Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


NFC: Keputusan mohon batal pertuduhan ditetapkan 22 November

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 22 November ini keputusan permohonan bekas Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta yang dihadapinya.

Hakim Norsharidah Awang menetapkan tarikh tersebut setelah selesai mendengar hujahan peguam, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Salleh dan hujah balas Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud hari ini.

Terdahulu, Muhammad Shafee dalam hujahnya menegaskan, pertuduhan yang dikemukakan terhadap anak guamnya adalah tidak berasas kerana afidavit yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat hanya berdasarkan kepada dengar cakap.

Katanya, majoriti afidavit terbabit mengandungi kenyataan dengar cakap semata-mata daripada pihak ketiga iaitu pernyataan ahli lembaga pengarah NFCorp., Datuk Dr. A. Manaf Hussin dan Alias Mohd. Yassin serta pernyataan setiausaha syarikat NFC dan juruauditnya atau hasil siasatannya.

"Adalah jelas tiada afidavit yang difailkan oleh A. Manaf, Alias, ahli lembaga pengarah, Mat Ali Hassan, setiausaha syarikat NFC, Soong Yoke Yin, dan Ng Pek Hoon dan juruaudit NFC, L.M. Chan, justeru pihak pendakwaan cuba mengemukakan keterangan bukan dengar cakap," katanya.

Menurut beliau, transaksi yang dipertikaikan melibatkan RM9.7 juta dan RM40 juta daripada keseluruhan lebih RM81 juta telah disahkan oleh ahli lembaga pengarah dalam mesyuarat biasa mereka, justeru tidak timbul isu penyalahgunaan wang berkenaan.

"Wang daripada kerajaan sebagai satu pinjaman telah diberikan. Justeru wang berkenaan adalah milik NFC bukannya wang kerajaan dan NFC adalah sebuah syarikat swasta," katanya.

Sementara itu dalam hujahan balas, Awang Armadajaya menegaskan, permohonan pihak berkenaan untuk membatalkan pertuduhan pecah amanah dan memohon perbicaraan melalui afidavit adalah merupakan bidaah dhalalah (perkara baharu yang sesat) yang tidak pernah wujud dalam perundangan negara.

"Ini adalah bidaah dhalalah yang tidak patut dibenarkan," katanya.

Tegas beliau, pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah lengkap mengikut undang-undang malah A. Manaf telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis.

"Pegawai penyiasat telah mengambil keterangan A. Manaf. Justeru ia bukan datang daripada mulut pegawai berkenaan dan sekiranya keterangan ini palsu, saksi boleh didakwa kerana memberi keterangan yang tidak benar," katanya.

Awang Armadajaya juga menegaskan walaupun NFCorp telah mengambil pinjaman daripada kerajaan namun syarikat itu tertakluk dengan satu perjanjian dengan kerajaan Malaysia yang ditandatangani pada 6 Disember 2007.

Beliau berkata, perjanjian yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan NFCorp bagi pinjaman RM250 juta adalah untuk pembiayaan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan bukan untuk pembelian kondominium.

Malah katanya, pembelian dua unit kondominium One Menerung unit B1-1 dan B1-2 di Bangsar tidak dinyatakan dalam sebarang minit mesyuarat NFCorp.

Mohamad Salleh, 65, didakwa menyalahgunakan RM9,758,140 milik NFCorp untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit kondominium One Menerung, Parcel B1-1 dan B1-2, Blok B, Bangsar di sini untuk syarikat milik keluarganya, National Meat & Livestock Corporation Sdn. Bhd.

Dia juga didakwa menyalahgunakan RM40 juta milik NFCorp dengan memindahkan wang tersebut melalui sekeping cek dari bank yang sama ke dalam akaun Malayan Banking Bhd. cawangan Solaris, Mont Kiara milik National Meat & Livestock Corporation bagi kegunaan syarikat itu.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di CIMB Islamic Bank Bhd., 138, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr. Ismail di sini antara 1 dan 4 Disember 2009 serta antara 6 Mei dan 16 November 2009.

Bagi kedua-dua tuduhan tersebut, Mohamad Salleh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan denda.

Mohamad Salleh turut didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 132 Akta Syarikat 1965 kerana melakukan kedua-dua transaksi tersebut tanpa kebenaran mesyuarat agung NFCorp pada tarikh dan tempat yang sama.

Pelajar universiti didakwa ugut sebar gambar bogel wanita

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

MOHD. Hidayat Abd. Ghani (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret, Melaka, semalam.

MELAKA 24 Sept. - Seorang pelajar sebuah universiti swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mengugut seorang wanita serta memiliki gambar lucah pada bulan lalu.

Mohd. Hidayat Abd. Ghani @ Mukhtar, 23, dari Batu Buruk, Terengganu mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan terhadap wanita berumur 22 tahun itu dengan mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa dengan tujuan mangsa menyerahkan seutas gelang tangan dan rantai leher emas miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Bukit Beruang Permai di sini kira-kira pukul 2.27 pagi antara Ogos dan 2 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Hidayat didakwa melakukan pemerasan dan cuba mendatangkan ketakutan kepada mangsa yang sama untuk menyebarkan gambar bogelnya supaya menyerahkan wang tunai RM5,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tingkat 15 sebuah pangsapuri di Bukit Beruang di sini pada pukul 10.41 pagi, 17 September lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit jenis Samsung S3 Mini miliknya di Pangsapuri Bukit Beruang Permai di sini pada pukul 1 petang, 19 September lalu.

Mohd. Hidayat yang merupakan pelajar kursus kejuruteraan elektronik didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Syajaratudur membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sebutan kes pada 22 Oktober ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Safri Mohammed Na'aim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved