Jumaat, 15 November 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Sahabat baik nyaris jadi menantu

Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST

PERTEMUAN dan perpisahan menjadi adat dalam kehidupan manusia. Ada yang terpisah kerana merajuk dengan keluarga dan ada juga yang sengaja ingin hidup berdikari.

Yang pasti jika ditakdirkan akan bertemu semula, maka terjadilah saat itu, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun.

Itulah pengalaman yang dilalui oleh Faridah (bukan nama sebenar) dan anaknya Shahira (bukan nama sebenar).

Ingin tahu cerita lanjut, kita ikuti kisah ini yang diceritakan sendiri oleh Faridah untuk dikongsi dengan pembaca.

"Saya seorang penjawat awam mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Anak perempuan saya sudah bekerja sementara yang lelaki masih belajar. Suami seorang ahli perniagaan.

"Sebagai ibu, saya hanya memberi nasihat kepadanya agar dia selalu mensyukuri anugerah yang Allah berikan kepadanya dan menjaga tingkah laku serta pergaulan.

"Sebab setiap manusia hanya memandang kecantikan luaran tetapi tidak kecantikan dalaman, hati dan jiwa, budi bahasa, sopan santun dan akhlak yang molek, itu yang selalu saya pesan kepadanya.

"Dalam setiap perkara anak-anak perlu diawasi biarpun mereka sudah dewasa. Begitu juga dengan saya yang sentiasa memerhati gerak-geri Shahira sehingga dia merasa kurang selesa kerana katanya saya terlalu cerewet.

"Saya bersara awal kerana mahu menumpukan perhatian terhadap keluarga dan saya faham benar kekalutan yang sering tercetus dalam kalangan mereka jika berjauhan dari pandangan orang tua.

"Itu juga yang terjadi kepada Shahira. Saya mula perasan dia ada menyimpan rahsia daripada saya. Tentunya yang saya syak tentang teman lelaki.

"Telefon bimbit sentiasa berada di tangan, itu yang saya nampak setiap kali dia berada di rumah.

"Naluri keibuan saya selalunya tepat. Bila ditanya dia hanya tersenyum sahaja. Ditanya katanya nantilah dulu ibu. Sampai masa, Ira akan ceritakan.

"Dalam diam, saya intip gerak-gerinya melalui seorang kenalan yang kebetulan bertugas setempat dengan anak saya.

"Benar firasat saya, Shahira menjalin hubungan dengan Hisham (bukan nama sebenar ), suami orang yang telah mempunyai empat orang anak yang telah dewasa.

"Terkejut saya bukan kepalang. Risau menjadi mainan hidup saya selepas itu. Apa yang perlu saya buat? Lalu saya meminta bantuan kenalan saya itu untuk mengintip gerak geri mereka dan memberi makluman kepada saya.

"Alhamdulillah, akhirnya saya dapat menghubungi Hisham dan meminta untuk berjumpa dengannya. Saya ajak suami bersama untuk menemui lelaki itu dengan harapan anak kami masih boleh diselamatkan.

"Saya juga pelik kenapa perlu Shahira berkawan dengan Hisham, sedangkan masih ramai lelaki bujang yang ada untuk dimiliki tetapi saya tidak bertanya Shahira akan perkara itu kerana tidak mahu urusan saya menyiasat terganggu.

"Saya menghubungi Hisham dan meminta untuk berjumpa. Dia setuju tanpa banyak alasan. Saya akan bersemuka demi kebaikan anak saya, akan tetapi jika jodoh mereka kuat, saya reda walaupun saya akan malu dengan jiran-jiran dan sanak saudara. Tak tahu mana nak letak muka jika jodoh mereka menjadi kenyataan.

"Pada hari yang dijanjikan, saya dan suami bertemu Hisham di sebuah restoran yang agak terkenal dan eksklusif di pinggir bandar bersama suami.

"Alangkah terkejutnya saya apabila melihat lelaki yang dikhabarkan bercinta dengan anak gadis saya itu adalah teman saya semasa di universiti dulu. Bukan saya sahaja yang terkejut, Hisham juga separuh pengsan apabila mendapat tahu Shahira adalah anak saya.

"Maafkan aku, Idah, aku tak tahu Shahira itu anak kamu. Maafkan aku. Ya Allah, kecilnya dunia ini, berulang kali Hisham memohon maaf kepada saya dan suami.

"Saya tidak berkata apa-apa kerana saya faham akan keadaan yang dilalui oleh Hisham, begitu juga dengan suami. Malah saya merasa malu yang amat sangat dengan Hisham.

"Pertemuan itu merungkai segala masalah antara kami. Hisham berulang kali meminta maaf kerana tidak menyangka Shahira adalah anak saya.

"Katanya lagi, dia sebenarnya tidak ada apa-apa perasaan terhadap Shahira selain daripada layanan seorang ketua kepada stafnya, itu sahaja.

"Katanya lagi, ini semua kerana Shahira telah tersalah tafsir tentang hubungan mereka disebabkan rakan-rakan pejabatnya ramai yang menyokong jika dia bertemu jodoh dengan Shahira.

"Saya juga meminta maaf kepada Hisham dengan apa yang berlaku, begitu juga dengan suami. Kami benar-benar malu dan ralat dengan kejadian yang tidak disangka ini.

"Sebelum berpisah, saya dan suami mempelawa Hisham dan keluarganya ke rumah untuk mengeratkan hubungan kami dan menyelesaikan masalah dengan Shahira.

"Seminggu kemudian Shahira memberitahu saya yang ada orang hendak datang ke rumah kami. Saya tanya siapa, dia tidak menjawab tetapi melemparkan senyuman yang mana saya sangat-sangat faham siapa tetamu itu.

"Seperti yang dijanjikan tetamu tiba seperti masa yang dimaklumkan. Kami sekeluarga menyambut mereka dengan mesra.

"Setelah bersalaman, secara spontan Hisham memberitahu Shahira, saya adalah kenalannya semasa kami menuntut di universiti. Penjelasan tersebut menjadikan anak saya terkedu. Serta-merta wajahnya berubah.

"Sebenarnya saya kenal ibu awak Shahira dan saya gembira bila mendapat tahu awak adalah anak rakan baik saya. Saya dan ibu awak amat rapat semasa di universiti, malah kami juga belajar dalam satu kumpulan sehingga lulus, cerita Hisham.

"Kata-kata dan penjelasan Hisham menyebabkan Shahira terdiam dan berubah wajah. Dia nampak tidak gembira. Saya faham perasaannya saat itu, tetapi saya buat tak peduli kerana tidak mahu tetamu lain perasan.

"Saya dan Hisham telah berjanji tidak akan memberitahu sesiapa perkara ini termasuk isterinya.

"Ketika sedang makan-makan, saya nampak Shahira murung dan tidak banyak bercakap. Mungkin terkilan dengan kejutan yang dibuat oleh Hisham. Tetapi saya yakin, ia tidak lama.

"Ketika hendak meninggalkan rumah saya, kami bersalaman dengan mesra dan berharap dapat bertemu lagi dan kekal menjadi keluarga untuk selamanya.

"Setengah jam kemudian, Shahira menunjukkan kepada saya pesanan ringkas yang diterima melalui telefon bimbitnya dari Hisham mengandungi kata-kata, sebenarnya saya sayang awak seperti anak saya sendiri dan saya tidak ada apa-apa maksud lain yang dihebohkan oleh rakan-rakan di pejabat."

"Saya melihat Shahira menangis. Air matanya menitis membasahi kedua-dua pipinya. Saya memeluk Shahira dan berkata, "Pertemuan ada ketikanya membahagiakan dan ada kalanya meninggalkan kesan yang meruntun perasaan.'

"Sebagai ibu tentu saya bersyukur kerana kasihnya tidak kesampaian, lagipun saya faham Hisham tidak bermaksud apa-apa dengan persahabatannya dengan anak saya.

"Saya mendoakan agar Shahira akan bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih baik untuknya. Saya beritahu dia, usianya masih muda dan dia masih ada peluang untuk mencari lelaki lain yang lebih sesuai dan sebaya dengannya.

"Malam itu, ketika saya melintas bilik Shahira, saya dapat mendengar tangisan anak gadis saya sedang berdoa setelah selesai solatnya.

"Esoknya, Shahira saya lihat sudah kembali ceria. Ketika hendak keluar ke tempat kerja dia berkata kepada saya, "Ira minta maaf kerana tersalah tafsir tentang perasaan kawan ibu itu.

"Sebenarnya Ira yang tidak fikir panjang dan cepat terpengaruh dengan gosip kawan-kawan di tempat kerja. Sekarang Ira sudah faham dan berjanji tidak akan mengulangi lagi sikap Ira itu," katanya tenang membuatkan hati saya sebagai ibu amat bahagia sekali. Syukur Alhamdulillah.

"Sebagai ibu, saya mendoakan yang terbaik untuk anak gadis saya, juga masa depan yang bahagia buat Hisham dan keluarganya. Mudah-mudahan pertemuan kami bukan yang terakhir tetapi permulaan bagi sebuah persaudaraan yang akan kekal tersimpul mati," pinta Faridah ikhlas menamatkan ceritanya.

Itulah hati seorang ibu, sanggup buat apa sahaja untuk anaknya. Moga apa yang dilalui Faridah dan anaknya tidak berlaku kepada orang lain.

Ujian Allah datang berbeza-beza dalam keadaan yang juga berlainan antara seorang manusia dengan manusia yang lain.

Saya kagum dengan sikap positif yang ditunjukkan Faridah dan suaminya dalam mencari penyelesaian terhadap masalah anak gadis mereka, tidak seperti sesetengah ibu bapa yang hanya mengikut telunjuk anak walaupun tahu hubungan yang terjalin akan membawa masalah di kemudian hari.

Menutup catatan, sepatah pesanan saya, hidup ini ada kalanya sangat pahit dan kelat tetapi manisnya akan terasa bila sampai waktu bahagia yang dijanjikan untuk kita.

Salam

Jamu selera di taman Inggeris

Posted: 14 Nov 2013 10:12 PM PST

Oleh NORAZLINA ISMAIL

Laksa Johor

SEKILAS pandang sebuah lot kedai yang terletak di Ground Floor, Bangunan Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, tidak ubah seperti sebuah kedai bunga atau kedai menjual barangan Inggeris Cottage.

Mana tidaknya, setiap sudut premis tersebut dipenuhi dengan kuntuman bunga-bungaan pelbagai warna dan jenis.

Tertarik dengan 'keindahan' itu, kaki terus melangkah mendekati premis tersebut untuk mendapatkan kepastian.

Namun, segala tanggapan yang dibuat nyata meleset sebaik melihat papan tanda kedai yang tertera perkataan Flora Kafe.

Pengurusnya, Mohd. Nizam Bujang atau lebih dikenali sebagai Mell berkata, kafe tersebut diilhamkan daripada pemiliknya, Abdul Razak Ahmad yang merupakan seorang pengubah bunga dan perunding perkahwinan.

Menurutnya lagi, pemilik Flora Kafe itu menggunakan kepakaran dan kreativitinya untuk menghasilkan sebuah kafe yang cantik dan dihiasi dengan bunga bagi memberikan kelainan kepada pelanggan.

"Uniknya walaupun dekorasi kafe kelihatan seolah-olah seperti dalam taman Inggeris, tetapi kita tawarkan menu tempatan.

"Menu tempatan itu ialah makanan popular negeri Johor, termasuk laksa Johor, mi Bandung, ubi goreng Flora, sira ubi dan jus katira," katanya.

Menurut Mohd. Nizam lagi, semua menu yang ditawarkan kafe itu disediakan sendiri oleh Hamimah Ahmad mengikut resipi turun temurun.

Dalam pada itu, Hamimah berkata, pelanggan yang memesan laksa Johor pasti akan terpikat kerana kuahnya yang pekat dan cukup rasa.

"Kuah laksa Johor di sini memang pekat kerana kita banyak gunakan ikan dan udang kering.

"Ubi goreng Flora pula memang lain daripada yang lain kerana ia diperap dengan beberapa jenis herba sebelum digoreng dan enak dicicah bersama sambal kicap," katanya.

Selain menu laksa Johor, Flora Kafe turut menawarkan set makan tengahari pada hari Isnin hingga Khamis dengan harga RM13, manakala pada hari Jumaat pula pelanggan akan disajikan set Bufet Jumaat pada harga RM25.

Bagi yang berminat boleh menghubungi talian 017-3024112 atau layari www.facebook.com/flora.k.ampwalk.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved