Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Bersatu jayakan transformasi

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Isa Abdul Samad menandatangani plak sebagai tanda merasmikan Dewan Semai Bakti Felda Jengka 21 pada majlis Transformasi Komuniti Felda di Hati Bersama Pengerusi Felda di Jengka 21, Kuala Krau, Pahang, semalam. Turut kelihatan Ismail Mohamed Said. - utusan/ AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA KRAU 24 Sept. - Warga Felda perlu komited dan bersatu menyokong program transformasi kerajaan bagi meletakkan negara pada landasan kukuh dalam mendepani cabaran global.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi program transformasi itu tidak lain bagi mengangkat martabat rakyat pada kedudukan lebih baik.

"Oleh itu, warga Felda perlu memiliki jati diri dan semangat cinta negara dengan meletakkan kepentingan organisasi dan masyarakat bagi menjamin kelangsungan transformasi kerajaan," katanya.

Ismail berkata demikian ketika berucap pada Program Transformasi Komuniti Felda Di Hati bersama Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di Dewan Semai Bakti Felda Jengka 21 di sini kelmarin.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Jengka, Wan Salman Wan Ismail, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din dan Timbalan Pengerusi Felda JKKR Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar.

Menurut beliau, warga Felda merupakan kelompok masyarakat Melayu yang berperanan penting dalam menjayakan program dan agenda kerajaan.

Tegasnya, tambahan pula warga Felda dan penduduk kampung tradisonal adalah teras pembentukan kerajaan yang kukuh.

''Kerajaan sangat menghargai sumbangan dan sokongan warga Felda terhadap Barisan Nasional (BN) sekali gus berjaya menghalang pembangkang daripada memecahbelahkan perpaduan warga Felda," katanya.

Ismail seterusnya mengingatkan warga Felda berwaspada dengan gerakan pembangkang yang berterusan memburuk-burukkan Felda dan pemimpin kerajaan.

Jelasnya, pembangkang akan berusaha dengan tujuan untuk menimbulkan rasa marah dan sangsi terhadap kewibawaan dan keupayaan kerajaan.

Rayuan 50 pekebun Kechau Tui diberi perhatian

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

Mohd. Soffi Abdul Razak

KUALA LIPIS 24 Sept. - Kerajaan negeri memberi keutamaan rayuan 50 pekebun di Kampung Kechau Tui mengenai masalah perhubungan ke kebun getah berikutan projek menaik taraf jalan raya Central Spine Road (CSR) antara Jalan Kechau Tui ke Chegar Perah di sini.

Masalah pekebun berkenaan disiarkan Utusan Malaysia pada 20 September lalu apabila kerja membina jajaran projek berkenaan telah menutup jalan asal sejauh 1.5 kilometer manakala pembinaan terowong sebagai alternatif tidak relevan kerana terlalu jauh dengan kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, kerajaan negeri sedia mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk menyelesaikan aduan pekebun berkenaan.

"Kita cuba mencadangkan membina sebuah lagi terowong berdekatan laluan asal untuk keselesaan petani ke kebun mereka.

"Saya telah menghubungi Pengurus Besar Kanan CSR JKR, Datuk Che Nor Azman dengan memaklumkan hal ini setelah masalah pekebun ini disiar di media dan beliau memberi jaminan akan meneliti perkara berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Soffi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta berkata, kerajaan negeri amat prihatin dan memahami kesukaran yang dihadapi oleh pekebun di Kechau Tui dan jaminan pihaknya adalah menyelesaikan masalah ini sebaik mungkin dengan kerjasama kontraktor dan JKR.

Dalam masa sama, beliau berharap penduduk Kechau Tui dapat bersabar dan tidak perlu terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba mengeksploitasi masalah berkenaan kerana kerajaan negeri mempunyai mekanisme yang terbaik untuk menyelesaikannya dengan cepat.

PSDC latih kakitangan awam

Posted: 24 Sep 2013 11:52 AM PDT

KUANTAN 24 Sept. - Kerajaan negeri akan menjadikan Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) di Kawasan Perindustrian Semambu di sini sebagai rakan strategik bagi melatih kakitangan berinovasi, kreatif dan bijak berkomunikasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, ini boleh dilakukan dengan menghantar kakitangan mengikuti kursus jangka pendek Program Kemahiran Transformasi Pada Kepimpinan Berinovasi dan Pembentukan Kumpulan Efektif yang ditawarkan PSDC.

Katanya, program latihan yang dilaksanakan meliputi kursus teknikal, kursus kemahiran bukan teknikal seperti kemahiran berkomunikasi, asas perniagaan dan keusahawanan dan kursus teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) itu cukup sesuai bagi tujuan berkenaan.

Tambah beliau, kecemerlangan PSDC itu telah mengukuhkan lagi kepercayaan Bahagian Latihan dan Kompetensi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk meneruskan kursus kemahiran pada sesi akan datang.

''Ini berikutan maklum balas baik daripada peserta yang telah mengikuti kursus tersebut yang memuji keupayaan PSDC meningkatkan prestasi dan integriti mereka," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke PSDC di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah Esekutif PSDC, Khairur Rizal Ramli.

Sementara itu tambahnya, bagi merealisasikan impian masyarakat yang mahukan pendidikan kemahiran berterusan kepada anak-anak mereka, PSDC telah menawarkan program Diploma Kemahiran Malaysia kepada para pelatih.

Menurutnya, antara program itu ialah Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Sistem Komputer), Diploma Kemahiran Malaysia Pemasangan dan Penyenggaraan Elektrik (Voltan Rendah), Diploma Kemahiran Malaysia Pembangunan Produk Elektronik dan Diploma Kemahiran Malaysia Pembantu Jurutera Perindustrian.

Sementara itu, Khairur Rizal berkata, setelah beroperasi selama 15 tahun, PSDC kini mendapat pengiktirafan sebagai pusat latihan tenaga mahir empat bintang di negara ini.

Menurutnya, PSDC telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Menteri Sumber Manusia-Kategori Penyedia Latihan 2010.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved