Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Lelaki didakwa menyamar kerabat diraja Kedah

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

PULAU PINANG 17 Okt. - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dengan menyamar sebagai kerabat diraja Kedah dan menggunakan lambang yang tidak mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Roshidi Fadzil, 47, dari Bukit Beruang, Melaka mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan kepadanya oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret L. Umma Devi.

Mengikut pertuduhan pertama, Roshidi didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa mendapat kebenaran daripada ROS.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu seorang individu bernama Ooi Ten Seng, 33, dengan menyamar sebagai Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa dilakukannya di dewan bankuet, Hotel Cititel di Jalan Penang di sini kira-kira pukul 4.15 petang, 23 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam Muhd. Yahya Zakaria.

Umma Devi membenarkan Roshidi diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan kes pada 18 November ini.

Rasuah RM25,000 didenda RM125,000, jel sehari

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

JOHOR BAHRU 17 Okt. - Seorang pemilik kilang pembungkusan dihukum penjara sehari dan denda RM125,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memberi rasuah RM25,000 kepada seorang pegawai Tenaga Nasional Bhd. (TNB), pertengahan tahun ini.

Ho Hann Sing, 34, dijatuhi hukuman tersebut setelah mengaku bersalah memberikan suapan kepada Jurutera Kanan TNB, Arizal Ashari sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan kerana mencuri bekalan elektrik.

Jika gagal membayar denda, Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memerintahkan tempoh pemenjaraan tertuduh ditambah lagi enam bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Hann Sing didakwa memberikan sogokan itu kepada Arizal sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas Chin Tat Packaging & Trading di Lot 259-260, Batu 15 Jalan Gelang Patah, dekat sini kerana disyaki mencuri bekalan elektrik.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Khaja 7, Nombor 35, Jalan 1, Lima Kedai, Gelang Patah pada pukul 6.55 petang, 6 Jun lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Berdasarkan fakta kes, Arizal bersama tiga pegawai TNB menjalankan operasi pada pukul 3.30 petang hari kejadian di premis tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati berlaku kecurian elektrik di kilang itu.

Tertuduh kemudian didakwa menawarkan RM20,000 kepada Arizal agar tidak dikenakan sebarang tindakan namun tidak diendahkan sebelum Hann Sing kemudian menambah nilai sogokan kepada RM25,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noorfazlin Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Norain Tupari.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved