Sabtu, 21 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Aspirasi Top 5 2015 dilancar

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir bersalaman dengan sebahagian warga pendidik Kedah dalam majlis Perjumpaan Bersama Warga Pendidikan Kedah di Alor Setar, kelmarin. - UTUSAN/Kamal Basir

ALOR SETAR 20 Sept. - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir semalam melancarkan program pendidikan Aspirasi Top 5 2015 dalam usaha meletakkan prestasi negeri di kalangan kelompok lima cemerlang dalam pencapaian gred purata peperiksaan awam (GPPA) menjelang 2015.

Mukhriz melancarkan program tersebut sempena majlis Perjumpaan Bersama Warga Pendidikan Kedah di Wisma Darul Aman di sini.

Menurut beliau, inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk melonjak negeri ini memaparkan kesungguhan dan komitmen jitu untuk bersama-sama menjayakan hasrat kerajaan negeri.

"Kedah suatu ketika dahulu cemerlang dalam pendidikan dan saya percaya usaha ini mampu melonjakkan Kedah kembali cemerlang dalam bidang ini.

"Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong dan memberi kerjasama yang tidak berbelah-bahagi kepada usaha memartabatkan pendidikan di negeri ini selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional Kedah yang akan sentiasa berusaha meletakkan bidang ini dan pembangunan modal insan di tahap lebih baik," katanya dalam majlis tersebut.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain; Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah dan Pengarah Pendidikan negeri, Mansor Lat.

Dalam majlis itu, Mukhriz turut melahirkan hasrat golongan pelajar generasi Ulu Albab dapat dilahirkan di negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha ke arah pembinaan generasi Ulu Albab yang ditafsirkan sebagai kumpulan manusia yang mempunyai pemikiran bersih dan sempurna sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara secara betul.

"Generasi Ulul Albab inilah yang sewajarnya dilahirkan sebagai generasi harapan negara," katanya.

Beliau juga menyeru semua warga pendidikan negeri ini berusaha keras meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini demi menjayakan aspirasi kerajaan.

"Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tonggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah.

"Para pendidik memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang berpendidikan, bermoral tinggi dan dipenuhi dalam dirinya nilai-nilai yang murni," katanya.

Zambry gesa calon berkempen secara sihat

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Zambry Abd. Kadir

GERIK 20 Sept. - Calon-calon yang bertanding dalam mesyuarat UMNO bahagian di negeri ini bulan depan dinasihatkan berkempen secara sihat serta mengelak daripada memporak-perandakan parti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau berharap calon yang bertanding tidak membawa isu yang boleh merosakkan hubungan kekeluargaan dalam parti.

"Saya sudah tegaskan berulang kali supaya bertanding seperti sebuah keluarga, kerana yang menang adalah sebahagian daripada keluarga UMNO, begitu juga yang kalah, mereka adalah keluarga parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kem Pelancongan Taman Negeri Royal Belum dan Kampung Pelancongan, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia menjangkakan sekurang-kurangnya sebanyak 13 Ketua UMNO Bahagian di negeri ini dicabar pada pemilihan parti bulan depan.

Bahagian tersebut ialah Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Pasir Salak, Teluk Intan, Beruas, Parit, Batu Gajah, Gopeng, Parit Buntar, Bagan Serai, Sungai Siput, Padang Rengas dan Larut.

Dalam pada itu, Zambry menjangkakan saingan yang menarik berlaku dalam mesyuarat UMNO bahagian negeri itu kali ini.

"Maklumat awal yang saya terima, memang bakal berlaku pertandingan di peringkat bahagian namun tidak semua Ketua Bahagian akan dicabar.

"Jumlah sebenar mereka yang akan bertanding hanya akan diketahui Sabtu ini apabila calon menyerahkan borang untuk bertanding," katanya.

Sementara itu, mengulas calon yang bertanding atas sebab sekadar mencuba, Zambry meminta mereka menilai terlebih dahulu kelayakan masing-masing sebelum membuat keputusan untuk bertanding.

"Ini (pemilihan) bukan main-main atau untuk tujuan seronok-seronok. Jangan ambil kesempatan daripada dasar keterbukaan parti untuk mereka bertanding kerana berseronok-seronok.

"Memilih pemimpin adalah perkara serius, jadi ahli UMNO peringkat akar umbi harus menilai siapa tokoh yang akan mereka pilih nanti," katanya.

Menurut beliau, ahli UNMO harus menolak calon yang mengukur diri mereka atas dasar wang semata-mata kerana tidak mahu budaya politik wang berterusan sehingga ke akar umbi.

Graduan wanita disaran jadi usahawan

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

BUKIT MERTAJAM 20 Sept. - Graduan wanita disaran tidak terlalu bergantung kepada kerjaya makan gaji sebaliknya digalakkan menceburi bidang keusahawanan yang menjanjikan pulangan lebih lumayan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Che Azizah Che Rashid berkata, kerajaan menyediakan pelbagai insentif membantu golongan wanita menceburi bidang perniagaan sama ada berskala kecil atau besar.

"Malah, peluang keusahawanan dalam bidang pertanian juga terbuka luas kepada graduan wanita untuk diceburi mereka sama seperti graduan lelaki.

"Masa depan sebagai usahawan ternyata cerah kepada wanita dan mereka tidak perlu terlalu memandang kerjaya makan gaji kerana pulangannya lebih lumayan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis penutup Seminar Melangkah Ke Alam Kerjaya anjuran JPW Pulau Pinang di sini semalam.

Kira-kira 250 peserta terdiri daripada penuntut tahun akhir beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini menyertai seminar selama sehari itu.

Menurut Che Azizah, penganjuran seminar itu bertujuan mendedahkan peserta dengan persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan termasuk skil komunikasi dan penonjolan diri mereka.

"Graduan yang akan memasuki alam pekerjaan harus memiliki nilai tambah yang mampu 'menjual' diri mereka di mata majikan yang tidak akan diperoleh dalam kuliah di universiti," katanya.

"Kemahiran berbahasa serta skil komunikasi amat penting bagi graduan selain imej dan penampilan yang benar-benar mencerminkan keperibadian penuntut institusi pengajian tinggi," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved