Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Dilema pengusaha ikan sangkar

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

MAT PATIN
Jerantut Feri

KALANGAN pengusaha ikan sangkar di Jerantut Feri sukar memasarkan ternakan mereka kerana tidak memiliki premis sendiri dan terpaksa menggunakan orang tengah untuk menjualnya kepada pelanggan. - Gambar hiasan

Saudara Pengarang,

Permintaan terhadap ikan air tawar Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di Jerantut semakin meningkat dalam kalangan pengunjung serta penggemar masakan tempatan.

Saya rasa terpanggil membicarakan nasib pengusaha ternakan ikan sangkar, khususnya kemudahan pasaran terbuka tanpa melalui 'orang tengah' dan agensi tertentu.

Nampaknya, pengusaha ikan sangkar dan kolam semakin giat melaksanakan ternakan di perairan kedua-dua sungai tersebut, selain di kolam kawasan kampung.

Apa yang lebih jelas, pengusaha ikan sangkar memfokuskan terhadap kegiatan ternakan di dua sungai berkenaan kerana arusnya deras dan selamat, di samping logistik lain.

Memandangkan semakin ramai pengusaha proaktif terhadap industri berkenaan, namun terdapat beberapa masalah yang wujud seperti kemudahan pemasaran terbuka untuk mereka berniaga di kawasan umum dan pekan sehari.

Hal ini dihadapi oleh pengusaha terbabit di Kampung Jerantut Feri kerana tiada kemudahan premis untuk memasarkan ikan berkenaan.

Ketiadaan kemudahan premis atau gerai jualan ikan menyebabkan pengusaha terpaksa menjual terus ke pasar, pasar tani dan selebihnya dimonopoli oleh peniaga lain yang bertindak sebagai 'orang tengah' atau peraih.

Saya beranggapan Kampung Jerantut Feri yang terletak di pesisiran Sungai Pahang berpotensi sebagai pengeluar ternakan itu kerana terdapat lebih daripada 12 pengusaha ternakan sangkar secara proaktif sejak 10 tahun lalu.

Malangnya, hasil pengeluaran ternakan tersebut dijual terus kepada peraih di pasar bandar Jerantut, pasar tani dan tempat lain kerana pengusaha berkenaan tidak ada tempat untuk mereka berniaga sendiri.

Lokasi perniagaan ikan air tawar seperti ikan patin, kelah, lawang, tenggalan dan kenerak wajar ditumpukan di Jerantut Feri yang merupakan prospek bagi tumpuan orang ramai berbelanja makanan berkenaan.

Pemimpin setempat dan pihak berwajib segera melaksanakan projek berkenaan, sekali gus memberi peluang pengusaha ternakan tempatan memasarkan produk masing-masing.

Jerantut Feri sebagai lokasi pesiaran untuk berbelanja ikan air tawar termasuk makanan tradisional berasaskan ternakan akuakultur sememangnya dialu-alukan sejajar dengan transformasi pembangunan kerajaan.

Agresif promosikan produk pelancongan Pahang sempena TMM 2014

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

ANAK BUNIAN
Pekan.

PRASARANA yang terdapat di Tasik Chini perlu dipertingkatkan supaya menjadi salah satu destinasi pelancongan menarik sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 tahun depan.

Saudara Pengarang,

PROMOSI Tahun Melawat Malaysia 2014 di Stadium Bukit Jalil awal tahun ini yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kesungguhan kerajaan mempromosi negara ini di seluruh dunia.

Setelah 10 bulan berlalu, saya dapati Pahang seolah-olah tidak serius mempersiapkan diri menyambut kehadiran sasaran lebih 26 juta pelancong masuk ke negara ini.

Kerajaan Pahang perlu bergerak segera mempromosi prasarana, keindahan alam semula jadi, eko-pelancongan, agropelancongan, seni tradisonal dan lain-lain untuk tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Langkah proaktif kerajaan negeri dituntut dengan mewujudkan pintu gerbang lebih menarik di sempadan negeri sambil mengalu-alu kedatangan pelancong ke Pahang.

Terdapat beberapa pintu masuk ke Pahang seperti di Genting Sempah, Kuala Lipis -Gua Musang, Kuantan-Kemaman, Endau Pahang-Johor, Pelangai Bentong-Negeri Sembilan dan Rompin-Segamat.

Pahang tidak harus berbangga dengan keistimewaan alam semula jadi yang ada tanpa memulihara dan memelihara keindahan dengan sebaik mungkin.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Tasik Bera, Tasik Chini dan Tasik Paya Bongor yang boleh dikatakan 'indah khabar dari rupa'.

Kini masa sudah semakin singkat menjelang 2014, tetapi saya sebagai rakyat negeri ini tidak nampak 'ada usaha' konkrit dalam memperbaiki prasarana kawasan tarikan pelancong.

Tahun Melawat Malaysia perlu direbut kerana produk istimewa banyak di negeri lain yang berhempas pulas mempromosi produk pelancongan masing-masing.

Selaku rakyat Pahang, saya tidak mahu hanya negeri lain seperti Terengganu dan Melaka merebut peluang ekonomi kerana kedua-duanya komited menonjolkan keistimewaan tempatan.

Penyokong Pahang diminta berdisiplin

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

PENYOKONG SETIA PAHANG
Jerantut.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang meraikan kejayaan bersama penyokong setelah Pahang berjaya mengalahkan Selangor PKNS FC dengan 3-2 pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, baru-baru ini. - BERNAMA

Saudara Pengarang,

IMPIAN untuk melihat skuad Tok Gajah melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2013 sudah menjadi kenyataan apabila anak buah Dollah Salleh berjaya menundukkan PKNS FC 5-3 secara agregat.

Pahang akan menerima kunjungan Sarawak di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam esok pada aksi pertama separuh akhir sebelum bertandang ke tempat lawan untuk perlawanan timbal balik.

Puluhan ribu penyokong setia Tok Gajah akan membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu, sekali gus membakar semangat pemain Pahang untuk mencari tiga mata berharga di laman sendiri.

Sebagai anak jati Pahang, saya ingin menasihatkan semua penyokong Tok Gajah agar menjadikan kejadian sebelum ini sebagai satu teladan apabila perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Johor (DT) Darul Takzim terpaksa ditunda gara-gara limpahan penyokong.

Saya yakin stadium akan penuh sesak dengan kehadiran penyokong Tok Gajah dan pihak keselamatan harus mengawal keselamatan dengan lebih baik supaya sejarah hitam lalu tidak berulang.

Penyokong perlu lebih berdisiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa supaya perlawanan yang akan dilangsungkan tidak terganggu angkara limpahan penyokong.

Saya juga berharap pihak pengurusan stadium menyediakan tiket berpatutan dengan kapasiti penyokong agar mereka tidak duduk di atas trek berhampiran padang.

Saya yakin Pahang mampu mengatasi Sarawak pada perlawanan itu nanti berdasarkan prestasi semasa pemain yang semakin meningkat dan bersemangat untuk ke pentas final.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved