Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


'Apa lagi pemain mahu'

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh SAYED HESHAM IDRIS dan KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my

IPOH - "Kita sudah berikan segala-galanya, jadi apa lagi yang pemain mahu," luahan kecewa Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Beliau yang kecewa kerana PAFA terpaksa bertindak drastik membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin berkata, tiada alasan untuk pemain mengatur perlawanan kerana persatuan sentiasa menjaga kebajikan mereka.

"Selepas saya mengambil alih kepimpinan PAFA, kami berusaha menjadi majikan yang terbaik, tiada masalah tunggakan gaji.

"Majoriti pemain menikmati gaji lumayan, purata gaji antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan malah ada yang menerima RM20,000 sebulan.

"Kita juga memberikan bonus kepada pemain, jika pemain tak setuju dengan jumlah (bonus) yang diberikan, kita tambah lagi, sedangkan sepatutnya sebagai pemain profesional ia (bonus) tidak perlu.

"Setelah kita melayan kehendak mereka, tetapi keputusannya mendukacitakan. Jadi apa lagi yang pemain mahukan," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Kelmarin, PAFA menggantung kesemua pegawai dan petugas termasuk jurulatih Azraai Khor Abdullah selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.

PAFA mengambil tindakan tersebut sebaik sahaja Perak gagal ke suku akhir Piala Malaysia.

Pada perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 September, kalah kepada Lions XII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk iaitu 1-6 kepada Sarawak, Sabtu lepas.

Zainol turut mendedahkan bahawa PAFA memantau prestasi pasukan dari semasa ke semasa sebelum membuat laporan kepada SPRM tentang kemungkinan berlakunya rasuah.

Beliau berkata, sepanjang musim ini, ada beberapa insiden yang mencurigakan tetapi persatuan itu tiada bukti untuk membuat tuduhan (rasuah).

"Mereka bermain macam budak sekolah, selain itu berlaku juga insiden-insiden yang meragukan sebelum perlawanan, iaitu tindak tanduk yang boleh dipertikaikan.

"Kemuncak kepada semua keraguan ini ialah di Sarawak (Perak kalah 1-6) yang mana kekalahan itu mencabar kesabaran PAFA.

"Sedangkan Perak begitu cemerlang pada pusingan pertama (Piala Malaysia), tetapi kalah dalam semua perlawanan pusingan kedua," katanya.

Mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM, Zainol berkata, pegawai dan pemain skuad Yob tidak perlu takut jika mereka tidak terlibat rasuah.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh PAFA bertujuan membersihkan imej skuad Yob supaya tidak timbul tuduhan liar.

"Kita mahu membersihkan imej skuad ini supaya penyokong mendapat jawapan tentang kekalahan Perak," katanya.

Aik Mong letak jawatan

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Semuanya seakan kembali jernih selepas barisan jurulatih bersetuju dengan sistem lama yang diperkenalkan semula oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kelmarin.

Namun, semalam Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG), Tan Aik Mong (gambar) pula menggemparkan badminton tanah air apabila mengumumkan peletakan jawatan.

Berita mengenai peletakan jawatan Aik Mong tersebar di beberapa laman web rasmi akhbar arus perdana dan rangkaian televisyen utama negara ini semalam, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman pembaharuan sistem kejurulatihan serta Projek Menang-Menang yang diumumkan Tengku Mahaleel di pejabat BAM.

Sejak kebelakangan ini arena badminton Malaysia sentiasa dikejutkan dengan beberapa berita sensasi termasuk rombakan jurulatih, peletakan jawatan Rashid Sidek, pembongkaran jurulatih menandatangani kontrak dengan pasukan Liga Badminton India (IBL), pengubahsuaian sistem kejurulatihan dan terkini, Aik Mong melepaskan jawatan.

Aik Mong yang merupakan bekas pemain kebangsaan era 70-an dilantik memegang jawatan TMG dan mula membuat beberapa perubahan termasuk sistem kejurulatihan.

Aik Mong membuat keputusan membahagikan pemain kebangsaan kepada tiga kumpulan, Kumpulan A (elit), Kumpulan B (pelapis) dan Kumpulan C (Sekolah Sukan Bukit Jalil).

Malah, ada jurulatih yang ditugaskan melatih pasukan elit dan sebahagiannya mengendalikan pasukan pelapis.

Bagaimanapun, tindakan tersebut dilihat kurang disenangi oleh jurulatih, sehingga membawa kepada pengumuman tergempar jurulatih perseorangan negara, Rashid yang menyerahkan surat peletakan jawatan, Khamis lalu.

Langkah mengembalikan sistem lama dipercayai mendorong Aik Mong untuk meninggalkan BAM.

Penggunaan sistem kejurulatihan lama seakan menidakkan kebolehan Aik Mong dan khidmatnya tidak lagi diperlukan, sedangkan dia dilantik memegang jawatan TMG untuk memberikan sentuhan baharu dalam BAM.

Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan Tengku Mahaleel dan Aik Mong semalam gagal.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved