Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kalimah Allah: Jangan sampai berpecah - Ahmad Zahid

Posted: 16 Oct 2013 11:52 PM PDT

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Kementerian Dalam Negeri membuat rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dalam The Herald demi menjaga keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menjelaskan, selaku pihak yang terlibat dalam proses rayuan itu, kementerian tidak melihat kepada aspek undang-undang semata-mata sebaliknya memberi penekanan kepada sensitiviti umat Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald, menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan.

"Kita harus menghormati antara satu sama lain dalam soal pegangan agama," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV di Wisma Bernama malam tadi.

Ahmad Zahid juga berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu tidak mewujudkan perpecahan antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

"Jika ada ketidakpuasan hati di pihak berkenaan untuk bawa ke Mahkamah Persekutuan, itu adalah hak mereka. Bagi saya itu adalah proses undang-undang tetapi daripada segi keselamatan, kita tak mahu ada perpecahan antara orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Isnin lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah Allah dalam versi bahasa Malaysia penerbitan itu. - BERNAMA

Jangan percaya swasta tawar visa haji - Jamil Khir

Posted: 16 Oct 2013 11:42 PM PDT

MEKAH 17 Okt. - Orang ramai dinasihat agar jangan sekali-kali percaya dengan mana-mana pihak yang menjanjikan tawaran pakej haji lengkap dengan visa tanpa melalui Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan kesal apabila setiap kali musim haji, mesti terdapat kes jemaah yang terkandas kerana syarikat pakej haji itu akan menghadapi masalah mendapatkan visa.

"Kita dapat tahu banyak juga jemaah haji terkandas di lapangan terbang di ibu negara dan juga di rumah masing-masing dan setelah siasatan, kita dapati jemaah haji terbabit sebenarnya hanya berdaftar dengan syarikat tertentu dan bukannya dengan TH," kata beliau kepada pemberita di Mina di sini hari ini.

Katanya, siasatan juga mendapati syarikat terbabit membuat pelbagai tawaran pakej dengan mendakwa mereka akan mendapat visa terus dari Kerajaan Arab Saudi dan ada yang mendakwa membeli visa daripada kuota negara jiran.

Jamil Khir menjelaskan, tiada mana-mana syarikat memperoleh visa secara langsung dari Kerajaan Arab Saudi kerana pemberian visa haji adalah urusan antara kerajaan dengan kerajaan.

Beliau berkata, Kerajaan Arab Saudi tidak pernah membenarkan kuota sesebuah negara diberikan kepada negara lain dan kerajaan negara itu juga tidak berurusan dengan mana-mana syarikat.

Katanya, orang ramai yang bercadang mengerjakan haji pada musim depan menerusi pakej syarikat swasta, disaran agar menghubungi TH terlebih dahulu bagi mendapat pengesahan mengenai status syarikat berkenaan.

Menurut beliau, TH mempunyai senarai syarikat yang diiktiraf dan mempunyai data mengenai jumlah kuota TH yang diberikan kepada syarikat berkenaan untuk membawa jemaah haji.

"Pada setiap tahun selepas musim haji, kerajaan akan mengadakan mesyuarat dengan pengurusan muassasah dan Kerajaan Arab Saudi bagi memperbaiki sebarang kelemahan dan berbincang mengenai kuota yang ditetapkan," kata beliau.

Beliau berkata, setiap negara akan diberikan kuota sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan Kerajaan Arab Saudi dijangka akan mengekalkan pengurangan sebanyak 20 peratus ekoran kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi. - BERNAMA

Usahawan muda dijemput beri input mantapkan ekonomi bumiputera

Posted: 16 Oct 2013 11:38 PM PDT

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Usahawan muda bumiputera harap dapat memberi input kepada kerajaan dalam membolehkan pelbagai program yang dilaksanakan ketika ini dimantapkan lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kelompok ini amat penting kerana idea yang dijana mereka membolehkan pelbagai program kerajaan diperbaiki dari semasa ke semasa untuk pembangunan ekonomi Bumiputera.

"Saya berterima kasih kepada GMB (Generasi Muda Berjaya) Malaysia kerana menganjurkan Kongres Usahawan Muda Bumiputera bertepatan dengan saranan Perdana Menteri yang mengumumkan beberapa dasar bagi memperkasa ekonomi Bumiputera seiring usaha untuk merealisasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Kongres ini mampu memberi input berguna kepada kami lebih-lebih lagi ia disertai oleh kelompok muda yang mempunyai wawasan tinggi.

"Untuk itu, saya telah mengarahkan semua agensi di bawah MITI untuk membantu kejayaan kongres ini yang turut akan memberi input kepada bermakna kepada kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Kongres Usahawan Muda Bumiputera yang turut dihadiri oleh Presiden GMB Malaysia, Agil Faisal di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Sementara itu, Agil yang ditemui pemberita menjelaskan, kongres yang akan diadakan pada bulan Februari tahun hadapan itu bakal disertai oleh 2,000 usahawan muda Bumiputera seluruh Malaysia.

Antara lain menurut beliau, kongres ini turut mempunyai segmen Town Hall berkonsepkan Parlimen, 200 ruang pameran dan jaringan perniagaan bagi membolehkan usahawan muda membina jaringan antara mereka.

"Antara objektif kongres ini ialah kita akan menghasilkan road map untuk usahawan Bumiputera selaras dengan dasar kerajaan dan ia juga mampu menambah nilai usahawan muda dalam aspek akses kepada pasaran, kewangan dan pembinaan kapasiti.,

"Ia juga mampu mengukuhkan pembangunan kapasiti pengusaha muda sebagai pengeksport yang berdaya saing di pasaran global.

"Malah, kongres ini juga berperanan sebagai satu platform bagi usahawan muda berkongsi maklumat pendapat dan membina jaringan perniagaan yang lebih baik dan luas," katanya. - UTUSAN ONLINE

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved