Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tiada aduan kenaikan harga

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Tee Siew Kiong (tengah) menyerahkan kad kuasa kepada Baharudin Ibrahim dalam majlis pelancaran Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Sri Api-Api, Pontian, kelmarin.

PONTIAN 23 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor tidak menerima sebarang aduan tentang kenaikan harga barangan sejak harga minyak petrol dan diesel dinaikkan September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, seramai 105 pegawai pemantau harga sentiasa mengawasi keadaan itu dan berkunjung ke lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mendapatkan maklumat tentang perkara tersebut.

Menurutnya, kehadiran pegawai pemantau harga boleh diibaratkan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan bagi melaporkan salah laku peniaga sekiranya mereka melakukan perbuatan tersebut.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen bagi petrol RON 95 dan diesel kerana kami sentiasa memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan," katanya selepas melancarkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Sri Api-Api, di sini semalam.

Yang turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Pontian, Mohd. Sam Zuhaili Buyadi; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Api-Api, Mohd. Farook Shaik Dawood, Pengerusi SRS Taman Sri Api-Api, Baharudin Ibrahim dan Ketua Kampung Kawasan (5) Mukim Api-Api, Amin Manidi.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berharap peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan disebabkan pengurangan subsidi berbanding subsidi yang ditanggung kerajaan kira-kira RM2 bilion setahun.

"Selama ini, mereka berpendapatan tinggi lebih menikmati subsidi berbanding rakyat biasa dan seharusnya perkara ini tidak menjadi isu atau bahan untuk mengkritik keputusan kerajaan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan penubuhan SRS yang merupakan platform bagi masyarakat membantu pihak berkuasa mencegah jenayah di kawasan kejiranan masing-masing.

Siew Kiong meminta orang ramai membantu pihak berkuasa dengan melaporkan segala salah laku yang berlaku di kawasan masing-masing supaya tindakan segera dapat diambil sebelum kejadian buruk berlaku.

"Diharap SRS dapat memainkan peranan bagi menyedarkan masyarakat betapa pentingnya mereka bersama-sama menjaga keselamatan harta benda tanpa menyerahkan kepada pihak berkuasa sahaja," katanya.

Modern City-MBJB bekerjasama bangunkan projek di Jalan Skudai

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Ismail Karim (tiga dari kiri) dan Khoo Che Wat bertukar-bertukar dokumen selepas menandatangani memorandum persefahaman di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Sept. - Modern City Development Sdn. Bhd. dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan bekerjasama membangunkan sebuah projek bercampur di Jalan Skudai di sini, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM125 hingga RM150 juta tahun ini.

Pengerusi Modern City Development, Datuk Khoo Che Wat berkata, projek yang dibina di atas tanah seluas 0.59 hektar itu menempatkan pangsapuri, lot kedai, ruang pejabat, dewan dan tempat letak kereta.

Beliau berkata, berdasarkan perancangan pembangunan, sebanyak dua blok bangunan kediaman akan didirikan iaitu Blok A setinggi 18 tingkat, manakala Blok B setinggi 22 tingkat dengan keseluruhan kediaman merangkumi sebanyak 315 unit.

"Pembangunan yang kami laksanakan ini dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan iaitu siap sepenuhnya pada 2016 dan akan melalui beberapa fasa.

"Konsep pembangunan yang kami cadangkan ini telah melalui proses penyelidikan dan kajian teliti. Maka, hasilnya kami bersetuju bekerjasama dengan MBJB bagi memastikan pembangunan ini merupakan projek yang mesra alam sekitar," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) usahasama projek berkenaan, di sini hari ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Ismail Karim menandatangani MoU berkenaan bagi pihak MBJB, manakala Che Wat mewakili Modern City Development.

Che Wat memberitahu, service apartment yang dibina itu nanti amat sesuai bagi para pelancong yang bergerak secara berkumpulan kerana kemudahan ditawarkan mampu memberi keselesaan kepada mereka.

Sementara itu, Ismail berkata, projek tersebut dibangunkan di kawasan tanah lapang bersebelahan Pekan Rabu, Tampoi tersebut mampu menarik minat orang luar khasnya pelancong asing untuk datang dan bekerja di bandar raya ini.

"Projek pembangunan ini diharapkan akan menaikkan imej MBJB dalam pembangunan hartanah serta merealisasikan hasrat MBJB ke arah bandar raya bertaraf antarabangsa pada tahun 2020," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved