Khamis, 17 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Bajet kawin mahal

Posted: 16 Oct 2013 11:07 PM PDT

Peraduan Gerbang Cinta anjuran Mega, Utusan Malaysia menyaksikan pasangan yang memenangi peraduan ini mendapat tajaan sepenuhnya bagi pakej perkahwinan yang dirancang.

MAKA tidak hairanlah ada yang membelanjakan ratusan ribu ringgit dan sanggup berhutang semata-mata mahu tetamu yang hadir kagum dengan majlis perkahwinan mereka.

Ini kerana, kata orang setiap 'keindahan' ada nilainya dan begitu juga dengan keinginan pasangan pengantin untuk memiliki sebuah majlis perkahwinan yang indah, sempurna dan gilang-gemilang. Justeru, pilihan di tangan bakal pengantin, kerana zaman sekarang semuanya memerlukan duit.

Peningkatan kos yang tinggi menyebabkan ada yang berpendapat belanja perkahwinan hari ini semakin lama semakin mahal.

Sebenarnya isu kos kahwin mahal tidak akan wujud jika pasangan bakal pengantin mahupun ibu bapa pengantin bersikap realistik dalam soal penetapan bajet untuk sesuatu majlis perkahwinan.

Bak kata pepatah, 'ukur baju di badan sendiri'. Jika pasangan bakal pengantin dan ibu bapa mereka mampu dari segi kewangan maka tidak menjadi kekangan kepada mereka untuk menyediakan sebuah majlis perkahwinan yang mewah dan besar-besaran.

Tetapi, bagi mereka yang tidak mempunyai bajet yang begitu besar, eloklah bersederhana kerana dalam kesederhanaan juga anda boleh memiliki sebuah majlis perkahwinan yang meriah.

Perunding perkahwinan Precious Moment Collection, Izzuddin Karso berkata, bakal pengantin yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan perlulah berunding terlebih dahulu dengan pihak perunding majlis bagi memastikan keinginan mereka sepadan dengan bajet yang ada.

"Perkara pertama yang saya tekankan kepada setiap bakal pengantin yang ingin mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan adalah bajet mereka.

"Sebab itu, pada peringkat awal kita akan adakan rundingan bagi mengetahui kehendak mereka dan bajet yang mereka ada supaya mereka faham apa yang akan mereka dapat dengan bajet yang sebegitu," katanya.

Izzuddin yang telah 13 tahun menjadi perunding perkahwinan memberitahu, kos perkahwinan menjadi mahal disebabkan atas beberapa faktor.

Katanya, kos sesuatu perkhidmatan itu menjadi tinggi kerana pihak perunding perkahwinan sendiri terpaksa mengeluarkan kos mereka bagi menampung perbelanjaan pengangkutan dan upah pekerja.

"Sebagai perunding perkahwinan kami hanya mengikut kehendak pelanggan dan saya sendiri tidak akan mengeluarkan sebut harga jika tidak berbincang terlebih dahulu dengan mereka.

"Orang sekarang nak macam-macam, jadi bila mereka mahu kesemua kehendak itu dipenuhi kita akan ikut dan sebab itu kos menjadi tinggi kerana banyak bahan seperti bunga dan aksesori hiasan lain perlu digunakan.

"Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai bajet perkahwinan yang sederhana pula tidak perlu bimbang kerana mereka juga boleh mendapatkan majlis perkahwinan yang indah dengan cara meminimakan penggunaan perhiasan tertentu supaya majlis tampak ringkas tapi tetap cantik," ujarnya.

Berkongsi pandangan sama, pemilik butik pengantik De Sri Klasik, Mokhida Moktar, 40, pula berkata, pelanggan tidak perlu bimbang soal harga kerana banyak pilihan yang disediakan bergantung kepada bajet mereka.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Long memberitahu, stigma negatif sesetengah bakal pengantin yang tidak yakin dengan pakej perkahwinan yang murah perlu dielakkan.

"Berdasarkan pengalaman saya, kadang-kadang pelanggan sendiri tidak yakin untuk ambil pakej yang murah dengan alasan mereka takut pihak butik tidak mampu hasilkan pelamin, hiasan dan majlis yang menarik.

"Sebenarnya, dalam seni menghias dan mendandan biasanya melibatkan kreativiti dan jika seseorang perunding perkahwinan atau mak andam itu kreatif maka dia juga boleh hasilkan yang terbaik tanpa memerlukan kos yang banyak," katanya.

Tambahnya lagi, pasangan pengantin perlu merancang dengan bijak dan tidak mengikut nafsu semata-mata kerana pada hakikatnya mereka memerlukan peruntukan kewangan yang lebih besar selepas berumah tangga nanti.

"Walaupun saya perunding perkahwinan, tetapi saya juga tidak lokek menasihati pasangan pengantin muda supaya bersikap rasional dan berjimat cermat dalam memilih pakej perkahwinan.

"Ini kerana kebanyakannya bukanlah datang daripada keluarga berada dan sebab itu saya katakan pilih pakej yang mereka mampu, jangan berlebihan kerana walaupun murah, kami sebagai perunding pastinya tetap akan berikan sentuhan terbaik kepada pelanggan," ujarnya.

Mokhida berkata, pakej biasa yang ditawarkan kebanyakan butik pengantin adalah sebanyak RM3,500 untuk set pelamin biasa, sepasang baju dan solekan.

Selain itu, faktor tempat berlangsungnya majlis juga boleh menyebabkan kos perkhidmatan meningkat. Jelasnya, kos pemasangan pelamin dan hiasan lain akan menjadi lebih tinggi jika sesebuah majlis itu diadakan di dewan berbanding di rumah.

"Contohnya jika majlis di dewan, pelamin sudah tentulah lebih besar, bahan hiasan lebih banyak diperlukan dan kos pengangkutan dan pekerja perlu lebih ramai.

"Perkara ini yang menyebabkan kos sesebuah majlis perkahwinan menjadi mahal," ujarnya.

Sementara itu, pasangan pengantin, Norlaili Zakaria, 26, dan Muhamad Arif Sulaiman, 28, berkata, setiap bakal pengantin harus menyediakan bajet secara bertulis.

Menurut Norlaili, dia dan suami menyediakan bajet tiga bulan lebih awal bagi memastikan mereka tidak bercelaru untuk membuat pilihan pakej perkahwinan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

"Bajet ini penting untuk membuat perancangan kewangan seperti sewa tempat perkahwinan, katering, pelamin dan pakaian yang akan dipakai pada majlis itu nanti.

"Kami juga akan mendahulukan perkara yang penting dan tidak berlebihan dalam semua perkara kerana apa yang penting kepuasan tetamu yang hadir," katanya. - NORAZLINA ISMAIL

Snek ringkas untuk kanak-kanak

Posted: 16 Oct 2013 11:07 PM PDT

Oleh NORAZLINA ISMAIL
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

Ettakunisa Rohani (kiri) dan Mansor Mohd. Amin (kanan) serta anak-anak menyediakan biskut yang sesuai dengan cita rasa kanak-kanak.

KREATIF dalam menghasilkan biskut dan snek yang ringkas dan menarik untuk kanak-kanak telah menjadikan produk keluaran Enyneesa Bakery & Catering begitu mendapat sambutan.

Pengusahanya, Ettakunisa Rohani, 41, berkata, kebanyakan biskut keluarannya berasaskan coklat dan diolah supaya sesuai dengan cita rasa kanak-kanak.

"Snek coklat cornflakes antara yang paling mendapat sambutan kerana saya memang mensasarkan snek tersebut kepada pelanggan kanak-kanak.

"Saya suka buat biskut atau snek yang ringkas supaya biskut ini tidak hanya sesuai dimakan pada hari raya sahaja sebaliknya boleh dimakan ketika menonton televisyen atau aktiviti riadah lain," katanya ketika di temui pada Karnival Usahawan Desa 2013 di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Ettakunisa, sebanyak 500 balang snek coklat cornflakes berjaya dijual setiap bulan.

Katanya lagi, selain biskut dan snek dia juga turut menjual cream puff, cheese tart, fruit tart, cup cake, kek ising dan kek moden.

Tambahnya, dia bertuah kerana turut berkongsi minat yang sama dengan suami, Mansor Mohd. Amin, 45, dan empat lagi anaknya yang sentiasa membantu menyiapkan setiap tempahan pelanggan.

"Keempat-empat anak saya memang ringan tulang membantu kerana kalau saya seorang pasti tidak menang tangan.

"Mereka akan bantu saya menyediakan 1,500 cream puff setiap hari untuk dipasarkan," katanya.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi Ettakunisa di talian 014-7759323 atau berkunjung ke No. 3, Kompleks IKS Jalan Lingkaran Taman Sri Lambak 86000, Kluang Johor.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved