Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Permatang Pauh perlu transformasi

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

UTUSAN: Kenapa Permatang Pauh perlukan perubahan?

MOHD. ZAIDI: Perubahan itu diperlukan supaya ia seiring dengan transformasi yang diperkenalkan UMNO di peringkat nasional. Kita perlu memecahkan benteng bayangan Anwar Ibrahim dalam kalangan pemimpin UMNO yang masih ada di Permatang Pauh. Justeru, saya menawarkan sebuah pasukan yang dinamakan 'Pasukan Transformasi', terdiri daripada muka baharu dan lama untuk membawa perubahan kepada UMNO bahagian.

Kepemimpinan macam mana diperlukan di Permatang Pauh?

Golongan muda di sini masih berasa terpinggir daripada perjuangan politik pemimpin sekarang. Kerana itu usaha menarik golongan muda amat diperlukan. Ia terbukti apabila golongan muda menterjemahkan hasrat mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Peningkatan itu diterjemahkan oleh golongan muda yang membuktikan minat mereka terhadap UMNo makin bertambah.

Bagaimana misi Pemuda sekarang ini?

Misi saya dengan menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai misi menjatuhkan penguasaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Ahli Parlimennya yang juga Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tanggungjawab itu perlu dilaksana bagi memastikan orang Melayu di kawasan tersebut tidak terus terpinggir meskipun banyak projek pembangunan di sekitarnya berjalan rancak.

Pembangunan perlu ditingkatkan di Permatang Pauh?

Pembangunan di Permatang Pauh masih perlahan. Pembangunan yang ada sekarang adalah semasa kepimpinan UMNO. Jadi, matlamat saya untuk merancakkan kembali pembangunan untuk dinikmati oleh rakyat terutama peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Saya mahu memperjuangkan pembangunan pendidikan dengan mewujudkan sebuah Sekolah Agama berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Rumah mampu milik untuk golongan miskin dan sederhana di Permatang Pauh. Selain mewujudkan peluang perniagaan baru di sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pertanian.

Bagaimana harapan tiga sayap penting UMNO di Permatang Pauh?

Keputusan pemilihan tiga sayap baru-baru ini membuktikan transformasi golongan muda memerlukan pembaharuan dalam kepimpinan UMNO.

Keputusan yang ditunjukkan oleh Pemuda, Puteri dan Wanita dalam pemilihan itu menunjukkan pengaruh kepimpinan terdahulu perlu berubah. Itulah keputusan yang diterjemahkan oleh tiga sayap parti yang mahukan gandingan baharu untuk memantapkan parti di Permatang Pauh.

Wakil rakyat mahu kukuh kedudukan dalam parti

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (tengah) bersama Mohd. Kamil Shafie (kanan) dan Mazlin Sham Razman mahu memastikan mereka mampu menyampaikan hasrat rakyat kepada kerajaan.

KUALA KANGSAR 16 Okt. - Tiga wakil rakyat yang akan bertanding pada pemilihan bahagian UMNO Kuala Kangsar pada Sabtu ini berkata, mereka bertanding kerana mahu mengukuhkan kedudukan dan peranan di dalam parti.

Ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad yang bertanding Ketua Bahagian; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Mazlin Sham Razman bersaing jawatan Naib Ketua Bahagian manakala ADUN Manong, Mohd. Kamil Shafie calon jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Wan Khairil Anuar akan menentang penyandang Ketua Bahagian itu, Datuk Ramly Zahari iaitu bekas Exco kerajaan negeri dan bekas ADUN Manong.

Seorang lagi calon untuk jawatan Ketua Bahagian itu ialah Dul Hayati Beheran.

Naib Ketua bahagian itu, Mohd. Kamil dicabar Azizul Rahim Abdul Rahman dan Zaid Abd. Aziz bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Mazlin Sham pula berdepan saingan seorang ahli perniagaan, Basri Mat Tah untuk jawatan Naib Ketua Bahagian itu.

Ketiga-tiga mereka berkata, keupayaan dan kekuatan seseorang wakil rakyat tidak hanya menyampaikan hasrat dari rakyat kepada kerajaan, tetapi perlu berada pada kedudukan penting dalam parti.

Calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Wan Khairil Anuar yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberitahu, sebagai wakil rakyat, mereka harus ada kedudukan dalam parti.

"Sebagai pemimpin pilihan rakyat, kedudukan penting dalam parti tidak boleh dipisahkan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Kamil pula berkata, sebagai wakil rakyat mereka akan terus bekerja keras untuk menyampai suara rakyat kepada kerajaan.

Kerajaan negeri dirayu sediakan premis untuk persatuan pesakit ichtyosis

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Mohd. Firdaus Mehat (kiri) menimbang daging lembu korban sebelum diagihkan sewaktu majlis korban anjuran Perkid di Kampung Kandai, Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 16 Okt. - Pertubuhan Kebajikan Pesakit Ichtyosis Kedah (Perkid) merayu kerajaan negeri menyediakan sebuah premis untuk mereka menjalankan kegiatan persatuan.

Pengerusinya, Mohd. Firdaus Mehat berkata, pihaknya mahu menjadikan pusat itu sebagai pejabat dan mengadakan pelbagai aktiviti untuk ahli serta penduduk setempat.

"Ketika ini pertubuhan yang ditubuhkan tiga tahun lalu beroperasi di rumah saya di Kampung Kandai di sini.

"Kami sudah menghantar surat Ahad lalu berhubung perkara ini kepada Pejabat Menteri Besar dan berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya," katanya ketika ditemui pada majlis korban persatuan berkenaan di Kampung Kandai, di sini hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, Perkid mempunyai 35 ahli dari seluruh Kedah dan bergiat aktif menerusi penganjuran beberapa program dalam kalangan ahli persatuan berkenaan.

"Antara aktiviti yang diadakan ialah jamuan dan sumbangan kepada ahli pada Aidilfitri serta hari keluarga. Kami turut merancang untuk mengadakan pelbagai lagi program selepas ini," katanya

Kata beliau, pihaknya turut mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak termasuk badan korporat untuk bersama mereka menerusi sumbangan perubatan, kewangan dan sokongan moral.

"Oleh kerana penyakit ini tidak boleh sembuh perhatian utama adalah penjagaan dan rawatan berterusan," katanya.

Ichtyosis adalah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan penghidap diselaputi sisik seakan-akan sisik ikan di seluruh tubuh mereka.

Ciri utama penghidap ichtyosis adalah rupa paras mereka yang seakan-akan sama walaupun berlainan bangsa dengan mata yang sentiasa kemerah-merahan.

Mohd. Firdaus boleh dihubungi menerusi talian 012-4467112.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved