Sabtu, 21 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Najib, empat lagi Ketua Bahagian tidak dicabar

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 21 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengekalkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pekan berikutan tiada pencalonan lain diterima selepas proses pendaftaran ditutup pukul 5 petang ini.

Najib yang juga Presiden UMNO merupakan Ketua UMNO Bahagian Pekan sejak September 1982.

Dalam proses pendaftaran calon hari ini, Najib menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahan jawatan itu di Bangunan UMNO Pekan di sini pada pukul 10.10 pagi menerusi Datuk Zainal Abidin Pa' Wan yang merupakan wakil peribadi beliau di Parlimen Pekan.

Borang itu diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemilihan UMNO Negeri, Datuk Seri Abdul Jabbar Ibrahim.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun menang tanpa bertanding selepas tiada calon lain menawarkan diri untuk jawatan berkenaan.

Sebelum ini, jawatan itu disandang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ishak Muhammad.

Selain Najib, empat lagi penyandang Ketua UMNO Bahagian di negeri ini turut tidak dicabar iaitu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob (Bentong); Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (Rompin), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin (Temerloh).

Walau bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Bera yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan ditentang bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Azizan Che Omar yang merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan sebelum ini.

Turut mencuri tumpuan, pertandingan di UMNO Bahagian Indera Mahkota yang menyaksikan tujuh calon menawarkan diri merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved