Isnin, 23 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Mohon masuk SMA lebih mudah

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanktn@gmail.com

ADNAN Yaakob menyampaikan anugerah kepada seorang pelajar cemerlang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ke-12 dan Pelancaran Sistem Pengurusan Sekolah Menengah Agama (SPSMA) di Dewan Jubli Perak, Kuantan, kelmarin. Turut sama Mohamad Safian Ismail (kiri).

KUANTAN 23 Sept. - Permohonan kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri Pahang kini lebih mudah selepas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melaksanakan sistem online.

Sistem yang dibangunkan dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai usaha memudahkan orang ramai membuat urusan dengan lebih pantas dan menjimatkan masa.

Aplikasi tersebut turut menyediakan perkhidmatan semakan status permohonan, semakan keputusan peperiksaan SMA dan peperiksaan sekolah termasuk semakan rayuan dan yuran pembelajaran yang boleh dilayari di laman web, esma.pahang.gov.my.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, usaha yang dilakukan kerajaan negeri merupakan kejayaan mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan membangunkan aplikasi berkenaan.

"Kejayaan ini diharap dapat membuka lebih banyak usaha inovatif dalam mengangkat JAIP sebagai sebuah institusi agama yang disegani," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ke-12 dan Pelancaran Sistem Pengurusan Sekolah Menengah Agama (SPSMA) di Dewan Jubli Perak, di sini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohamad Safian Ismail dan Pengarah JAIP, Datuk Mohamad Roslan Harun.

Dalam majlis sama, sebanyak 308 pelajar SMA, 62 guru serta 17 sekolah seluruh negeri menerima anugerah kecemerlangan pendidikan sebagai penghargaan pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu.

Menurut Adnan, pencapaian SMA kini amat membanggakan selepas bilangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semakin meningkat setiap tahun.

"Punca kejayaan ini juga disebabkan penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa serta guru-guru yang memainkan peranan berkesan dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna.

"Semoga pelajar dapat menjadikan SMA sebuah tempat menyemai fahaman cintakan Islam dengan memperluas ilmu dan pengetahuan masing-masing menerusi bahan bacaan dan menguasai teknologi maklumat," katanya.

Adik-beradik bertanding Ketua Pemuda UMNO Bahagian

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

KUANTAN 23 Sept. - Pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini pada pemilihan parti bulan depan menyaksikan Hazrin Basri, 39, dan adiknya Hamdie, 36, turut mencuba nasib.

Hazrin yang bertanding di Kuantan merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian itu manakala Hamdie yang bertanding di Indera Mahkota merupakan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian berkenaan.

Kedua-dua mereka merupakan lulusan Universiti Metropolitan Leeds, United Kingdom (UK) iaitu Hazrin bekas Pengasas Kelab UMNO Luar negara manakala adiknya bekas Ketua Pemuda UMNO luar negara di Leeds dan Bradford.

Hamdie berkata, keputusannya bertanding merebut jawatan itu bagi meneruskan sumbangan kepada parti terutama dalam menguatkan lagi kepimpinan Pemuda UMNO di Indera Mahkota.

"Selepas Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Datuk Suhaimi Sulong tidak lagi boleh mempertahankan jawatan itu kerana melepasi had umur, saya merasakan perlu mengambil peluang ini bagi mencuba nasib.

"Lagi pun, saya dan Hazrin sudah ada asas kukuh di Kuantan dan Indera Mahkota kerana arwah datuk saya, Sulaiman Ahmad merupakan antara pengasas UMNO di Beserah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai penglibatannya dan Hazrin dalam UMNO, Hamdie berkata, selepas pulang ke Malaysia abangnya itu telah memutuskan untuk tinggal di Kuantan dan mendaftarkan diri sebagai ahli UMNO di kawasan tersebut.

"Selepas saya pulang, saya juga tinggal di Kuantan, tetapi selepas mengambil kira pelbagai aspek saya mendaftarkan diri di Beserah di bawah Parlimen Indera Mahkota supaya tidak bersama-sama dengan Hazrin.

"Misi kami adalah sama iaitu ingin memberikan sumbangan kepada parti di Indera Mahkota manakala abang saya di Kuantan," katanya

Sementara itu, Hazrin berkata, niatnya bertanding Ketua Pemuda UMNO Bahagian pada pemilihan kali ini sama seperti adiknya, Hamdie iaitu untuk terus memberikan sumbangan kepada parti.

1MVRP perkukuh sosioekonomi bekas tentera

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

MARAN 23 Sept. - Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) yang dilaksanakan kerajaan mampu memperkukuhkan tahap sosioekonomi bekas tentera supaya kehidupan mereka lebih terjamin.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cawangan Pahang, Mejar Mohamad Rozali Abd. Rahman berkata, sebanyak tujuh inisiatif dilaksanakan untuk golongan itu iaitu program Penempatan Kerja Untuk Veteran serta Bimbingan Usahawan Veteran, Meningkatkan Penerimaan Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) oleh industri.

Tambahnya, program lain iaitu Kad Privilege 1Malaysia, Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia, Pembangunan Keluarga Veteran 1Malaysia serta Membaik Pulih dan Membina Rumah Veteran 1Malaysia turut memberi manfaat kepada golongan tersebut.

"Program berkenaan akan memberi faedah kepada semua veteran tentera termasuk 243,500 orang yang tidak berpencen di seluruh negara.

"Lebih menarik 80 peratus program memberi faedah kepada veteran tentera yang tidak berpencen iaitu membabitkan bantuan sara hidup, bantuan persekolahan dan institusi pengajian tinggi awam, bantuan peralatan pesakit dan bencana alam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen cawangan Pahang di sini baru-baru ini.

Mohamad Rozali berkata, mana-mana veteran tentera yang berminat dalam perniagaan boleh memohon kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dengan sokongan Perhebat bagi tujuan menambah modal perniagaan.

Menurutnya, program Pembangunan Keluarga Veteran 1Malaysia diwujudkan untuk pembangunan sosioekonomi keluarga veteran ATM dalam membolehkan mereka menjana pendapatan lebih baik dan stabil.

"Langkah itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah program 1Azam," katanya.

Beliau memberitahu, seramai 7,000 bekas tentera tidak berpencen di negeri ini telah menerima bayaran RM1,000 yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2013 tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved