Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Sasar 8/10 Melayu bersama UMNO

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

KETUA Menteri Melaka, DATUK SERI IDRIS HARON telah mencipta satu sejarah baru dalam pentadbiran seluruh kerajaan negeri apabila memulakan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dengan takbir, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan doa selamat sebagai melahirkan rasa kesyukuran.

Nilai-nilai Islam menjadi pegangan kukuhnya dan kesungguhan beliau dalam pentadbiran mendapat pujian daripada Ketua Pembangkang Melaka yang akhirnya terpaksa meletakkan jawatan kerana terlalu berterus-terang sehingga tidak disenangi oleh pimpinan DAP pusat.

Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO ini menjelaskan betapa pentingnya mendapat mandat yang mutlak daripada perwakilan serta usaha menjadikan lapan daripada 10 orang Melayu bersama UMNO kepada Wartawan Utusan Malaysia, AZMAN ANUAR dan KAMIL MASLIH serta jurugambar AZMAN ASMAYATIM di Kuala Lumpur, kelmarin.

UTUSAN: Kalau melihat perjalanan karier politik, memang boleh nampak Datuk Seri teruji dengan naik turunnya, daripada seorang Timbalan Menteri kemudian menjadi Ahli Parlimen biasa dan kini naik menjadi Ketua Menteri Melaka. Bagaimana Datuk menghadapi liku-liku politik ini?

IDRIS: Kalau kita lihat dalam sudut kecil, kita dapat mengkaji secara mikro perjalanan itu sama ada di atas atau di bawah atau sebagainya. Yang penting bagi saya bukan mengenai di mana kita pada ketika itu tetapi apa yang dilakukan dan diharapkan kepada kita. Ketika mula menjadi Ahli Parlimen, saya berperanan sebagai backbencher yang lantang dan bersedia mengkritik dasar kerajaan yang saya pandang perlu ditambah baik. Ketika saya menjadi Timbalan Menteri, saya berdiri tegak mempertahankan dasar kerajaan dan beritahu orang ramai mengenai niat baik kerajaan dan kalau ada ruang boleh diperbaiki, kita kongsi bersama.

Bila saya menjadi backbencher kembali, saya tetap dengan peranan saya sebagai backbencher yang lantang sehingga ada yang memanggil saya 'The True Blue Backbencher'. Kebanyakan yang digugurkan daripada jawatan biasanya tidak bangun bercakap dan berbahas bertubi-tubi tetapi saya tetap bangun pada ketika itu kerana peranan diharapkan kepada saya adalah sebagai backbencher yang boleh memberi cadangan yang membina.

Saya menjalankan tanggungjawab itu dan kemudiannya saya dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Apabila ada pemimpin negara memberitahu rumah mampu milik tidak boleh lagi dilihat hanya mampu milik, perlu dibina dalam keadaan membanggakan, saya sediakan 40 reka bentuk rumah yang menawan sehingga menjadi rebutan rakyat golongan sederhana.

Begitu juga bila saya kemudiannya diberi amanah untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya menjawat Ketua Menteri. Saya berpegang kepada prinsip menjalankan amanah sebagai Ketua Menteri dan lakukan yang terbaik sebagai Ketua Menteri. Yang penting, bukan di mana kita berada tetapi apa yang dilakukan ketika berada di tempat itu. Setiap yang saya lakukan mesti mencapai kepuasan iaitu sampai ke peringkat inilah yang boleh saya lakukan ketika saya berada dalam kedudukan ini. Saya melihat tanggungjawab sebagai amanah yang perlu dilakukan demi membela agama, bangsa dan negara.

Berkenaan dengan soal pemilihan UMNO Sabtu ini, kedudukan Datuk Seri sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri sudah menjamin pelantikan dalam Majlis Tertinggi tetapi mengapa masih mahu menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Majlis Tertinggi?

IDRIS: Sebagai ahli parti yang mengamalkan pemilihan secara demokrasi, sudah tentu kita hendak tahu sendiri kedudukan kita di mata perwakilan. Kalau perwakilan berasa kita diperlukan untuk menyumbang kepada kemajuan parti, saya menyerahkan diri kepada kebijaksanaan mereka. Ini adalah cabaran yang paling besar dan peluang terbaik untuk kita memposisikan diri dalam sebuah parti yang mengamalkan proses pemilihan demokratik. Kepada Presiden, kita beri ruang seluas-luasnya untuk melantik mana-mana mereka daripada golongan profesional, pakar akademik, pakar ekonomi dan sosial untuk memperkukuhkan parti.

Seperkara lagi, kalau tidak bertanding, saya berasa seolah-olah memberitahu Presiden atau memberi isyarat kepada Presiden untuk melantik saya. Itu kurang manis pada pendapat saya. Saya tidak tahu mengenai rakan-rakan lain tetapi bagi saya, ini kurang berhemah untuk saya yang masih banyak perlu belajar.

Begitupun, berbanding calon-calon Majlis Tertinggi yang lain, kedudukan Datuk Seri dalam MT lebih terjamin walaupun kalah?

IDRIS: Saya tidak nampak kalau saya kalah, pelantikan dalam Majlis Tertinggi itu akan menggembirakan saya. Sebaliknya, ia menunjukkan saya bahawa sesuatu perlu dilakukan. Seboleh-bolehnya saya ingin meletakkan diri saya diterima perwakilan. Dalam keadaan parti yang memerlukan kepimpinan yang lebih muda, jadi kita perlu buktikan ada keseriusan dalam diri kita. Pertamanya, untuk lebih mengakrabkan diri kita dengan para perwakilan dan kita mahu hubungan dengan perwakilan itu yang menyebabkan kita berada dalam parti di samping kita mendapat perhatian daripada kepimpinan parti.

Pengalaman menunjukkan sesetengah daripada Pengerusi Perhubungan yang dilantik bukannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi tetapi hanya dilantik sebagai ahli yang turut hadir. Walaupun keterbukaan untuk menyuarakan pendapat itu diberikan dalam Majlis Tertinggi tetapi jika kita dipilih oleh perwakilan, mandat itu lebih mutlak kerana dipilih daripada 146,000 perwakilan. Kita yakin suara yang kita panjangkan dalam Majlis Tertinggi itu lebih mewakili pihak yang memilih kita. Kepada mereka yang dilantik, itu adalah lebih mewakili kepada suara Presiden parti. Kalau hendak bercakap pun, mungkin terpaksa memikirkan yang saya ini bukan dipilih tetapi dilantik oleh Presiden.

Bolehkah Datuk Seri memberitahu serba sedikit betapa pentingnya institusi Majlis Tertinggi dalam UMNO?

IDRIS: UMNO ditubuhkan berdasarkan niat untuk membebaskan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah Melayu daripada belenggu penjajahan. Saya letak ini sebagai satu manhaj atau fundamental yang cukup unggul iaitu parti UMNO ditubuhkan kerana Allah SWT. Setiap perbuatan itu bermula dengan niat, dan niat kita kerana Allah SWT.

Saya percaya setiap pemikiran dan setiap yang diletakkan di dalam hati kita itu adalah ke arah untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan tanah air kita supaya sentiasa dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan. Paling mudah, apabila menubuhkan parti UMNO ini, kita letak Islam sebagai rujukan dan panduan. Kedudukan Islam paling tinggi dan tiada yang lagi tinggi daripadanya.

Ini terbukti berdasarkan rekod pencapaian UMNO, kita telah berada dalam kedudukan yang cukup dihormati apabila satu-satunya parti yang berasas kaum, yang bukan perkauman, yang boleh mentadbir dengan mengambil kira sensiviti kaum-kaum yang berbeza dengan kita. Bukan sahaja kita sensitif antara satu sama lain tetapi kita cemerlang sehingga selepas 56 tahun negara merdeka. Dan semua parti politik lain di dunia yang melihat UMNO sentiasa tertanya-tanya bagaimana UMNO mentadbir dalam kemajmukan masyarakat tetapi boleh menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat, aman, sejahtera, maju dan harmoni.

Jadi bila soalan itu diajukan, saya sentiasa kata kedudukan dalam Majlis Tertinggi ini adalah kita sebagai salah seorang daripada kumpulan yang mengekalkan UMNO ini supaya dilihat parti yang dominan, parti yang mempunyai pengaruh yang besar, parti yang tidak mudah melatah dan parti yang sentiasa peka tentang hasrat penubuhannya serta menjanjikan masa depan yang lebih baik daripada masa lalu.

Perkembangan itu berlaku secara jelas dan nyata. Lebih-lebih lagi, pada peringkat ini, apabila banyak pihak kata kita berada di persimpangan, apabila kita tidak dapat sokongan orang Cina.

Semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), kita hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan kita kalah enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kemudian, bila kita dapat balik negeri Perak misalannya, kita jaga macam menatang minyak yang penuh.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), seolah-olah dengan kawalan dan jagaan dan kelembutan kita ketika itu, kita akan dapat meraih sokongan komponen-komponen kita, tetapi malangnya ia tidak berlaku dalam PRU-13, bahkan lebih buruk daripada itu.

Jadi tiada apa yang boleh menjamin kita akan mendapat sokongan mereka pada masa depan melainkan kita boleh mencari persamaan dalam kalangan orang Melayu beragama Islam untuk menyokong parti UMNO ini.

Dengan sokongan parti-parti bumiputera di Sabah dan Sarawak, kita boleh meraih kembali dua pertiga majoriti di Parlimen dan merampas negeri-negeri yang tewas untuk Pilihan Raya Umum Ke-14.

Jika apa yang dihajati itu berlaku, saya yakin pada Pilihan Raya Umum Ke-15, masyarakat parti komponen akan kembali menaruh sokongan mereka kepada kita. Jadi peranan kita pada ketika ini amat besar. Kalau sekarang ini 4.6 daripada 10 Melayu adalah bersama UMNO, kita mesti bergerak ke arah lapan daripada 10 orang Melayu mesti bersama UMNO.

Berbalik kepada soal pemilihan Sabtu ini, wakil yang mempunyai status 'Ketua Menteri Melaka' bukan Datuk Seri seorang sahaja tetapi juga bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang bertanding untuk Majlis Tertinggi dan juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang bertanding Naib Presiden UMNO?

IDRIS: Ini sebenarnya saya kena angkat topi, sesuatu yang baik apabila tiga generasi Ketua Menteri iaitu Ketua Menteri yang ke-6, Ketua Menteri yang ke-9, Ketua Menteri ke-10 iaitu saya sendiri berada dalam pelantar yang sama. Keadaan ini seperti anak-beranak. Saya gelarkan Tan Sri Abdul Rahim sebagai datuk, Datuk Seri Ali seperti bapa dan saya sebagai anak. Di peringkat Puteri, ada dua kemenangan bergaya iaitu Azlieza Azizan sebagai Pengerusi Tetap Pergerakan Puteri dan Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri UMNO. Melaka tidak pernah sunyi daripada menyumbang tenaga baharu dalam politik. Bila saya dalam pelantar yang sama dengan ex-boss saya, ini saya anggap sebagai satu persaingan sesama keluarga, yang masing-masing mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menyumbang kepada kesinambungan parti.

Apabila ditanya secara langsung tentang apa kekuatan saya, saya kata itu satu soalan yang luar biasa dan susah hendak jawab. Masakan saya dapat jawab. Lebih baik jika perwakilan yang menceritakan kebaikan atau keburukan saya. Sukar saya hendak masuk dalam bakul dan angkat bakul itu. Biar perwakilan yang tentukan. Bagi saya, antara saya antara dengan Tan Sri Abdul Rahim dan Datuk Seri Ali, antara semua itu sebenarnya bukan saingan dalam kapal yang sama. Saya lebih meletakkan diri dalam proses transisi antara dewasa dan orang muda.

Saya hendak menjadi penyambung daripada kumpulan yang di hadapan saya yang dewasa dan kumpulan yang muda. Harapannya, saya diterima oleh peringkat abang-abang saya dan peringkat muda juga terima saya sebagai abang mereka. Sekali gus, saya tawarkan diri untuk jadi jurubicara UMNO kepada kedua-dua kumpulan ini. Kalau di peringkat lebih dewasa, kalau hendak cakap kepada orang muda dengan gaya muda mungkin jadi satu kejanggalan tetapi saya rasa masih mampu jumpa orang muda dan cakap dengan nada mereka.

Dalam pemilihan parti ini, Datuk Seri memilih slogan 'Membina Sebuah Bangsa', boleh jelaskan maksud di sebalik slogan ini?

IDRIS: Apa yang saya sebutkan sesuatu yang membina adalah sesuatu yang konstruktif, bermakna setiap kita mesti mempunyai sikap membina dan bukannya membinasa. Saya hendak beri maksud pembinaan bangsa mesti berada dalam kaedah penambahbaikan berterusan. Seperti bila kita merdeka pada tahun 1957, kita dibebaskan daripada belenggu penjajahan, kita kemudiannya mengangkat martabat agama, bangsa dan tanah air . Selepas mengangkat, kita membela dan pembinaan bangsa itu harus dilakukan secara berterusan, konsisten dan istiqamah.

Kita hendak teruskan pembinaan sebuah bangsa berakar umbi nilai-nilai murni dengan Islam sebagai pedoman dan bergerak ke arah global tanpa melupakan semangat lokal. Saya membuat perbandingan, mengapa anak Cina yang berpengajian tinggi masih kekal dengan akar umbi Cina mereka, tetapi mengapa anak Melayu berpengajian tinggi mula lupa kepada binaan bangsa. Sebab itu, saya letakkan kepentingan 'Membina Sebuah Bangsa' kerana saya ingin tawar diri menjadi kunci pada persimpangan.

Saya nampak kuncinya pada orang muda dan orang muda ini mesti dibawa bersama ke arus perdana. Mata mereka mesti dibuka seluas-luasnya melihat pencapaian parti UMNO selama ini.

UMNO perlu 'penjelmaan' baharu

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

APABILA menyebut nama DATUK SERI DR. JAMALUDIN JARJIS sudah pasti kita tidak akan lupa bagaimana beliau merupakan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang pertama memakai baju Melayu dan tengkolok menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Tindakan Jamaludin itu mengejutkan banyak pihak dan menarik perhatian dunia kerana sebelum ini tidak pernah ada duta Malaysia berpakaian seumpama itu.

Kini semangat Melayu beliau terus mahu disemarakkan lagi dalam UMNO, apabila dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan SYUKRI SHAARI, Ahli Parlimen Rompin yang akan bertanding kerusi Majlis Tertinggi esok memberi pandangannya berhubung parti keramat orang Melayu tersebut.

UTUSAN: Dalam usaha untuk mengekalkan UMNO terus relevan, apa yang sepatutnya parti ini lakukan?

JAMALUDIN: Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau merupakan pemimpin yang pertama mengemudi dari generasi baru. Beliau semestinya lihat bahawa UMNO dan orang Melayu telah melalui perubahan zaman. Kerana bapanya, Tun Abdul Razak memimpin negara pada zaman semasa dan selepas merdeka manakala beliau mengambil alih negara dalam keadaan UMNO serta orang Melayu selepas 50 tahun.

UMNO 50 tahun lalu berjaya mengumpulkan kelompok-kelompok Melayu dan persatuan Melayu Johor, Kelantan , Kedah, Selangor. Pemimpin kita ketika itu antaranya patuh dan mampu untuk menyatukan suara-suara hati dan jiwa Melayu yang ketika itu dapat dipandu untuk menyatukan intisari hati, menyedarkan mereka tentang kepentingan untuk merdeka dan melakukan usaha di bawah satu payung iaitu UMNO, itu landskap ketika itu.

Dari segi ekonomi pula ketika itu, orang Melayu tinggal di kawasan luar, hendak pergi mesyuarat bahagian terpaksa ada antaranya kena naik bot atau jalan kaki.

Biar pun penjajah mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ekonomi tetapi oleh kerana kita berjaya menyatukan hasrat hati dan jiwa perjuangan Melayu, kita berjaya mencapai kemerdekaan.

Itu keadaan dulu, tetapi bagaimana senario sekarang selepas kita mendapat kemerdekaan untuk menyatukan semula orang Melayu bagi membolehkan kita mengekalkan kuasa pemerintahan?

Langkah Najib melakukan anjakan dan perubahan dasar melalui transformasi adalah bertujuan untuk memastikan UMNO menjelma dalam bentuk baharu atau lebih tepat penjelmaan semula UMNO.

Kalau dulu bentuk lain, sekarang bentuk baharu melalui penjelmaan. UMNO perlu melalui penjelmaan baharu. Pertamanya, melalui program transformasi bagaimana kita hendak memastikan ia tertumpu bagi menjelmakan usaha-usaha bagi membantu orang Melayu, ini melibatkan soal minda dan perjuangan.

Keduanya, kita lihat selera sudah berubah, kalau dulu, prasarana ketika itu berbeza, jalan tiada. Masa saya kecil dulu, nak pergi sekolah naik perahu, naik bot dan dalam bidang ekonomi tidak ramai yang mampu menceburinya.

Sekarang sudah ramai yang berjaya. Daripada aspek pendidikan hari ini, ramai profesor Melayu telah dilahirkan, masa saya dulu nak masuk institusi pengajian tinggi, semua profesor Cina.

Untuk itu anjakan yang mahu dilaksanakan oleh Perdana Menteri harus disokong dan paling penting dalam kalangan orang Melayu dan UMNO sendiri.

Kalau tidak tengok kembali, cara-cara kita hari ini mungkin tidak dapat kekalkan tampuk kuasa dalam tempoh 50 tahun akan datang. Senario berbeza, landskap berbeza, dahulu majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar, sekarang orang Melayu tinggal di bandar. Kalau dulu majoriti orang Melayu ekonominya luar bandar, sekarang ekonomi mereka sudah di dalam bandar.

Dulu majoriti orang Melayu pendidikan tak tinggi, sekarang semua ada minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala satu pertiga orang Melayu mempunyai diploma. Keadaan membuktikan landskap, demografik, sumber pendapatan dan dunia sudah berbeza.

Ia bermakna, walaupun selepas 50 tahun orang Melayu masih berkuasa melalui UMNO tetapi kini kita harus menandatangani perubahan-perubahan yang berlaku untuk menghadapi cabaran bagi 50 tahun akan datang.

Sebab itulah saya nampak UMNO kena kemudi perubahan ini yang saya kata penjelmaan supaya dapat tangani dan kukuhkan pembaharuan UMNO supaya segar balik, bertenaga balik macam sekarang ini kita lihat dalam Pergerakan Pemuda dan Puteri, kita bangga dengan ada pemimpin-pemimpin baharu.

Dunia sekarang berbeza, macam saya, saya berumur 62 tahun. Pengundi Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas saya rasa 15 peratus sahaja, majoriti pengundi kita berumur 35 tahun ke bawah. Bermakna kita perlu jadikan Malaysia dunia untuk mereka yang berumur 35 ke bawah.

Sebab itu kita kena buka satu peluang atau jalan supaya banyak anak muda sertai UMNO. Oleh itu Pergerakan Pemuda perlu guna platform dan pendekatan bagi menawan hati dan jiwa mereka.

Apa strategi yang sepatutnya UMNO gunakan?

JAMALUDIN: Kita tidak boleh lagi menggunakan strategi dengan mengatakan kepada rakyat, kena sokong kerajaan sebab kerajaan yang bina jalan, sekolah dan sebagainya.

Sebaliknya kita perlu membina satu kaedah dan strategi pemikiran baharu atau pun satu komunikasi yang baharu untuk pikat hati dan jiwa mereka supaya orang Melayu dapat rasa tiada organisasi lain yang boleh jamin masa depan mereka kalau bukan UMNO.

Kalau UMNO masih lagi membawa brand yang dulu, kaedah cara dulu, rupa dulu, orang muda akan rasa generasi ini bukan generasi mereka, generasi ayah mereka, mungkin generasi datuk mereka. Itu perlu berubah pasal anjakan baharu. Sebab itu saya kata penjelmaan baharu untuk tarik anak muda.

Perdana Menteri sendiri tekan perkara ini dengan berhubung melalui Twitter dan tubuh iM4U yang bertujuan mendekati anak muda. Saya rasa pemimpin lain perlu ikut corak Perdana Menteri dekati orang muda, kena lebih ramai. Jadi harapan saya, Exco-exco Pemuda yang baharu dapat bantu terjemah apa hasrat Perdana Menteri bahawa UMNO perlu dekati orang muda.

Kesungguhan Perdana Menteri dalam soal ini jelas apabila contohnya baru-baru ini dalam agenda memperkasa ekonomi bumiputera, Perdana Menteri tubuhkan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).

Maknanya, dulu anak-anak muda kalau nak berniaga mana ada modal, tiada idea-idea boleh diketengahkan yang boleh dijual di pasaran. Sekarang anak muda kita oleh kerana mereka jadi terpelajar dari institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara, mereka mampu melahirkan idea yang boleh bina produk untuk pasaran tetapi mana ada modal, sebab itu kerajaan wujudkan dana yang boleh dipohon.

Idea-idea yang bagus di bawah program inovasi boleh menambahkan idea supaya boleh diketengahkan. Ini antara kaedah-kaedah baharu yang perlu kita fikir. Banyak anak muda baru minat berniaga dan bidang keusahawanan. Bagaimana bantu yang di luar bandar sebagai usahawan kecil, bagaimana bantu mereka?

Kita tidak boleh tinggal dalam kepompong yang lalu, sudah tidak relevan kepada mereka. Harapan kita supaya Exco Pemuda yang baharu akan mendekati anak muda di bandar dan luar bandar bagi mengetahui apa idea dan minat mereka.

Ini sangat penting dilakukan supaya mereka melihat UMNO dan kerajaan relevan kepada mereka. Semua ini berkaitan dengan penjelmaan, yang lama dibuat oleh Tun Razak dan dibaharui oleh Najib.

Kita perlu bina satu suara baru, tambat minat anak muda baru yang kita tidak terfikir, kalau tidak kita tidak relevan. Apatah lagi kalau dulu UMNO hanya bersaing dengan Pas, sekarang ada Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP pun cuba tambat hati Melayu, maknanya sudah wujud persaingan baru.

Golongan muda universiti paling banyak terpengaruh dengan pembangkang. Bagaimana UMNO nak memperbetulkan perkara ini?

JAMALUDIN: Perkara ini bagi saya berlaku kerana struktur UMNO kadang-kadang masih tradisional. UMNO Rompin bagi daerah Rompin. Kuala Terengganu bagi Kuala Terengganu.

Kita tiada UMNO di kawasan kampus. Sebab itu peringkat awal di luar negara ditubuhkan kelab UMNO luar negara. Mungkin Pemuda UMNO boleh timbangkan. Kalau boleh wujudkan kampus UMNO di luar negara, kenapa tidak dalam negara. Nanti tiada langsung usaha-usaha untuk terangkan strategi UMNO.

Pihak sebelah sana walaupun tidak formal tapi ada, Pas ada organisasi sendiri tetapi tidak sebut Pas. Kalau kita tak masuk ruang ini, kita macam putus asa. Tiada usaha langsung, tiada usaha nak engage dengan anak muda.

Saya tengok Exco Puteri baru ni, yang ada graduan-graduan ternama, mungkin mereka ini boleh bawa pembaharuan kepada parti.

Kalau dulu perjuangan tradisi mereka menerusi kelab belia di kampung, kemudian daerah, selepas itu negeri. Belia sekarang bukan begitu, belia hari ini di pusat latihan, kolej dan, institusi pengajian tinggi. Anak muda banyak di tempat seperti itu pada hari ini.

Ini merupakan institusi baharu negara. Institusi negara dulu kampung, daerah dan negeri, sekarang tidak lagi. Selain itu, ada institusi baharu, ada Universiti Teknologi Mara (UiTM), pusat latihan, pusat perguruan. Anak-anak muda apabila habis belajar, dia masuk kerajaan. Kalau tidak dekati dari awal, seperti dulu, susah.

Apatah lagi mereka ini lebih banyak mendapat maklumat daripada internet, jadi kita tidak terkejut apabila tamat pengajian, mereka mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang.

Kita perlu mewujudkan prasarana sosial dan politik untuk mendekati mereka. Ia memandangkan jika ini tidak dilakukan, mereka akan menjadi kumpulan yang anti kerajaan.

Sebab itulah Perdana Menteri tubuh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kementerian itu salah satu fungsi ialah membina prasarana di dalam bandar.

Prasarana baharu institusi sosial perlu diwujudkan memandangkan orang Melayu sudah mula hidup di bandar. Ini janji Perdana Menteri dalam manifesto pada pilihan raya lalu, saya terlibat untuk membantu dalam modul dan hasrat itu diterjemah secara realiti menerusi penubuhan kementerian.

UMNO dalam masa sama hadapi cabaran Pas dan PKR untuk merebut undi orang Melayu. Bagaimana UMNO hadapi situasi ini?

JAMALUDIN: Kekuatan UMNO di luar bandar sudah cukup kuat, tetapi sekarang majoriti orang Melayu duduk di bandar, UMNO sendiri tidak boleh bergerak sebagai parti luar bandar, sebab itu saya kata UMNO kena melakukan penjelmaan menjadi parti bandar. Kena terjemah dan andaian saya transformasi Perdana Menteri itu maksudnya jelmaan.

Kena bina UMNO sebagai parti bandar, dulu luar bandar, sekarang teruskan, jadi parti bandar, kena ada prasarana sosial. Di luar bandar ada ketua cawangan, ketua kampung tetapi bagaimana di bandar? Tiada apa-apa...tiada kuasa. Sebab itulah institusi kerajaan di bandar diwujudkan supaya UMNO ada akar umbi di bandar.

Selain itu, kita perlu melihat apakah faktor yang menjayakan diri kita di luar bandar dan ia kemudiannya dilaksanakan di bandar.

Sebagai contoh, apabila anak muda pulang kampung mereka main bola sepak di padang percuma tetapi bila kembali ke bandar, main futsal kena bayar sepatutnya kita binalah kemudahan itu supaya mereka dapat bermain dengan kos yang rendah.

Maknanya kita harus sediakan prasarana sosial untuk mereka. Contohnya, saya sebagai Ahli Parlimen Rompin sudah merancang untuk mewujudkan pusat khidmat di Lembah Klang.

Ini memandangkan, pengundi saya di kawasan tersebut ialah 25 peratus daripada keseluruhan 30 peratus pengundi luar Rompin. Saya hendak pastikan peruntukan untuk Parlimen Rompin turut dirasaikan oleh kelompok 25 peratus itu.

Saya rancang menyewa rumah kedai, buat pejabat dan asrama. Tujuannya ialah untuk memberi perkhidmatan kepada mereka. Ini sebagai contoh bagaimana wakil rakyat kita harus mengubah cara service kepada rakyat, tidak boleh lagi bergantung pendekatan 20 tahun, 30 tahun lalu.

Kita kena lakukan pendekatan melalui pemikiran di luar kotak. Kalau dulu kita berjaya dekati anak muda di luar bandar, jadi kena fikir bagaimana kita nak dekati anak muda di bandar untuk menang kembali kerusi-kerusi yang kita kalah pada pilihan raya lalu.

Bagaimanapun Alhamdulillah, setakat ini anak-anak Melayu bandar telah kembali kepada kita, tetapi sokongan itu perlu ditingkatkan. Bagaimana nak naikkan? Sejak adanya produk seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia, orang Melayu bandar sudah kembali kepada UMNO tetapi mesti terus usahakan ini.

Kalau orang Melayu bandar tidak kembali kepada UMNO menerusi program 1Malaysia, kita tidak akan tambah kerusi lagi pilihan raya umum. Jadi, usaha ini perlu diteruskan. Supaya sokongan Melayu di bandar dapat ditingkatkan sebagaimana di luar bandar.

Masalahnya ada sebahagian orang Melayu melihat Pas lebih Islamik?

JAMALUDIN: Saya katakan seperti pilihan raya umum lalu, dari segi sentuhan agama, kita tidak banyak gunakannya, kita banyak laksana tetapi komunikasi kurang. Mereka (Pas) tidak buat tetapi gendang mereka lebih. Kalau bercakap tutur perkataan Arab semua keluar. Kita kena ada juga pemimpin yang arif dan fasih mengenai Islam. Intisari kita buat lebih daripada mereka.

Seperti di Kelantan, apa mereka buat? Komunikasi kita kena tingkatkan. Pas pun cuba untuk pergi dekati kaum Tiong Hua, cuba liberal. Isu lebih kepada komunikasi, ceramah, bukan dari segi intisari.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved