Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Peluang anak-anak desa miliki tanah

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Mohamad Hasan beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Pengundian Lot Peserta-Peserta FELCRA Berhad Kerangai Penagoh di Kuala Klawang dekat Jelebu, semalam.

JELEBU 16 Okt. - Kerajaan negeri akan melaksanakan Dasar Pembesaran Kampung bagi memberi peluang kepada anak-anak generasi kedua dan ketiga memiliki tanah di kawasan kampung mereka sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagi menjayakan dasar tersebut, kerajaan negeri telah mengarahkan pentadbir tanah di semua daerah mengenal pasti tanah milik kerajaan di kawasan kampung yang boleh dijadikan rezab bagi tujuan itu.

Beliau berkata, kerajaan akan membina infrastruktur dan kemudahan awam yang bersesuaian di kampung berkenaan agar lebih tersusun dan selesa untuk didiami.

"Dasar ini kita buat memandangkan luas tanah di kampung yang semakin mengecil kesan daripada sistem pembahagian tanah antara ibu bapa kepada anak dan ada yang menjualnya kepada pihak lain.

"Kita tidak akan beri tanah yang besar, cukup untuk mereka buat rumah dan kita akan bina sistem kampung yang tersusun," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pengundian Lot Peserta-Peserta FELCRA Berhad Kerangai Penagoh di Kuala Klawang dekat sini hari ini.

Pada majlis hari ini, seramai 348 peserta Felcra mengundi bagi mendapatkan lot tanah masing-masing.

Mohamad menarik perhatian, dasar itu juga dilaksanakan bagi mengelakkan penghijrahan ke bandar dalam kalangan generasi kedua dan ketiga yang tidak mahu terus tinggal di rumah ibu bapa masing-masing di kampung.

Jelasnya, penghijrahan ke bandar akan memberi tekanan kepada kerajaan dengan kadar inflasi akan terus naik dan kadar kos sewa rumah dan harga rumah di bandar akan melambung kerana permintaan yang meningkat.

"Dasar Pembesaran Kampung adalah salah satu cara kita untuk mengurangkan kadar inflasi di negeri ini supaya permintaan perumahan dapat dikurangkan, jadi tidak melambung sangat harga rumah di Negeri Sembilan.

"Jadi kita harap tumpuan ke bandar dapat dikurangkan untuk membeli rumah yang sedikit tetapi pembeli yang ramai," ujarnya.

Permohonan korek pasir perlukan ulasan teknikal - KM

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

IDRIS Haron menunjukkan gambar aktiviti mengorek pasir di Bukit Senggeh, Jasin dalam sidang akhbar di Melaka, semalam.

MELAKA 16 Okt. - Kerajaan negeri menetapkan agar semua permohonan korek pasir di atas lot tanah milik kekal di negeri ini terlebih dahulu perlu mendapat ulasan teknikal daripada jabatan berkaitan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, arahan itu diputuskan dalam mesyuarat Exco dalam usaha kerajaan negeri membendung kesan buruk yang berlaku terhadap alam sekitar terutamanya di kawasan Bukit Senggeh, Jasin.

Menurutnya, ulasan teknikal secara terperinci perlu diperoleh terlebih dahulu dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Tanah dan Galian sebelum kerajaan negeri memberikan kebenaran atau sebaliknya.

"Undang-undang yang berkuat kuasa serta-merta ini dikhaskan bagi kawasan perlombongan yang di dalam kawasan tanah seluas 500 hektar.

"Namun begitu, kerajaan negeri telah menetapkan supaya syarat ini dipatuhi walaupun kerja-kerja pengorekan dan perlombongan itu berlaku dalam kawasan tanah yang kurang daripada keluasan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengarahkan aktiviti perlombongan pasir di kawasan Solok Ayer Keroh, Kampung Bukit Senggeh dihentikan serta-merta atas faktor keselamatan.

Arahan itu diputuskan akibat kejadian banjir lumpur yang melanda kawasan berkenaan didapati berpunca daripada limpahan lombong terbabit.

Bagaimanapun jelas Idris, semua kos bagi permohonan itu perlu ditanggung sendiri oleh pemohon, pemilik tanah dan syarikat yang diberikan lesen perlombongan.

"Polisi ini ditetapkan setelah kerajaan negeri mendapati bahawa syarikat yang terbabit dalam aktiviti perlombongan pasir di negeri ini tidak menunjukkan kesedaran tentang pentingnya memelihara keseimbangan ekosistem di kawasan yang dilombong.

"Mekanisme yang diperkenalkan ini bukanlah untuk menghalang kerja perlombongan, namun memperbetulkan kaedah kerja yang dilaksanakan," ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri bakal berhadapan dengan kehilangan punca pendapatan sebanyak kira-kira RM1.6 juta melalui aktiviti itu, namun keselamatan penduduk setempat adalah perkara yang menjadi keutamaan.

Program membentuk jati diri pelajar

Posted: 16 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh NURUL HUSNA HAMDAN
utusanN9@utusan.com.my

Para pelajar ketika membuat kawalan kehormat pada Program Perkhemahan Unit Uniform Sekolah-sekolah Rendah Daerah Jelebu dan Hari Kokurikulum SKUJ 2013 di Jelebu, baru-baru ini.

JELEBU 16 Okt. - Sama ada mahu atau tidak, rakyat kini harus menerima hakikat bahawa generasi muda merupakan tunjang dan nadi kekuatan negara kerana mereka merupakan golongan pewaris masa hadapan.

Bagi memastikan negara dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai kekuatan dari segi spiritual dan mental, pelbagai usaha telah dilakukan sebagai persediaan bagi membolehkan mereka benar-benar bersedia untuk mengambil alih warisan negara pada masa depan.

Justeru, program Perkhemahan Unit Uniform Sekolah-sekolah Rendah Daerah Jelebu dan Hari Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu (SKUJ) 2013 yang diadakan baru-baru ini dilihat sebagai satu pengisian bagi mencerna jati diri selain membentuk potensi dan disiplin pelajar sekolah.

Program yang melibatkan lebih 200 pelajar dari beberapa buah sekolah berlangsung selama tiga hari dua malam itu turut meliputi acara kawad kaki, perkhemahan, 'Xplore Race', model gajet, simpulan dan beberapa ruang pameran dari pelbagai agensi yang terlibat.

Menurut Ahli Parlimen Jelebu, Zainudin Ismail berkata, program kokurikulum seperti ini adalah salah satu program dalam pengisian sistem pendidikan negara.

Apatah lagi kata beliau, potensi pelajar kini tidak hanya dinilai melalui pencapaian akademik semata, malah turut meliputi aspek kokurikulum yang terkandung dalam sistem pendidikan negara.

''Kebolehupayaan pelajar untuk membawa diri di dalam masyarakat adalah sangat penting dan bukan khusus kepada akademik semata-mata. Oleh itu, program sebegini sangat penting supaya pelajar yang akhirnya akan menjadi sebahagian daripada masyarakat kelak bersedia apabila dilatih dan didedahkan di peringkat awal.

''Akhirnya nanti, apabila pelajar ini menjadi dewasa, mereka sudah mempunyai latihan, secara automatik ilmu yang diperoleh digunakan sebagai input untuk mereka dalam menangani cabaran akan datang," katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, biarpun pembelajaran dalam kelas berjalan seperti biasa, namun latihan dari segi persediaan fizikal harus seiring bagi melahirkan pelajar yang bersedia dalam apa jua rintangan apabila dewasa.

Malah katanya, program ini dapat melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama menerusi penglibatan aktif pelajar dalam kokurikulum.

''Mempunyai pendidikan tetapi tidak bercampur dengan masyarakat, tidak mempunyai perasaan untuk membantu kepada kumpulan yang memerlukan menyebabkan mereka hanya menjadi seorang yang mementingkan pencapaian akademik semata-mata," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved