Isnin, 23 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


CAP kesal kerosakan tangki air di rumah pangsa Lengkok Mahsuri berlarutan

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

PULAU PINANG 22 Sept. - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal dengan sikap tidak acuh pihak-pihak terbabit berhubung kerosakan tangki air di atas bumbung blok-blok rumah pangsa di Lengkok Mahsuri, Bayan Baru di sini, sehingga berlaku pembaziran air.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, masalah tersebut berlarutan sejak lima tahun lalu di mana air melimpah keluar sepanjang masa dan lebih serius pada waktu malam.

Menurutnya, CAP dan penduduk pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa namun tidak diberikan perhatian serius.

"CAP membuat aduan pada 2011 dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah membuat penyiasatan dan mendapati memang berlaku kebocoran tangki lalu menasihatkan pihak pengurusan rumah pangsa supaya membaiki kebocoran bagi mengelak pembaziran berlanjutan.

"SPAN dalam surat kepada CAP bertarikh 27 Mei 2011 memaklumkan masalah berkenaan dijangka selesai selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri seterusnya disalurkan kepada Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan untuk tindakan pembaikan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat," katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

S.M. Mohamed menambah, pada awal bulan lalu, CAP memanjangkan aduan kepada Ketua Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Pegawai Daerah Barat Daya dan SPAN.

"Kita sudah buat aduan sekali lagi dan kali ini kita harap ada penyelesaian dilakukan.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa kempen penjimatan air yang diuar-uarkan tidak akan mencapai matlamat kalau pembaziran air seperti ini terus berlaku tanpa apa-apa tindakan," ujarnya.

11 bahagian jadi rebutan, 4 menang tanpa bertanding

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

MUKHRIZ Mahathir bergambar dengan Wanita UMNO Padang Serai pada majlis pendaftaran pemilihan calon UMNO bahagian peringkat negeri Kedah di Dewan Wawasan, Kubang Pasu, kelmarin. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 22 Sept. - Pemilihan UMNO bahagian di Kedah bulan depan menyaksikan 11 bahagian berlaku pertandingan di peringkat jawatan ketua sementara empat calon menang tanpa bertanding termasuk Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir di Jerlun.

Selain itu, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah (Alor Setar), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Kulim/Bandar Baharu) berjaya mempertahankan jawatan tersebut di kawasan masing-masing.

Sementara itu, pertandingan Ketua Bahagian Padang Serai dianggap paling sengit di negeri ini apabila menyaksikan enam calon menyerahkan borang masing-masing di pusat pendaftaran di Dewan Wawasan Jitra dekat sini hari ini.

Ketuanya yang kini dipangku oleh Halim Hassan yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian itu dicabar Ketua UMNO Cawangan Padang Serai, Ku Rashidi Ku Mat Esa; Mohd. Khozali Junus; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Asmadi Abu Talib; Drs. Ahmad Zubib Saad dan usahawan, Abdul Halim Mohamad.

Pertandingan satu lawan satu dijangka di Pendang, Jerai, Sik, Kubang Pasu dan Pokok Sena serta tiga penjuru di Langkawi, Kuala Kedah, Merbuk, Baling dan Sungai Petani.

Bagi UMNO Bahagian Jerai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom akan mencabar penyandangnya, Datuk Mohd. Shuhaimi Abdullah.

Di Kubang Pasu pula, penyandang Datuk Mohd. Johari Baharom ditentang timbalannya, Datuk Ahmad Zaini Japar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu hitam.

Dalam pada itu, menurut Setiausaha UMNO negeri, Datuk Othman Aziz, pihaknya menerima sebanyak 2,858 borang pencalonan pemilihan UMNO Kedah bagi merebut semua jawatan peringkat bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, itu termasuk 1,275 bagi jawatankuasa bahagian, 589 (Wanita), 596 (Pemuda) dan 398 (Puteri).

"Semua calon mempunyai tempoh selama 72 jam untuk memuktamadkan pencalonan mereka sebelum pengumuman rasmi dibuat pada Selasa ini," katanya kepada pemberita selepas selesai proses pencalonan tersebut.

Tambah beliau, UMNO Kedah berpuas hati dengan perjalanan penyerahan borang tersebut hari ini yang berjalan lancar.

"Ini menunjukkan perpaduan ahli kukuh walaupun terdapat persaingan sengit di beberapa kawasan," katanya yang menang tanpa bertanding sebagai Naib Ketua Bahagian Jerlun.

900 pelajar terima dermasiswa Bank Persatuan

Posted: 22 Sep 2013 12:11 PM PDT

YUSRA Sabar (dua dari kiri) berbual dengan Afifah Hussain (dua dari kanan) yang menerima Anugerah Datuk Yusoff Hilmi di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 22 Sept. - Sebanyak 900 pelajar dari keluarga ahli Bank Persatuan menerima dermasiswa bagi keperluan pengajian mereka ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Bantuan tahunan itu disampaikan oleh Pengerusi Bank Persatuan, Datuk Yusra Sabar dalam satu majlis, di sini semalam.

Dalam ucapannya, Yusra berkata, kecemerlangan dalam pelajaran perlu ditonjolkan oleh pelajar yang mendapat bantuan tersebut sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih terhadap keprihatinan menjaga kebajikan mereka.

"Manfaatkan bantuan ini sebagai kemudahan untuk terus berusaha mencapai kejayaan gemilang dalam pelajaran hingga mampu membanggakan keluarga masing-masing.

"Biarpun dermasiswa ini kecil jumlahnya jika nak dibandingkan dengan pinjaman pendidikan lain tetapi nilainya amat tinggi kerana itu tanda prihatin kita terhadap pelajar yang mampu memperolehi keputusan cemerlang sebelum ini," katanya.

Dalam majlis sama, sebanyak 16 pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu turut dipilih menerima Anugerah Datuk Yusoff Hilmi.

Turut disampaikan cek Manfaat Takaful Mutiara Plus kepada dua ahli yang kematian suami.

Yusra memberitahu, Bank Persatuan menyediakan peruntukan RM179,600 untuk diagihkan kepada pelajar terbabit.

Sementara itu, seorang penerima dermasiswa, Afifah Hussain, 18, melahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Bank Persatuan memilihnya.

Menurut anak bongsu dari tujuh beradik dan tinggal di Bukit Gantang, Perak itu, dia bangga kerana memperolehi 12A dalam peperiksaan SPM yang diambilnya tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada Bank Persatuan kepada memilih saya untuk menerima anugerah ini.

"Sumbangan ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk menampung kos pengajian saya di universiti sehingga saya berjaya membawa pulang segulung ijazah," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved