Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


RM60 juta naik taraf masjid

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN
utusanpenang@utusan.com.my

Syed Shaari Syed Abdullah (kanan) menyerahkan kunci masjid kepada Fadhlullah Jamil majlis penyerahan Masjid Jamek Sungai Gelugor, Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 23 Sept. - Kerajaan membelanjakan hampir RM60 juta bagi menaik taraf dan membina semula sembilan masjid di negeri ini demi kemudahan rakyat beragama Islam.

Pegawai Kemajuan Negeri, Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Syed Shaari Syed Abdullah berkata, jumlah berkenaan disalurkan melalui peruntukan khas Perdana Menteri dari 2009 hingga tahun ini.

Beliau berkata, antara sembilan masjid tersebut adalah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Masjid Telaga Air, Masjid Kota Aur, Masjid Kelawai, Masjid Tasek Junjung, Masjid Tasek Gelugor, Masjid Lahar Kepar dan Masjid Abdullah Fahim.

"Projek naik taraf masjid tersebut adalah untuk kemudahan dan keselesaan jemaah yang semakin bertambah dalam kariah-kariah terlibat.

"Selain itu, terdapat lima buah masjid lagi yang sedang dalam proses naik taraf yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Masjid Jamek Kampung Sungai Gelugor kepada jawatan kuasa kariah masjid berkenaan, di sini hari ini.

Masjid yang mampu menampung sehingga 1,800 jemaah dalam satu-satu masa itu dibangunkan semula di atas tapak masjid lama yang telah berusia 102 tahun demi menampung pertambahan jemaah dalam kariah terbabit.

Syed Shaari dalam pada itu menambah, lima masjid yang masih dalam pembinaan adalah Masjid Timah, Masjid Teluk Kumbar, Masjid Sungai Acheh, Masjid Lahar Tabut dan Masjid Simpang Tiga.

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Sungai Gelugor, Prof. Madya Dr. Fadhlullah Jamil berkata, pihaknya gembira kerana masjid berkenaan boleh digunakan untuk aktiviti keagamaan.

"Kita akan memperbanyak aktiviti dan tidak hanya menumpukan pada soal ibadah semata-mata agar masjid baharu ini dapat dimakmur serta diimarahkan dengan kehadiran jemaah.

"Aktiviti juga akan dirangka untuk menarik minat golongan muda mendekati masjid," katanya.

Raja Di Hilir Perak lancar Persatuan Keluarga Warisan Bandor

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

BERUAS 23 Sept. - Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa semalam melancarkan Persatuan Keluarga Warisan Bandor yang kini melewati lapan generasi dan terdiri daripada salasilah keluarga pelbagai etnik termasuk Arab, Jawa, Cina, Bugis, Mandailing, Rawa, Minangkabau dan India.

Bandar atau 'Bandor' mengikut loghat Perak, adalah sebuah daerah yang terletak di tebing kiri Sungai Perak dan terletak kira-kira 16 kilometer dari Teluk Intan dan tujuh kilometer dari Kampung Gajah.

Che Alang Mas Tok Siak Lindam yang berasal dari Kuala Dipang, Jeram merupakan moyang kepada keluarga Bandor dan menjadi rujukan asal keturunan yang membawa kepada penyatuan keluarga tersebut.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid merangkap Penasihat Persatuan Keluarga Warisan Bandor serta bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang turut mempunyai kaitan susur-galur dalam keluarga berkenaan.

Pada majlis tersebut, Raja Jaafar turut berkenan merasmikan pembukaan Yeob Bay Hotel & Resort yang menjadi lokasi berlangsungnya majlis pelancaran persatuan tersebut.

Ahmad Sarji ketika berucap dalam majlis itu berkata, Bandor pernah memainkan peranan penting sebagai pusat pemerintahan negeri Perak pada abad ke-18 seperti yang tercatat dalam karangan Almarhum Raja Chulan menerusi karya Misa Melayu serta Malaya Sketches oleh Residen Jeneral pertama di Negeri-Negeri Bersekutu, Sir Frank Swettenham.

Malah katanya, orang terdahulu pernah menceritakan bahawa Residen Inggeris di Perak, J. W. W Birch pernah menempatkan anggota tentera British dari India ke Bandor ekoran kedudukan strategiknya antara Pasir Salak dan Teluk Intan ketika itu.

"Jarak antara Bandor dan Pasir Salak iaitu tempat di mana Birch dibunuh pada 2 November 1875 pula hanya kira-kira tiga kilometer," katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Sarji berkata, menurut sejarah, kepesatan Bandor didorong oleh penghijrahan beramai-ramai oleh buruh kaum Cina, India dan Indonesia bagi mengusahakan sektor perlombongan bijih timah, ladang getah termasuk perniagaan.

Malah, katanya, perkahwinan campur juga merupakan perkara biasa dalam kalangan orang-orang Bandor sehingga wujudnya masyarakat majmuk yang dapat dikenali melalui identiti kegiatan ekonomi masing-masing.

"Saya berharap dengan riwayat ringkas ini, kita akan lebih sayangkan Bandor, justeru, aktiviti mengumpulkan waris Bandor dan melawat tempat nenek moyang akan meningkatkan lagi nostalgia kepada tempat kita yang masyhur ini," katanya.

Tambah beliau, satu keputusan juga telah dibuat untuk menerbitkan sebuah buku bagi menceritakan tentang asal-usul, cara pemerintahan, sosioekonomi serta peristiwa penting dan tokoh-tokoh yang pernah mewarnai Bandor.

Beliau berkata, penerbitan buku itu antara lain bertujuan membuatkan waris keluarga Bandor berbangga dengan apa yang pernah dicapai oleh susur-galur keluarga berkenaan, lebih-lebih lagi untuk tatapan generasi pada masa depan.

Yakeb sedia insurans bantu atlet

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

PERMATANG PAUH 23 Sept. - Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyediakan insurans sehingga RM40,000 setahun bagi membiayai kos perubatan setiap atlet yang mengalami masalah kesihatan termasuk sakit kronik.

Pengerusi Yakeb, Datuk Jamil Salleh berkata, insurans itu dapat membantu meringankan beban atlet yang menghadapi masalah kesihatan.

Katanya, setiap atlet yang berdaftar dengan Yakeb akan memperoleh insurans perubatan sehingga RM40,000 setiap tahun.

"Sehingga hari ini, sebanyak 1,900 atlet berdaftar dengan Yakeb. Setiap tahun antara 30 hingga 40 peratus atlet mengalami masalah kesihatan manakala 10 peratus daripada jumlah atlet mendapat rawatan perubatan serius seperti penyakit kronik kencing manis dan buah pinggang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan wang pampasan skim perlindungan insurans hayat berkelompok sebanyak RM31,000 kepada Saleha Omar, 30, balu kepada bekas atlet sepak takraw negara, Mohd. Fauzi Ghazali yang meninggal dunia 24 Ogos lalu di rumah keluarganya di Kampung Belah Dua, di sini hari ini.

Allahyarham Mohd. Fauzi, 33, yang pernah mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat perak dan gangsa dalam Kejohanan Sukan Asia (SEA) pada tahun 2000 meninggal dunia akibat kanser kelenjar.

Jamil yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta atlet negara yang belum mendaftar dengan Yakeb berbuat demikian dalam memastikan kebajikan mereka dapat dibela dan terjaga pada masa hadapan.

"Kita mahu lebih ramai atlet yang pernah mewakili negara mendaftar sebagai anggota Yakeb supaya jika mereka menghadapi sebarang masalah, yayasan ini dapat membantu.

"Kita bukan hanya membantu dari segi perubatan sebaliknya banyak lagi terutama berkaitan kebajikan mereka," katanya.

Jamil berkata, Yakeb akan membantu Saleha mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat untuk membolehkan balu Mohd. Fauzi berkenaan menyara lima anak mereka.

Beliau berkata, Saleha yang tidak mempunyai pekerjaan perlu diberikan latihan kemahiran seperti jahitan atau membuat kuih agar boleh berniaga secara kecil-kecilan daripada rumah.

Sementara itu, Saleha ketika ditemui berkata, dia berterima kasih kepada Yakeb kerana membantu mereka sekeluarga selepas kematian suaminya.

Katanya, suaminya disahkan menghidap kanser kelenjar hujung tahun lalu dan menjalani rawatan termasuk kemoterapi tetapi tidak berjaya malah virus kanser itu terus merebak.

"Sekarang, saya banyak tumpukan perhatian kepada lima anak saya yang berusia 10 bulan hingga tujuh tahun.

"Selepas ini saya akan cari kerja atau berniaga dari rumah sahaja kerana anak-anak tiada siapa yang menjaga," katanya.

Lima anak Saleha ialah Muhammad Aidil, 7, Siti Nur Asmah, 6, Siti Nur Najiha, 4, Siti Nur Qisya, 3, dan Saidatul Adawiyah, 10 bulan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved