Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Artis-artis tunai ibadah korban di Sungai Buloh

Posted: 17 Oct 2013 03:25 AM PDT

SUNGAI BULOH 17 Okt. - Kumpulan gabungan artis dan penggiat seni tanah air yang menggelar diri mereka Usrah Fitrah hari ini menunaikan ibadah korban dengan kerjasama Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini hari ini.

Korban kali ini merupakan kali kedua ia dilakukan kumpulan tersebut selepas pertama kali dilakukan tahun lalu di Bandar Baru Ampang dan membabitkan dua ekor lembu.

Jelas Yatt Hamzah, objektif ibadah ini jelas iaitu untuk berkorban sebahagian kecil daripada harta yang dimiliki ke jalan yang diredhai.

"Selain itu, melalui ibadah ini kita juga dapat membina hubungan baik antara artis dan masyarakat setempat," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Antara artis yang turut hadir termasuklah Aida Khalida, Heliza Helmi, Siti Nordiana, Salima Habibi dan Zoey Rahman. - UTUSAN ONLINE

Cinta semakin erat

Posted: 16 Oct 2013 11:07 PM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar SYEFRY MONIZ

Pasangan ini bakal terbang ke London dan Florida selama dua minggu untuk berbulan madu.

LISA Surihani dan Yusry Abdul Halim bukan pasangan suami isteri biasa kerana mereka juga antara pelakon yang popular dalam dunia lakonan tanah air. Pasangan itu telah banyak berlakon sama ada dalam drama, telemovie mahupun filem.

Bagaimanapun, selepas berkahwin pada Februari tahun lalu, Yusry dan Lisa belum pernah berlakon bersama dalam sebuah filem. Namun, pasangan itu sebenarnya pernah berlakon bersama dalam sebuah filem tetapi sebelum mereka berkahwin.

Menurut Lisa, Ular merupakan filem pertama yang mengganding dirinya dengan Yusry iaitu dua minggu sebelum mereka diijabkabulkan. Kini selepas lebih setahun filem itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.

Jelas Lisa dia teruja menanti tayangan filem itu kerana ia adalah filem pertamanya bersama Yusry. Apatah lagi katanya, Ular yang berada dalam genre drama dan pengembaraan banyak meninggalkan nostalgia buatnya dan Yusry.

"Sewaktu penggambaran adegan terakhir filem Ular, bahagian bawah mata kiri saya kena sengat tebuan menyebabkan mata saya bengkak. Kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu sebelum perkahwinan saya dengan Yusry diadakan.

"Saya memang tidak dapat melupakan kejadian itu. Pada masa sama, saya memang risau apabila mengenangkan mata saya yang bengkak ketika itu. Rancangan Galaxy di TV9 sempat menemuramah saya dan menyiarkan mata saya yang bengkak.

"Tetapi itu cerita sebelum kami berkahwin. Kini selepas lebih setahun kami menjadi suami isteri barulah Ular mendapat giliran tarikh tayangannya di pawagam seluruh negara," katanya sewaktu ditemui di Putrajaya baru-baru ini.

Jelas Lisa biarpun pada ketika itu, dia dan Yusry belum diijabkabulkan sebagai suami isteri tetapi gabungannya dalam filem arahan Jason Chong itu menjadikannya begitu selesa kerana selalu berada di samping orang yang disayanginya.

Katanya hubungan intim antaranya dan Yusry ketika itu bukan sahaja menjadikan mereka lebih akrab, malah pada masa sama lebih bekerja keras bagi memastikan lakonan mereka mantap, berkesan dan memuaskan hati semua pihak.

"Sewaktu berada di lokasi penggambaran filem itu, kami banyak berbincang tentang watak masing-masing. Malah, saya juga lebih selesa dan selamat apabila berlakon di sisi orang yang saya sayang," ujarnya tanpa segan silu.

Dalam filem Ular, Lisa melakonkan watak sebagai seorang wartawan di sebuah akhbar arus perdana, manakala Yusry pula sebagai seorang jurugambar yang mana penggambarannya mengambil masa 30 hari.

Tunggu reaksi penonton

Yusry memang tiada masalah untuk terus digandingkan dengan Lisa jika ada tawaran atau watak-watak yang sesuai untuk mereka dalam filem kerana hubungan sebagai suami isteri lebih memudahkan lakonan masing-masing.

Bagaimanapun, anggota kumpulan KRU itu berkata, pada masa sama dia juga menanti reaksi daripada para penonton selepas tayangan Ular kelak sama akan lebih kerap berlakon bersama isterinya itu ataupun sebaliknya.

"Semua itu bergantung kepada keadaan dan permintaan daripada para peminat. Saya tiada masalah untuk terus digandingkan dengan Lisa dalam filem. Kalau ada filem yang sesuai dan masa yang tepat saya tidak akan menolak.

"Maklumlah, saya juga ada masanya terbabit dengan komitmen lain seperti mengarah filem dan sebagainya. Sementara itu, Lisa juga selalu sibuk dengan bidang lain seperti pengacaraan dan berlakon filem-filem yang lain," jelasnya.

Lisa yang turut berada di sisi Yusry semasa sesi temu bual itu diadakan tidak menafikan kenyataan suaminya itu yang juga merupakan salah seorang orang kuat dalam KRU Studio yang banyak menerbitkan filem akhir-akhir ini.

Katanya, kesibukannya dan Yusry itu adakalanya menyebabkan mereka berpisah agak lama. Dia misalnya berada di Ho Chi Minh City, Vietnam baru-baru selama lebih seminggu kerana terbabit dalam rakaman program televisyen tempatan.

"Saya pernah berjauhan dengan Yusry selama hampir sebulan pada April lepas kerana dia pergi ke Jerman kerana menyiapkan proses penerbitan filem Vikingdom. Mujurlah ada telefon dan Instagram yang menghubungkan kami.

"Ini kerana, sejak menjadi suami isteri kami jarang berenggang. Tetapi apa boleh buat kerana kami juga ada kerja masing-masing walaupun berada dalam bidang yang sama. Selepas ini kami merancang untuk berbulan madu lagi.

"Disember ini saya, Yusry dan keluarga kami akan bercuti ke London dan Florida selama 14 hari. Saya ada saudara-mara di London dan bercuti di sana dulu sebelum ke Florida. Rombongan itu dalam 12 orang semuanya," katanya.

Selain pasangan suami isteri itu, Ular juga dibintangi oleh ramai pelakon popular tanah air yang lain antaranya Harun Salim Bachik, Nam Ron, Zarina Zainuddin, Sharifah Sakinah dan Zarina Anjoli.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved