Selasa, 24 September 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Fiza, Adam AF nikah Khamis ini

Posted: 23 Sep 2013 10:15 PM PDT

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Pelakon Fiza Abd. Halim, 32, bakal bergelar isteri kepada penyanyi Adam AF atau Mohd Aizam Mat Saman, 30, pada 26 September ini.

Fiza atau nama sebenarnya Siti Zaidatul Fiza Abd. Halim bakal bernikah buat kali kedua di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam, pada pukul 10 pagi.

Menurut Fiza yang pernah menganggotai kumpulan Elite itu, mereka berdua telah menjalani kursus perkahwinan di Medan MARA, Kuala Lumpur pada 18 dan 19 September lalu.

"Sebenarnya, saya pun tidak percaya akan bernikah dengan Adam kerana semuanya berlaku begitu pantas. Kami hanya bertukar-tukar nombor telefon pada bulan puasa lalu.

"Bertanya khabar macam rakan artis lain dan baru-baru ini sahaja semakin rapat sebab sering menjayakan persembahan bersama. Sebenarnya masa raya hari itu, saya dan anak-anak ada pergi beraya di rumah Adam di Sabah," ceritanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Tambah Fiza, apa yang membuatkan hatinya terbuka untuk menerima Adam adalah kerana penyanyi itu bijak mengambil hati anak-anaknya, Ferra Aryanna, 5, dan Feeya Adyrra, 4, yang memanggil penyanyi itu dengan panggilan Abie.

"Saya boleh terima Adam pun sebab anak-anak selesa dengan dia, itu faktor utamanya. Bagi saya, yang sudah pernah melalui kehidupan rumah tangga, harap kali ini akan berkekalan hingga akhir hayat. Mungkin ini takdir saya, sebab soal jodoh itu urusan Allah," katanya yang telah bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin, 33, pada 4 November 2010.

Menurutnya, majlis perkahwinan mungkin hanya akan dibuat di sebelah pihak Adam sahaja kerana pihaknya setakat ini tidak bercadang untuk mengadakan majlis berkenaan. - UTUSAN ONLINE

Benci tukar cinta

Posted: 23 Sep 2013 11:14 PM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar SAFIYANA SALIM

STATUS sebagai isteri semestinya menjadi impian dalam hidup seorang wanita. Rasa ingin dicinta akhirnya diikat dengan perjanjian sehidup semati.

Malah, tidak lengkap rasa cinta jika tiada sebarang ikatan untuk bersama-sama mengemudi bahtera perkahwinan menyeberangi lautan cinta yang lebih dalam.

Perjalanan cinta sejati akhirnya menemui jenjang pelamin buat pelakon, Nor Fouziah Mohd Gous, 30, atau lebih dikenali dengan nama Fouziah Gous bersama pasangannya, seorang ahli perniagaan, Md. Zahfran Md. Yusof, 30.

Dengan sekali lafaz, tepat pada pukul 9.42 malam, pasangan ini selamat diijab kabul menjadi sepasang suami dan isteri di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, 21 September lalu.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah, Muhd. Sujak Mohd. Dasuki dengan berwalikan abang Fouziah, Abd. Wahab Mohd. Gous serta disaksikan oleh dua lagi abangnya, Nagoor Shah Mohd. Gous dan Syed Baba Mohd. Gous.

Fouziah juga kelihatan anggun pada malam pernikahan yang berkonsepkan musim sejuk Pakistan dengan menggayakan busana rona putih rekaan Altilia Amani.

Pada malam itu, Fouziah telah menerima mas kahwin sebanyak RM1,112, dan wang hantaran bernilai RM50,000.

Selain itu, Fouziah turut menerima hantaran daripada pihak lelaki berbentuk sirih junjung, set barang kemas, set wangian (Chanel), Al-Quran dan telekung, clutch, kaca mata serta manisan coklat.

Sebagai balasan, pihak mempelai wanita memberikan sirih junjung, cincin, jam tangan, cermin mata dan kafling, tali pinggang, pen dan clutch, set wangian (Chanel) serta manisan.

Pasangan itu bertunang pada 1 Jun lalu di Restoran Asmara Penchala, Kuala Lumpur. Majlis resepsi Fouziah akan berlangsung pada 29 September di Hotel JW Mariot, Putrajaya manakala majlis resepsi pihak lelaki pula diadakan di rumah Zhafran di Bukit Jelutong pada 5 Oktober dengan berkonsepkan tradisional songket.

Kedua-dua mempelai yang ditemui pada sidang akhbar selepas majlis pernikahan itu memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana semuanya berjalan seperti yang dirancang.

"Alhamdulillah, kini saya sudah selamat bergelar isteri dan kehidupan saya menganjak ke satu lagi tahap. Saya juga ucapkan terima kasih pada semua yang hadir.

"Kini, saya berharap supaya majlis persandingan saya yang akan berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancangkan," jelas Fouziah.

Malah, sebelum pernikahan berlangsung, Fouziah mengakui debaran yang dirasakan sangat tinggi walaupun sudah biasa berhadapan dengan orang ramai.

"Memang berdebar, dan itulah istimewanya saat menjelang detik menjadi seorang isteri. Saya cuba tenangkan diri, banyakkan selawat dan mendengar ayat Al-Quran dan alhamdulillah, segalanya berjalan lancar," jelasnya.

Bagi Zhafran pula, saat diajukan mengenai simbolik jumlah mas kahwin yang diberikan, jelasnya, ia adalah satu kejutan buat isterinya.

"Sebenarnya, jumlah wang mas kahwin yang diberikan adalah simbolik kepada hari lahirnya iaitu pada 11 Disember.

"Selain itu, saya sebenarnya ada membuat kejutan iaitu dengan memberikannya set barang kemas sebagai hadiah perkahwinan.

"Sebenarnya dia tidak mengetahui langsung mengenai perkara ini. Malah, petang sebelum bernikah, dia ada bertanyakan kepada saya tentang kotak itu, tapi saya berpura-pura tidak mengetahuinya.

"Memang saya sengaja simpan untuk memberi kejutan padanya dan biar dia tahu saat ketika kami bernikah," jelasnya jujur.

Mengulas mengenai lokasi bulan madu dan perancangan cahaya mata, jelas Fouziah, dia menyerahkan perkara itu kepada tuhan."Soal cahaya mata ini saya serahkan kepada tuhan, saya tidak menolak andai dikurniakan rezeki itu.

"Mengenai bulan madu pula, buat masa ini, kami berdua belum lagi terfikir lokasi tetapi mungkin di Gold Coast, Australia," ujarnya.

Tambah Fouziah, buat masa ini, dia belum berfikir lagi mengenai kedua-dua perkara itu sebaliknya mahu fokus pada majlis persandingan bagi pihaknya dan suami.

"Fikiran saya sekarang ini hanya mahu menyelesaikan kedua-dua majlis itu dahulu. Lepas sudah selesai semuanya, baru saya akan fikir perkara yang lain termasuk kerjaya saya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved