Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


NS kekal kedua terbaik UPSR

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Sebahagian murid yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah menunjukkan slip keputusan peperiksaan masing-masing di Sekolah Kebangsaan Puteri Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 14 Nov. - Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan kedua terbaik di peringkat kebangsaan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini selepas menyaksikan peningkatan dalam kualiti pencapaiannya di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Kalsom Khalid (gambar) berkata, perkara itu berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi sekolah rendah di negeri ini iaitu 2.13 mata yang berkurangan berbanding 2.14 mata tahun lalu sekali gus menyaksikan peningkatan kualiti pencapaian tersebut.

Pencapaian tersebut menjadikan negeri ini terus cemerlang dari segi prestasinya dengan menduduki tempat kedua bersama Melaka di peringkat kebangsaan di belakang Putrajaya.

Menurut Kalsom, sebanyak 2,058 atau 11.7 peratus calon UPSR di negeri ini mencapai status cemerlang berbanding 2,197 orang tahun lalu.

"Ini menunjukkan peningkatan dari peratusan calon yang memperoleh 5A dan 7A.

"Calon yang mendapat 4A 1B atau 6A 1B juga meningkat kepada 9.5 peratus berbanding 9.2 peratus pada tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar di Balai Gadang, Jabatan Pendidikan negeri di sini hari ini.

Menurutnya, prestasi pelajar luar bandar juga menunjukkan peningkatan yang baik apabila seramai 1,056 calon memperoleh keputusan penuh 5A atau 7A berbanding 1,002 calon mendapat keputusan sama di bandar.

"Pencapaian keseluruhan calon luar bandar semakin baik dan ini dibuktikan melalui nilai jurang perbezaan GPN yang semakin kecil antara luar bandar dan bandar yang menurun kepada 0.12 mata pada tahun ini berbanding 0.18 mata nilai GPN tahun lalu," katanya.

Sementara itu di Kuala Pilah, pasangan kembar, Siti Nadhrah Hisham dan Siti Nadhirah Hisham ada sebab untuk bergembira.

Hal ini kerana anak kepada seorang kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Abdul Samad, Tanjong Ipoh itu berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR hari ini.

Siti Nadhrah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pilah berkata, mereka hanya menyasarkan untuk memperoleh keputusan 4A.

''Kami tidak sangka berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini dan berterima kasih kepada ahli keluarga dan semua guru yang banyak membantu kami," katanya.

UPSR 2013 terbaik dalam tempoh 9 tahun

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

Seorang guru, Maizatul Bahiyah Mohd. Ali, 42, menenangkan anaknya, Muhammad Adib Lukman Zulkifli dari Sekolah Rendah Datuk Demang Hussain yang tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapat 3A 2B dalam UPSR 2013 di sekolah tersebut, semalam. - BERNAMA

MELAKA 14 Nov. - Prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Melaka adalah yang kedua terbaik di seluruh negara apabila seramai 1,443 daripada 13,917 calon mendapat keputusan cemerlang 5A.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peratus calon yang mendapat semua A meningkat dari 9.7 peratus tahun lalu kepada 10.4 peratus pada tahun ini walaupun jumlahnya menurun berbanding 1,466 daripada keseluruhan 15,165 calon yang mendudukinya tahun lalu.

Menurutnya, keputusan cemerlang UPSR 2013 juga merupakan yang terbaik pernah dicapai Melaka dalam tempoh sembilan tahun.

"Kecemerlangan pencapaian itu seterusnya melonjakkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 2.17 pada tahun lalu kepada 2.13 tahun ini. Malah, pencapaian ini jauh lebih baik dari Gred Purata Nasional iaitu 2.27," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pengumuman Keputusan UPSR peringkat negeri di Yayasan Melaka, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Kasim Mohamad dan timbalannya, Abdul Mutalib Osman.

Sekolah yang mendapat 5A terbanyak adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Palembang seramai 47 orang, SK Lereh (42), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Bin (41), SK Batu Berendam (39), SK Paya Rumput, SK Convent Infant Jesus 2 dan SK St. Francis masing-masing seramai 37 orang.

Sementara itu, katanya, peratus calon yang mendapat pencapaian baik atau minimum gred C bagi semua mata pelajaran juga meningkat daripada 69.1 peratus tahun lalu kepada 69.4 peratus tahun ini.

"Sebanyak 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan dari segi calon menguasai iaitu memperoleh minimum C bagi semua mata pelajaran.

"Dari segi kecemerlangan pencapaian gred A, 15 mata pelajaran menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu," jelasnya.

Mengulas pencapaian tersebut, ujarnya, perkara itu merupakan petanda baik bagi negeri ini dalam bidang akademik di peringkat sekolah rendah hingga menjadi kedua terbaik dalam kalangan 16 negeri dan Wilayah Persekutuan seluruh negara.

"Kejayaan ini juga merupakan hasil tenaga yang dicurahkan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa dalam membantu melonjak pencapaian serta faktor kejayaan kritikal kepada negeri," katanya.

Anak peneroka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah

Posted: 14 Nov 2013 11:12 AM PST

KIRI Nur Iylisa Zaridan, Puteri Siti Aisyah, Shahrulhafiz

JEMPOL 14 Nov. - Sebanyak 17 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Serting Felda (SKSF) dekat sini, berjaya mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini sekali gus menobatkan sekolah tersebut sebagai sekolah terbaik Felda di negeri ini.

Salah seorang anak Felda, Nur Iylisa Zaridan, 12, dari Felda Raja Alias Dua menjelaskan, dia amat gembira dan bersyukur apabila usahanya dan didikan guru-guru berhasil sehingga dia mencapai keputusan membanggakan.

Dalam percubaan UPSR pada Jun lalu, saya dan 15 rakan lain mendapat 5A. Syukur jumlahnya dalam UPSR sebenar meningkat kepada 17 orang dan saya bertambah gembira kerana hari ini menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Katanya, antara rahsia kejayaannya itu ialah meningkatkan pembacaan dan memperbanyak latihan.

Saya banyak membaca buku berbahasa Inggeris bagi memantapkan penulisan dan penyusunan ayat. Tambahan pula, guru banyak membantu," katanya lagi.

Sementara itu, rakannya, Puteri Siti Aisyah Abdul Razak yang juga merupakan anak peneroka berkata, dia berdebar-debar sepanjang menantikan keputusan peperiksaan UPSR diumumkan.

Saya takut nama tercicir dalam senarai pelajar menerima keputusan 5A. Alhamdulillah, akhirnya saya memperoleh keputusan cemerlang ini," ujarnya.

Cucu kepada peneroka, Shahrulhafiz Yusman, 12, pula memberitahu, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan mahu mengambil aliran agama.

Saya mahu mendalami ilmu Islam dan amat berharap dapat memasuki sekolah agama berasrama penuh," katanya yang gembira kerana lapan daripada 17 pelajar cemerlang mendapat 5A di sekolah itu adalah anak peneroka Felda.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved