Isnin, 23 September 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Siapa mengalah, siapa bertahan

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Tempoh bertenang 72 jam akan tamat pada pukul 5 petang hari ini. Siapakah daripada senarai khususnya 261 mereka yang menyerahkan borang pencalonan peringkat UMNO Pusat Sabtu lalu, bakal menarik diri akan diketahui selepas 5 petang ini. Dan berkemungkinan diumumkan secara rasmi esok (Rabu 25 September).

Adakah terdapat calon Naib Presiden daripada enam orang akan menarik balik pencalonan mereka? Tetapi bagi yang mahu menjadikan kerjaya politik darah daging mereka akan terus bertahan dan kekal dalam senarai sehingga ke hujung bulan ini dan 19 Oktober nanti.

Kelmarin, Ahad 22 September, penulis sempat menghubungi seorang pegawai di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn mengenai perkembangan semasa pencalonan.

Katanya: "Saya terima banyak panggilan daripada individu tentang bagaimana cara hendak menarik diri. Ini bukan setakat yang bertanding di Pusat sahaja (MT dan sayap-sayap parti) tetapi banyak juga di peringkat bahagian.

"Cara nak tarik diri mudah sahaja, iaitu sama ada anda menelefon ibu pejabat UMNO memaklumkannya. Atau bercakap secara terbuka kepada media dan disiarkan percakapan itu. Jika itu dibuat, penarikan diri diterima secara rasmi oleh ibu pejabat parti," kata pegawai itu kepada penulis.

Apa pun kepada yang empunya diri, tanyalah diri sendiri adakah anda mahu mencapai sasaran selepas melalui pelbagai perjuangan dan persaingan.

Bagi kebanyakan menteri UMNO, mereka akan menawarkan diri untuk kerusi-kerusi Majlis Tertinggi, badan tertinggi pentadbiran parti itu. Jika seorang menteri gagal memenangi kerusi di dalamnya, maka kedudukan beliau dalam Kabinet hanya menunggu masa sahaja.

Secara umumnya, satu atau dua dekad lalu, andaian ini boleh dianggap benar. Sebagai satu amalan, seorang yang bukan ahli MT jarang diberi peluang untuk berkhidmat dalam Kabinet. Dalam Kabinet Pak Lah, terdapat hanya empat menteri UMNO yang bukan ahli MT parti. MT adalah satu forum di mana dasar-dasar parti yang penting dibincangkan.

Kedudukan menteri-menteri seperti Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Dr. Rais Yatim merupakan pengecualian daripada kelaziman ini. Ini kerana selepas tewas pertandingan merebut kedudukan Naib Presiden pada tahun 2000, kedua-dua menteri ini tidak lagi menjadi ahli MT sejak 1999 hingga 2004.

Pernah di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa menteri yang tewas atau tidak bertanding dalam pemilihan parti pada Mac 2009, telah dilantik oleh Presiden untuk duduk di dalam MT. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Rais dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, antara yang termasuk dalam kategori ini.

Baik Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Najib tidak menganggap ia mustahak untuk memberi isyarat kepada menteri-menteri bukan ahli MT, iaitu jika mereka mahu kekal sebagai anggota Kabinet, mereka mesti menang kerusi MT.

Mungkin pemimpin-pemimpin ini sedar bahawa ahli-ahli Kabinet yang telah cuba dan gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan kedudukan dalam MT, keperluan untuk menggantikan mereka tidak timbul.

Sebaliknya, jika ini dijadikan dasar, ia mungkin keras dan boleh menjejaskan gabungan yang sihat, yang benar-benar berkebolehan. Tetapi corak ini nampaknya tidak diguna pakai dalam proses lantikan menteri-menteri daripada parti-parti komponen BN lain.

Semua menteri mewakili MCA, MIC, SUPP dan lain-lain dalam keluarga BN memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.

Tanpa segan-silu, ia perlu dinyatakan, tanpa kedudukan parti yang diperlukan, menteri-menteri bukan ahli MT UMNO akan terasa janggal bila menghadapi isu-isu politik yang membabitkan orang Melayu. Menteri-menteri dalam kalangan ini, diakui tidak akan mencapai tahap optimum dalam kepimpinan kerajaan, walaupun cemerlang dalam portfolio tertentu.

Seseorang perlu menjadi orang penting dalam parti jika beliau ingin menerajui kerajaan.

Pencapaian menjadi seorang menteri sudah memadai bagi ahli-ahli politik biasa. Tetapi sekiranya seseorang itu berkaliber, terkenal dalam kalangan akar umbi dengan mempunyai kemahiran dalam komunikasi yang berkesan, pemidato yang hebat dan dilihat sebagai seorang pekerja atau pembekal perkhidmatan, maka peluang untuk menaiki tangga politik dijangka berhasil.

Ketangkasan politik mesti wujud di dalam diri anda.

Sudah tentu, yang ironinya jika pekerjaan sebagai ahli politik itu membebankan, mengapa 261 bakal calon mahu terus menggapai cita-cita dalam politik? Dan terus menceburi politik?

Satu soalan yang baik, tetapi ia mungkin akan peroleh jawapan yang sebaliknya kerana ia tidak mempunyai penjelasan yang rasional. Boleh dikatakan ia mempunyai tarikan yang tersendiri.

Jika anda mempunyai adrenalin politik, ia akan mengalir keluar untuk mencari tahap dan bentuknya sendiri.

Walau apa pun, seseorang itu akan terjerumus dalam sistemnya selepas beberapa ketika. Biasanya, seseorang ahli politik dengan bersahaja akan berkata, "Ia adalah dari gerak hati".

Edmund Burke seperti yang dipetik dari The Oxford Dictionary of Quotations (3rd.Edn) 1980, mempunyai alasan yang baik apabila beliau berkata: "Setiap ahli politik kena berkorban kepada limpah kurnia Tuhan dan mematuhi pemikiran/kemunasabahan (Every politician ought to sacrifice to the grace, and to join compliance with reason).

Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan orang ramai yang kadang kala berkata bahawa politik itu adalah perkara sambilan bagi seseorang yang meminati bidang politik.

Dia sewajarnya seorang yang mempunyai sifat reaksioner untuk bertahan dalam keperitan kerja-kerja rutinnya.

Cooling off period akan tamat 5 petang ini. Siapakah ahli politik yang mendambakan apa yang dihasratkan oleh Burke.

Dan siapakah yang akan mengalah meskipun keterbukaan UMNO menerusi pindaan perlembagaan 2009 yang menghapuskan kuota kelayakan, telah membuka peluang dan ruang selebar-lebarnya untuk mereka membuktikan diri sebagai ahli politik tulen.

Pas jangan habiskan usia perjuangan dengan 'tahalluf siasi' bersama pakatan

Posted: 23 Sep 2013 12:14 PM PDT

DARI JENDELA TOK KI

PAS dengan kaedah tahalluf siasi-nya banyak mengundang kritik. Ternyata Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang di samping berdepan dengan masalah ideologikal dan hala tuju perjuangan.

Pas mendukung konsep Negara Islam dan Hukumah Islamiah. DAP masih tegar dengan konsep sosialis demokratiknya sementara Anwar Ibrahim dilihat cenderung kepada aliran liberalisme dan pluralisme agama.

Dalam Multaqa Ulama Pas di Alor Setar baru-baru ini terungkap resolusi supaya Pas menyemak kembali tahalluf siasi dengan pakatan parti yang lain.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan mencadangkan wajar tahalluf siasi dikaji semula. Ia adalah haram untuk diteruskan sekiranya mendatangkan keburukan atau kemudaratan terhadap perjuangan Islam.

Sepatutnya kajian dan unjuran terhadap tahalluf ini dikaji sejak awal lagi. Oleh kerana Pas tidak mengambil sikap terbuka terhadap kritik dan analisis menyebabkan banyak asas fundamental Islam tidak diberi perhatian.

Pas terpaksa meraikan kehendak Anwar dan DAP atas nama politik dan strategi. Tetapi strategi yang diambil oleh Pas merosakkan imej parti itu sendiri. Isu kalimah Allah yang diperjuangkan oleh Anwar menyebabkan Hadi Awang terjebak dan Pas menghadapi dilema. Bagaimana Majlis Syura Pas yang merupakan lembaga tertinggi memandu dasar Pas dibelakangkan Hadi.

Kelompok kiri dan sosialis yang bersama dengan pakatan menjadi bahan kritik Hadi sebelum pilihan raya. Pertandingan beberapa penjuru calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Pas di DUN Kota Damansara adalah manifestasi pertembungan ideologi yang terjadi.

Tidak banyak yang Pas dapat lakukan sebagai sebuah wadah politik yang tentunya tidak melupakan aspek dakwah dan tarbiyyah terhadap kelompok-kelompok dalam pakatan.

Kalau Pengerusi DAP Karpal Singh tetap dengan sikapnya , Langkah mayat aku dulu kalau nak laksanakan negara Islam" adalah testimoni betapa pendukung faham sosialis demokratik itu tidak meraikan Islam.

Kelompok DAP tentu tahu bahawa Islam bukan sekadar suatu sistem kepercayaan, ia adalah suatu cara hidup dan juga suatu tamadun." Mereka tahu suatu ketika dulu Barat terhutang ilmu terhadap tamadun Islam untuk maju terutama dalam bidang sains dan teknologi. Kalau begitu apa kepentingan Pas bersama-sama dengan perjuangan DAP.

Hal yang sama dengan Anwar dan parti PKRnya.

Mungkin Pas bertanggapan Anwar adalah bekas Presiden ABIM dan teguh dengan dukungan pemikiran Islamnya.

Mengapa Pas tidak terbuka untuk mengkaji integriti Anwar dalam kepimpinan dan pemikirannya. Kecenderungan Anwar terhadap pluralisme agama seharusnya menimbulkan keinsafan kepada Pas bahawa demi politik sikap Anwar sering berubah-ubah.

Bila Anwar mempunyai hubungan baik dengan tokoh-tokoh Yahudi dan ahli Kongres Amerika Syarikat terutama semasa beliau menjawat Pengarah Foundation of the Futures 2006-2008, Pas tidak ambil kisah pun.

Bila Khalid Jaafar dari Institut Kajian Dasar dan orang kuat Anwar baru-baru ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur memberi makna tentang kebebasan yang tidak berasaskan syariat, Pas belum berkata apa-apa.

Bersangka baik terhadap seseorang adalah suatu perkara yang dituntut oleh agama. Tetapi sangka baik yang melulu tanpa usul periksa adalah ditegah oleh agama. Ia boleh membawa kepada musibah terhadap Islam dan umat itu sendiri.

Oleh itu mengkaji semula tahalluf siasi tidaklah terlalu lewat tetapi perlu ada keihklasan dan kesungguhan. Harus dikaji secara mendalam maslahah DAP berbaik dengan Pas walaupun DAP tahu perjuangan Pas mendukung risalah Islam.

Harus juga dikaji mengapa DAP ingin melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sedangkan Karpal Singh pernah membuat kenyataan di Parlimen bahawa Anwar adalah kaki liwat".

Karpal Singh dilihat amat mementingkan integriti tetapi mengapa dalam hal Anwar, pendiriannya berlainan.

Pas juga jangan lokek untuk mengkaji mengapa terlalu ramai kawan Anwar meninggalkannya. Isu mereka dibeli oleh Anwar adalah helah politik Anwar. Dari situ Pas akan akhirnya mempunyai maklumat yang baik untuk mengambil sikap dan membuat keputusan.

Tapi sayangnya, Hadi baru-baru ini berkata, Pas tidak melihat sebarang kemungkinan untuk keluar daripada pakatan pembangkang, sebaliknya mahu memperkuatkan lagi pakatan politik tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved