Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bertanding bukan balas dendam

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron, Mohd. Ali Rustam, Haron Abdullah, Baddrul Hissham

MELAKA 23 Sept. - Dua nama kini menjadi tumpuan apabila masing-masing menawarkan diri bertanding Ketua UMNO bahagian mencabar Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam pada pemilihan parti Oktober ini.

Mereka ialah Ahli Jawatankuasa Bahagian Bukit Katil, Haron Abdullah, 62, akan mencabar Mohd. Ali di Bukit Katil manakala ahli UMNO Cawangan Tok Suboh, Baddrul Hissham Abdul Aziz, 45, menentang Idris di Tangga Batu.

Bagi Haron yang juga bekas Ketua Cawangan Ayer Molek selama 15 tahun berkata, beliau menawarkan diri mencabar Mohd. Ali bukan kerana ditaja oleh individu lain.

Saya bertanding atas kapasiti diri saya sendiri dan pengalaman bersama UMNO sejak 1978 dan apabila Perlembagaan UMNO membolehkan ahli bertanding mana-mana jawatan, mengapa tidak saya menawarkan diri.

Saya bertanding kerana merasakan perlu ada perubahan baharu kepimpinan UMNO di Bukit Katil selepas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru terlepas kepada pembangkang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Haron berpendidikan Diploma dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 1975 kini adalah Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Melaka.

Menurutnya, beliau menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua UMNO bahagian selepas mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi.

Sementara itu Baddrul Hissham pula berkata, beliau terpanggil untuk mencabar Idris merebut jawatan Ketua UMNO bahagian sebagai menyahut seruan demokrasi parti membolehkan mana-mana ahli bertanding pada pemilihan kali ini.

Saya menawarkan diri bukan kerana ada orang taja, sebaliknya bertanding atas kapasiti saya sendiri.

Saya sebenarnya layak bertanding jawatan Ketua UMNO bahagian kerana sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Tangga Batu ketika Idris menjadi Ketua Pemuda," ujarnya.

Menurutnya, soal menang atau kalah adalah adat pertandingan, namun beliau menawarkan diri atas permintaan ramai ahli cawangan di Tangga Batu.

Untuk menang saya tidak berani meramalkan tetapi jika saya buat kejutan ini adalah kuasa Allah untuk menentukan," katanya.

Latiff lega terus dapat sokongan akar umbi

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

LATIFF Tamby Chik dijulang selepas diumum menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka di Pusat Dagangan Antabangsa Melaka, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 23 Sept. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik mengucapkan terima kasih kepada ahli akar umbi Bahagian Kota Melaka apabila beliau kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian untuk tempoh tiga tahun lagi selepas tiada calon mengemukakan pencalonan kelmarin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri muncul satu-satunya Ketua UMNO Bahagian di Melaka yang menang tanpa bertanding berbanding lima ketua bahagian lain yang akan dicabar oleh calon lain termasuk Ketua Menteri, Datuk Idris Haron di Tangga Batu.

Menurutnya, beliau lega kerana resolusi yang dicadang kepada seluruh ahli cawangan di Kota Melaka bagi mengekalkan pucuk pimpinan sedia ada untuk sepenggal lagi telah diterima oleh ahli di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, dua lagi jawatan utama bahagian itu yang turut menang tanpa bertanding ialah Timbalannya, Datuk Ibrahim Fadhil dan Naib Ketua, Datuk Abidullah Salleh.

"Selepas ini, tumpuan kita ialah merapatkan hubungan semua ahli akar umbi dan cawangan di samping tumpuan kita membuat persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita ingin merampas kembali kerusi DUN Duyong yang dimenangi pembangkang dalam pilihan raya umum lalu di samping mengekalkan DUN Telok Mas sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN)," katanya di sini kelmarin.

Latiff berkata, dua sayap yang turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Pemuda yang disandang Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Abd. Razak Abd. Rahman dan Naibnya, Shadan Othman.

Turut kekal katanya ialah jawatan Ketua Puteri yang disandang Haryaty Hamdzah serta calon baru bagi Naib Ketua, Azlina Abdullah.

"Hanya jawatan Ketua Wanita, Datuk Rabiyah Ali ada pertandingan satu lawan satu apabila beliau akan dicabar Shirla Helma Mohd. Yahya," katanya.

Katanya, bagi jawatan Naib Ketua Wanita pula menyaksikan saingan tiga penjuru antara Rohana A. Hamid, Zainab Tamby dan Rohani Jaafar.

Ching Leong sah ambil alih jawatan Ketua MCA Bahagian Jempol

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

JEMPOL 23 Sept. - Ketua MCA Cawangan Taman ACBE, Yap Ching Leong diumum sebagai Ketua MCA Bahagian Jempol semalam selepas menang saingan tiga penjuru dalam pemilihan parti berkenaan.

Ching Leong sebelum ini berdepan penyandang jawatan tersebut, Datuk Lim Fui Ming serta Ketua MCA Cawangan Taman Mahsan, Siew Kok Foo.

Ching Leong mendapat 70 undi, Fui Ming (64) manakala Kok Foo (48).

Bagi jawatan Timbalan Ketua MCA Bahagian Jempol pula dimenangi Chew Kam Tu dengan 108 undi menewaskan Dr. Yee Mee Faa dengan 71 undi.

Menurut Ching Leong, beliau akan mencari formula baharu dan mengenal pasti masalah dalaman MCA serta cara mengembalikan sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN).

"Semua sudah tahu dalam pilihan raya umum lalu, MCA kalah dan hanya mendapat 4,862 undi walaupun ahli MCA di Bahau lebih daripada 4,000 ahli. Mengikut pandangan kita MCA boleh menang apabila jumlah pengundi MCA di tambah dengan ahli UMNO.

"Namun kekalahan yang berlaku menunjukkan ada ahli yang tidak memilih parti sendiri. Oleh itu, saya akan mengkaji apa masalah mereka sehingga tidak mahu memberikan undi kepada parti sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung MCA Bahagian Jempol di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Bakar, di sini semalam.

Jelasnya, beliau sedar golongan muda kurang menunjukkan minat dalam politik malah ada yang tidak mahu keluar mengundi.

"Saya juga akan cuba mendekati golongan muda dan menyampaikan matlamat parti kepada mereka. Mereka harus sedar politik ini bukan bidang untuk 'orang tua' sahaja tetapi mereka yang patut ke depan untuk meneruskan legasi kami.

"Golongan muda juga lebih kepada aktiviti sendiri dan sukar untuk menyertai aktiviti yang dijalankan parti. Mungkin selepas ini kita boleh kaji semula kehendak mereka, meremajakan parti agar mereka suka dan akhirnya menyertai politik," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved