Isnin, 23 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


ADUN Batu Buruk didakwa anjur perhimpunan haram Blackout 505

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Ahli Dewan Undangan (ADUN) Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menganjurkan perhimpunan haram Blackout 505 di Padang Merbok, Jun lalu.

Syed Azman, 52, daripada parti Pas mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Ahli politik itu didakwa menganjurkan satu perhimpunan yang tidak mematuhi syarat yang dikenakan oleh pegawai yang menjaga Daerah Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad bagi mendapatkan persetujuan pemilik padang iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Syed Azman turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu gagal menyertakan salinan persetujuan DBKL bertarikh 12 Jun 2013 kepada Zainuddin seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 10(c) akta sama.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang turut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Padang Merbok Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang, 22 Jun lalu.

Pada 24 Julai lalu, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook, 36; Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli, 36; dan anggota sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Adib Ishar, 24; didakwa di mahkamah sama atas tuduhan yang serupa.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Mohd. Nor yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM3,000 tanpa cagaran dikenakan terhadap Syed Azman seperti yang ditetapkan mahkamah kepada tiga tertuduh tersebut sebelum ini.

Peguam Ariff Azami Hussin yang mewakili Syed Azman tidak membantah.

Mahkamah yang menerima cadangan pihak pendakwaan berhubung jaminan tersebut turut menetapkan 9 dan 10 Disember ini untuk perbicaraan.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan keempat-empat tertuduh terbabit dibicarakan bersama kes empat tertuduh lain yang turut didakwa pada 24 Julai lalu kerana melibatkan saksi-saksi yang sama.

Mereka adalah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim, 25; pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safuan Anang @ Talib, 24; sekretariat SMM, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 22; dan Presiden Persatuan Islam Universiti Malaya (UM), Mohamed Bukhari Mohamed Sufian, 23.

PRU-13: Dua lelaki mengaku bersalah pecahkan cermin bas

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

KLANG 23 Sept. - Dua lelaki didenda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan menghalang dan memecahkan cermin sebuah bas pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

Penjual telefon bimbit, Gew Chen Hsiang, 32, didenda RM700 atau penjara sebulan manakala juruteknik pendingin hawa, Chua Kian Boon, 21, didenda RM7,000 atau penjara 24 bulan.

Kedua-dua mereka sepatutnya mula dibicarakan hari ini tetapi mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Majistret Mohd. Fathly Yaacob menjatuhkan hukuman itu terhadap Chen Hsiang yang mengaku bersalah atas dakwaan menahan sebuah bas Wawasan Sutera bernombor pendaftaran WNL 3698 yang pada ketika itu dinaiki oleh 23 penumpang.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Kian Boon pula dijatuhi hukuman tersebut atas kesalahan telah menggunakan seketul batu dalam satu rusuhan sebagai senjata untuk memecahkan cermin bas yang sama.

Kesalahan yang didakwa dilakukan dengan beberapa individu yang masih bebas telah menyebabkan syarikat bas terbabit mengalami kerugian sebanyak RM30,000.

Pertuduhan terhadap Kian Boon dibuat mengikut Seksyen 148 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 3.45 petang, 5 Mei lalu di Jalan Sijangkang, Pandamaran dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abd. Latiff manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam V. Murali dan C. Y. Ng.

Kedua-dua tertuduh membayar denda masing-masing.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved