini mencatat sejarah tersendiri apabila memperoleh gred purata sekolah (GPS) 2.08, pencapaian terbaik berbanding 2.15 pada tahun lalu.

Ketua Unit Pengurusan Akademik Pejabat Pelajaran daerah, Lukman Simon berkata, seramai 677 daripada 6,746 calon yang menduduki peperiksaan itu berbanding 7,730 calon tahun lalu memperoleh 5A dan 7A.

"Sekolah daerah Muar berada pada kedudukan kedua di negeri ini selepas Johor Bahru. Kita berjaya merampas kembali kedudukan selepas jatuh ke tempat ketiga pada tahun lalu.

"Peratus penguasaan meningkat kepada 71.27 peratus berbanding 71.02 tahun lalu dan peratus pelajar cemerlang juga meningkat daripada 9.11 peratus kepada 10.04 peratus tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, enam sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Air Manis, SK Penchu, SK Sultan Abu Bakar 1, SK Parit Nawi, SK Durian Chondong dan SK Parit Bulat.

Enam sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) juga mencapai kelulusan 100 peratus iaitu SJKC Limbang, SJKC Khay Hian, SJKC Chung Hwa, SJKC Yu Ming, SJKC Ladang Gersik dan SJKC Chung Sun.

"Sementara sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) yang turut mendapat keputusan yang sama adalah SJKT Ladang Nordanal, SJKT Tangkak dan SJKT Ladang Bukit Serampang," katanya.

Katanya, SK Bakri Batu 2 menjadi sekolah cemerlang apabila bilangan calon yang memperoleh 5A adalah paling ramai iaitu 30 pelajar diikuti SK Convent (28 pelajar) dan SK Bandar Maharani (25 pelajar).

Lukman berkata, Pejabat Pelajaran Daerah Muar menerima enam anugerah iaitu Anugerah Gred Purata Daerah Terbaik di tempat kedua, Anugerah Anjakan Saujana (ketiga), Anugerah Peratus Cemerlang Tertinggi (kedua), Anugerah Peratus Menguasai Tertinggi (kedua), Anugerah Gred Purata Daerah Terbaik SK (kedua) dan Gred Purata Daerah Terbaik SJKT (ketiga).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved