Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Pelajar cemerlang UPSR terima hadiah Mini Cooper

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

Siti Nur Fatini Zulaikha bersama ayahnya, Zukila Deraman dan ibu, Nor Aishah Mahmud meraikan kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 15 Nov. - Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Nur Fatini Zulaikha Zukila tidak menyangka menerima hadiah istimewa sebuah kereta jenis Mini Cooper yang bernilai RM210,000 atas kejayaannya mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut.

Lebih istimewa, hadiah itu diserahkan sendiri bapanya, Zukila Deraman, 36, pagi semalam sebaik sahaja keputusan peperiksaan tersebut diumumkan di Sekolah Kebangsaan Zainab 1 di sini.

Zukila yang juga pembekal ayam terkenal di bandar ini membuat kejutan selepas memandu sendiri kereta tersebut untuk diserahkan kepada anaknya itu di sekolah berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.

Kisah hadiah kereta mewah tersebut menjadi topik perbualan hangat di laman sosial sejak semalam.

Sementara itu, Siti Nur Fatini yang ditemui di rumahnya di Taman Tanjung Chat dekat sini hari ini berkata, ayahnya benar-benar membuat kejutan dengan mengotakan janji menghadiahkan kereta itu kepadanya.

"Saya pernah memberitahu ayah ingin memiliki kereta tersebut kerana bentuknya yang comel pada awal tahun ini dan pada pertengahan tahun, ayah berjanji akan menghadiahkan kereta tersebut jika memperoleh 5A dan ayah benar-benar mengotakan janji itu semalam.

"Saya sedar saya tidak mungkin dapat memandu kereta ini kerana masih belum mencapai usia untuk memiliki lesan tetapi sekurang-kurangnya saya boleh mengaku kereta itu kepunyaan saya.

"Hadiah istimewa ini juga akan dijadikan perangsang sekurang-kurangnya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar selepas ini," katanya.

Siti Nur Fatini berkata, dia berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut selepas bapanya berjanji menghadiahkan kereta idamannya.

Walau bagaimanapun, Siti Nur Fatini memberitahu, kereta tersebut kini tidak ada di rumahnya kerana masih dalam proses dokumentasi untuk pembelian.

Dalam pada itu, ketika kunjungan Utusan Malaysia ke rumahnya, ayah dan ibunya tidak berada di rumah tersebut.

Dapat 5A walaupun ulang alik 500km ke hospital

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

AINEEN Sofea Azhari menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya selepas mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

KOTA BHARU 15 Nov. - Biarpun terpaksa berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang terletak lebih 500 kilometer dari rumahnya di Puchong, Selangor, namun itu tidak menghalang seorang murid yang menghadapi masalah saraf tunjang kongenital mencipta kejayaan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, Aineen Sofea Azhari, 12, mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut walaupun terpaksa 'ponteng' sekolah semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Dia yang dikategorikan sebagai pelajar kurang upaya (OKU) menghadapi masalah tersebut sejak dilahirkan dan menjalani rawatan susulan bermula tahun 2002 sehingga sekarang.

Sepanjang tempoh tersebut, Aineen Sofea terpaksa mendapatkan rawatan susulan dengan pakar neurosains, pediatrik dan ortopedik bagi mengatasi masalah berkaitan.

Penasihat Kelab Neurosains, Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Jafri Malin Abdullah melahirkan rasa gembira di atas kejayaan murid itu.

Katanya, murid tersebut menunjukkan iltizam dan semangat yang tinggi biarpun dalam tempoh pembesarannya terpaksa berulang alik dari Puchong ke Kota Bharu bagi menjalani rawatan termasuk pelbagai pembedahan di HUSM.

''Namun, di atas semua dorongan dan perhatian yang diberikan termasuk keluarga dan warga hospital, dia mampu menjalani kehidupan sebagaimana orang lain," katanya.

Semalam, Aineen Sofea menerima penghargaan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mahmud Karim di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor di Shah Alam.

Sebagai murid yang menghadapi masalah Spinal Dysraphism, kata Jafri Malin, kejayaan memperoleh 5A sungguh membanggakan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved