Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


DBKL didakwa kunci bekalan air

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Penduduk menunjukkan notis kunci air yang diterima mereka daripada DBKL di PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Hampir separuh penghuni di setiap blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah Fasa Dua di Bukit Jalil kini berdepan dengan kemungkinan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing kerana gagal menjelaskan tunggakan sewa.

Malah, ketika ini mereka sudah pun berdepan dengan kepayahan apabila bekalan air ke rumah mereka didakwa telah diputuskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Khamis lalu akibat gagal menjelaskan tunggakan bil air.

Menurut penduduk, mereka telah mendapat notis amaran daripada DBKL yang memberi tempoh 14 hari bermula Khamis lalu untuk menjelaskan kedua-dua bayaran tertunggak itu, tetapi agak mustahil untuk dilakukan kerana jumlahnya mencecah ribuan ringgit.

Akibat ketiadaan bekalan air ke rumah masing-masing, penduduk terlibat berkata mereka terpaksa mendapatkan air dari sumber yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihannya selain menerima pertolongan daripada jiran dan saudara-mara.

Sehubungan itu, penduduk yang kebanyakannya golongan susah itu merayu kepada pihak DBKL supaya mengkaji semula tindakan tersebut selepas memberi notis singkat kepada penduduk.

Seorang suri rumah, Sharifah Sharip, 31, mendakwa, dia menerima notis tersebut pada Khamis lalu daripada DBKL.

"Masa terlalu singkat, mana kami nak cari duit untuk bayar tunggakan sebanyak RM4,688 kerana kebanyakan keluarga di sini mengalami masalah kewangan.

"Mereka juga tidak membenarkan kami untuk menjelaskan separuh bil tertunggak. Saya berharap pihak DBKL dapat berbincang dan bertolak ansur dengan kami dalam hal ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui.

Ibunya, Maimunah Abdullah, 56, yang menghuni di blok lain berkata, dia kini sedang menjaga suaminya yang uzur selain enam orang anak yang masih bersekolah sehingga membuatkan wangnya tidak cukup untuk menjelaskan bil-bil itu

"Saya turut mengalami tunggakan sewa dan bekalan air. Kami juga hairan kenapa jumlah bayaran untuk bil air begitu tinggi sedangkan kadar rata yang ditetapkan adalah sebanyak RM25 sebulan.

"Pihak DBKL juga meminta kami menjelaskan sepenuhnya bayaran tersebut atau kami diminta keluar dari rumah ini. Minggu lalu, pihak DBKL terus mengunci paip meter air rumah saya tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang menghuni di tingkat enam, Blok G, Norazizan Ya'acob, 42, mengalami nasib malang selepas paip air di luar rumahnya bocor sejak sebulan lalu.

"Saya telah membuat aduan mengenai perkara ini di Pejabat Kecil DBKL di PPR Kampung Muhibbah Fasa Dua dekat sini, namun tiada tindakan susulan diambil oleh pihak itu.

"Kami amat kecewa seolah-olah mereka tidak mahu mengambil tahu mengenai permasalahan kami. Sehingga kini, air terus mengalir keluar selain menyebabkan pembaziran," ujarnya.

Keistimewaan untuk pemilik

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Penghapusan duti setem bagi menukar nama geran hak milik tanah dengan bayaran nominal hanya sebanyak RM1,000, melupuskan cukai-cukai tanah tertangguh antara pelbagai keistimewaan perkhidmatan yang ditawarkan kepada penduduk Kampung Baru oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).

Selain itu, PKB turut menawarkan khidmat untuk menyelesaikan masalah pusaka dan faraid dalam tempoh empat bulan sehinggalah membantu membiayai hutang tanah yang tercagar di bank kepada pemilik hartanah terlibat.

Semua ini bagi mempercepatkan lagi proses pembangunan dan memajukan Kampung Baru yang agak terhalang disebabkan oleh hampir 50 peratus daripada pemegang dan pemilik 1,381 lot tanah di Kampung Baru masih lagi bermasalah mengenai status tanah masing-masing.

Timbalan Pengerusi Perbadanan PKB, Datuk Seri Matshah Safuan berkata, lazimnya apa juga urusan melibatkan soal pertukaran dan pemilikan geran tanah memerlukan duti setem atau kos guaman yang tinggi, antara RM30,000 dan RM40,000 tetapi kini apa juga urusan dapat diatasi dengan mudah jika penduduk merujuk masalah tersebut kepada PKB.

"Ini kerana masih lagi ada dalam kalangan penduduk Kampung Baru yang menuduh PKB berperanan untuk menjual tanah-tanah milik orang Melayu di Kampung Baru ini sedangkan agensi inilah satu-satunya yang berperanan bagi memastikan tidak ada sebidang pun tanah orang Melayu ini akan tergadai atau terlepas ke tangan pihak asing.

"Berbanding sebelum ini telah ditubuhkan pelbagai entiti syarikat kumpulan sehinggalah kepada penubuhan konsortium yang kononnya bagi memajukan Kampung Baru tetapi didapati bertujuan untuk 'menjual' Kampung Baru. Sedangkan PKB berperanan bagi memastikan kampung ini tetap milik orang Melayu walaupun bakal dimajukan kelak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Sesi Taklimat Pembangunan Hartanah kepada hampir 200 orang pemilik dan pewaris tanah di Kampung Masjid, Kampung Baru yang diadakan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru baru-baru ini.

Taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharudin Abdullah itu turut dihadiri Pengerusi PKB, Datuk Astaman Abdul Aziz.

Matshah berkata, kini penduduk Kampung Baru diminta supaya memberikan tindak balas positif terhadap draf Pelan Induk Pembangunan yang telah pun siap bagi menjayakan sesi pendengaran awam sebelum pelbagai pindaan dilaksanakan dan selesai pada April 2014.

"Walaupun ditimbulkan pelbagai isu oleh penduduk pada hari ini, namun pada hakikatnya rata-rata mahukan supaya tanah masing-masing dimajukan, hanya kita masih terhalang oleh soal status pemilikan tanah, masalah penyewaan tanah dan hartanah rumah dan sebagainya kepada penyewa, malah ada yang ingin membangunkan sendiri tanah masing-masing, malah tidak kurang menunggu masa 'terbaik' untuk menjual tanah masing-masing," katanya.

Sedangkan katanya pembangunan Kampung Baru ini merupakan satu agenda besar bagi memperkasakan ekonomi bumiputera itu sendiri jika mereka mengkaji dan memahami sepenuhnya bahawa kampung itu akan dimajukan secara berkelompok dan pemilik tanah sekarang tetap menjadi rakan kongsi niaga.

"Kita bukan bercakap soal tanah yang menjadi hak milik kerajaan atau setinggan yang hanya perlu dibayar pampasan sebanyak RM25,000 dan kemudiannya penghuni diminta keluar.

"Kita bercakap soal tanah yang ada pemilik yang hak, jadi wajib kita majukan dengan memberikan pulangan berfaedah berpanjangan kepada pemiliknya.

"Jika dibangunkan mereka bukan sahaja mempunyai aset tetap atau menyewakan aset-aset niaga kepada para pelabur tetapi setiap bulan mereka bakal beroleh pendapatan sehingga RM10,000 yang mengikut nilai hari ini," kata Matshah.

Tambah beliau, rata-rata penduduk Kampung Baru mempunyai saiz tanah yang agak kecil iaitu antara 600 kaki persegi hingga 1,200 kaki persegi yang menyukarkan mereka untuk membangunkan hartanah tersebut dengan binaan melebihi 10 tingkat.

"Dalam masa yang sama, PKB kini dalam usaha untuk mendapatkan seberapa banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain yang tidak mempunyai rekod buruk untuk memaju dan membangunkan Kampung Baru.

"Pada dasarnya mereka sangat berminat. Tinggal lagi mereka hendak tahu di mana bahagian kawasan Kampung Baru yang boleh mereka bantu untuk majukan," katanya.

Noh cadangkan tubuh jawatankuasa di blok PPR

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Noh Omar (depan, tiga dari kiri) mendapatkan penerangan daripada penduduk mengenai masalah lif yang kerap rosak semasa lawatan kerja di Pangsapuri Desa Mentari, Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor kelmarin.

PETALING JAYA 23 Sept. - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan diminta menubuhkan jawatankuasa di semua blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan bandar yang dilihat mampu menjadi penghubung antara penduduk dengan kerajaan, khususnya dalam membuat aduan berhubung masalah setempat.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencadangkan agar jawatankuasa itu setaraf dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memandangkan sebuah blok PPR mempunyai kira-kira 3,000 penduduk.

Tegas beliau, penubuhan jawatankuasa blok itu perlu terutama dalam menyampaikan segala masalah yang dihadapi penduduk di situ.

"Jika di kawasan luar bandar, di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 3,000 orang adalah sebuah kampung dan di kawasan bandar, khususnya di PPR juga sepatutnya perlu diwujudkan jawatankuasa khas seperti JKKK.

"Jika ahli JKKK mendapat elaun, saya juga cadangkan supaya jawatankuasa blok nanti juga diberi elaun dalam jumlah sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di PPR Desa Mentari, Kampung Lindungan di sini semalam.

Dalam majlis itu beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi membaiki lampu jalan serta RM300,000 lagi untuk membaiki lif di PPR berkenaan.

Mengulas lanjut, Noh juga memberitahu, cadangan itu akan dibawa segera kepada kementerian terbabit.

Beliau memberitahu, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM3.2 bilion bagi pembangunan di Selangor pada tahun lalu dan RM2.8 bilion pada tahun ini.

Jelasnya, peruntukan itu empat kali ganda lebih banyak daripada apa yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang.

"Tidak ada guna kerajaan negeri mengaku berjaya menyimpan wang yang banyak tetapi rakyat hidup susah serta menderita," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved