Isnin, 23 September 2013

Utusan Online - Megabait


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Megabait


Galaxy S4 Aktive

Posted: 23 Sep 2013 01:21 AM PDT

Oleh Maszureen Hadzman

SAMSUNG Elektronik Malaysia telah mengumumkan kedatangan Galaxy S4 Aktive yang direka khas untuk meningkatkan pengalaman hidup kepada pengguna aktif yang mahu terus berhubung sambil meneroka persekitaran.

Menurut Pengarah Urusan Samsung Elektronik Malaysia, Kwon Jae Hoon, Galaxy S4 Aktive telah direka khusus untuk pengguna yang mahu menikmati suasana di luar rumah.

Peranti itu sesuai untuk mereka yang suka mengembara dan meneroka menerusi rekaan yang kukuh.

Tambahnya, menyedari tuntutan gaya hidup yang dinamik, Galaxy S4 Aktive direkabentuk untuk memastikan pengguna aktif dapat meneroka dan menyelami dunia di sekeliling mereka.

Dengan ciri-ciri prosesor 1.9 GHz dwi-teras dan bateri 2,600mAh, peranti tersebut boleh berfungsi dalam tugasan yang lasak tetapi dengan mudah dan tepat.

Dengan warna cerah dan resolusi menakjubkan paparan skrin LCD 5.0" definsi tinggi penuh TFT screen (443 ppi) bermain permainan video terbaharu atau menonton pastinya satu pengalaman menakjubkan

Dengan Glove Touch, penggunaan dalam cuaca sejuk pastinya tidak lagi menjadi masalah, memandangkan sentuhan menggunakan sarung tangan tidak begitu merumitkan .

Pada masa sama, kamera lapan megapiksel membolehkan penggunaan yang lebih menarik manakala penggunaan Aqua Mode membolehkan pengguna merakamkan gambar pegun dan video di bawah permukaan air.

Butang suara di bahagian tepi boleh digunakan sebagai butang kamera membolehkan pengguna memanfaatkan aplikasinya dengan pantas.

Samsung Galaxy S4 Active memfokuskan kepada kalis air dan debu (IP67).

Perkara ini dijayakan oleh reka bentuk yang menutup pelbagai ruang, membolehkan peranti tersebut dilindungi walau berada dia dalam air sehingga satu meter selama 30 minit.

Peranti ini didatangkan dengan sokongan audio jack kalis air yang membolehkan pengguna merakamkan gambar dalam air.

Seperti sedia maklum, IP adalah singkatan Perlindungan Antarabangsa terhadap kemasukan objek asing yang kukuh. Angka '6' mewakili perlindungan yang lengkap terhadap kemasukan debu manakala '7' mewakili perlindungan terhadap rendaman air sementara sehingga kedalaman satu meter selama 30 minit dan kemasukan berbahaya air.

Untuk kandungan multimedia dan maklumat yang lebih terperinci mengenai Samsung GALAXY S4 Aktive, sila layari www.samsung.com

Olympus EM-1

Posted: 23 Sep 2013 01:21 AM PDT

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

Olympus EM-1 bukanlah pengganti EM-5 namun dia adalah pengganti Siri E Olympus.

KETIKA gergasi pembuat kamera berlumba-lumba memperhebatkan resolusi sedia ada - sehingga ada kamera amatur dipertingkatkan sampai 24 megapiksel, satu angka yang amat tinggi bagi sebuah kamera amatur - Olympus dalam diam merevolusikan pendekatan fotografi masa kini.

Dengan hanya pakej kecil, tanpa perlu berbangga dengan resolusi tinggi, Olympus menerjah pasaran awal September ini dengan model OM-D EM-1. Satu model yang memiliki pakej sepenuhnya untuk fotografi masa kini.

Bayangkan anda bekerja dengan kamera yang tidak terlalu besar dan juga tidak terlalu kecil tanpa perlu mempunyai komputer riba atau komputer peribadi (PC) untuk melakukan suntingan atau olahan gambar, tetapi hasilnya menghampiri tahap profesional.

Malah, kamera itu sendiri sudah menghampiri tahap profesional di mana rakaman letusan RAW mampu dilakukan dengan 6.5 bingkai sesaat dengan 50 bingkai sebagai penampan (buffer) dan ini dilakukan oleh kamera yang mempunyai resolusi 16.3 megapiksel, satu resolusi yang amat tinggi pada masa kini.

Ketika media dibawa menjelajah kamera ini awal September lalu, kami teruja dengan kemampuan pakej EM-1 ini.

Antara yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kamera profesional ialah EM-1 direka bentuk untuk kalis cuaca dan juga tahan beku sehingga negatif 10 darjah Celsius.

Dengan kemampuan itu, mereka yang menggunakan EM-1 pasti akan tergesa-gesa mencari baju hujan, bukan untuk dikenakan pada kamera itu tetapi untuk diri sendiri.

Lebih menarik, kebanyakan lensa Micro Four Thirds (m4/3) Olympus adalah kalis cuaca dan membolehkan pemilik kamera model Olympus kalis cuaca yang lain menggunakannya dengan mudah dan selesa ketika hujan dan sebagainya.

Ekoran Olympus sudah mempunyai sistem 4/3 mereka melalui Siri E, jadi pemilik model jaringan OM-D, Siri E dan Siri PEN boleh menggunakan puluhan lensa 4/3 Olympus termasuk pelbagai lensa m4/3 lain dari Panasonic, Sigma, Tamron, Samyang dan Voigtlander.

Selain kalis cuaca dan tahan beku, Olympus EM-1 ini juga dipertingkatkan penggunaannya dengan penghantaran imej tanpa wayar, WiFi sambungan terus ke peranti mudah alih sama ada menggunakan sistem operasi iOS atau Android.

Menariknya, setiap imej yang dirakamkan dapat diperhatikan terus di skrin peranti mudah alih. Malah kamera itu juga boleh dikawal dengan menggunakan peranti mudah alih itu secara terus.

Olympus EM-1 yang dilengkapi enjin pemprosesan imej terbaru Olympus, TruePic VII dikatakan mampu menjana imej berkualiti tinggi walaupun dalam keadaan cahaya suram.

Boleh merakamkan gambar dalam ISO dari 200 hingga ISO 25,600, EM-1 menyaingi lawan terdekat dengan kualiti imej yang lebih baik.

Dari segi pemfokusan pula, EM-1 dibangunkan dengan fokus duaan auto 81 titik kontras dan pengesanan fasa sensor 37 titik yang dipadankan bersama semasa rakaman dilakukan yang membolehkan lensa memfokus dengan tepat dan cepat.

Malah, EM-1 dikatakan mempunyai kadar fokus paling cepat dalam kategorinya ekoran penggunaan fokus duaan titik kontras dan pengesanan fasa sensor itu, lebih pantas daripada saingan kamera profesional yang lain.

Selain itu, penggunaan lensa m4/3 Olympus yang terbaharu akan mengurangkan gegaran ketika rakaman dilakukan dalam kelajuan pengatup yang rendah ekoran reka bentuk lima paksi penstabil imej (IS) dan ditambah Multi Motion IS untuk rakaman video.

Jangan terkejut jika kamera terbaharu ini juga dilengkapi dengan kelajuan segerak flash 1/320s, lebih laju berbanding kebanyakan kamera profesional lain sekitar 1/250s. Malah ada yang masih pada tahap 1/60s.

Olympus juga merupakan perintis kepada penuras seni yang terbina dalam kamera. Malah penggunaannya kini melampaui rakaman video yang membolehkan rakaman dilakukan dengan tambahan pelbagai penuras seni yang disediakan.

Apa yang menarik pada EM-1 ini ialah terdapat fungsi Color Creator di mana semasa rakaman dilakukan, jurufoto boleh melakukan suntingan masa nyata untuk mengubah warna.

Hal ini tidak ada bezanya dengan ubahan warna pada tetapan kamera. Namun pada EM-1, anda boleh mengubah dan melihat sendiri perubahan pada masa nyata.

Bagi pendapat peribadi saya, kamera ini amat hebat untuk digunakan dari aspek fotografi. Segala kelengkapan dan tetapan yang dibangunkan Olympus untuk EM-1 bertepatan dengan kehendak jurufoto masa kini.

Paling menarik, ciri-ciri bina dalam yang dipertingkatkan termasuk suntingan dalam kamera yang mampu memberikan kebebasan kepada jurufoto berkarya tanpa perlu terikat dengan perisian suntingan dalam PC.

Ketika saya diberi peluang mencuba EM-1, kebetulan ketika itu pesta bunga api di Putrajaya sedang dijalankan. Dengan kemudahan selang masa (time interval) satu saat hingga 24 jam dengan 999 rakaman, saya mampu menghasilkan rakaman video selang masa bunga api dan dihasilkan dalam kamera sahaja.

Secara keseluruhan, kamera ini mempunyai pakej lengkap bagi seorang jurufoto tidak kira apa juga genre yang disertai. Daripada seorang jurufoto fesyen yang membolehkan penggunaan flash segerak luaran ke wartawan foto yang mahu merakamkan aksi bola sepak dengan 6.5 bingkai sesaat melalui fokus auto termasuk seorang jurufoto jalanan yang mahu merakamkan suasana jalanan tanpa memperlihatkan kamera yang besar, semua boleh dilakukan dalam sebuah pakej kecil dengan berat hanya 425 gram.

Namun, tidak seperti Panasonic, Olympus tidak memperhebatkan fungsi rakaman video di mana kualiti paling tingginya hanyalah 1080/30p definisi tinggi namun disediakan lubang bicu untuk mikrofon luaran disambungkan ke kamera ini.

Lebih banyak informasi Olympus OM-D EM-1 melalui pautan ini www.olympusimage.com.my.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved