Sabtu, 21 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Zakat MAINJ capai RM135 juta

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

PAGOH 20 Sept. - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menjangkakan hasil kutipan zakat negeri ini meningkat berbanding tahun lalu berdasarkan pungutan yang sudah diperoleh setakat hari ini iaitu berjumlah RM135 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Razak Hassan (gambar) berkata, keyakinan tersebut berasaskan usaha bertemu dengan pengarah syarikat yang diperhebatkan dalam memberi kesedaran mengenai tanggungjawab menunaikan kewajipan itu.

"Dalam masa sama, MAINJ juga mempermudahkan mereka dengan menyediakan kaunter bagi membolehkan proses pembayaran zakat berjalan lancar," katanya dalam sidang akhbar selepas program Briged Ansor MAINJ Bersama Penduduk Kampung Raja, di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kutipan zakat tahun lalu sebanyak RM170 juta dan daripada jumlah itu sebanyak RM120 juta sudah dibelanjakan untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Menurutnya, perbezaan kutipan zakat amat ketara dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini misalnya jumlah zakat yang berjaya dikutip pada 2011 hanya RM50 juta.

"Peningkatan ini berikutan pertambahan bilangan syarikat korporat yang mula mempunyai kesedaran dan berminat membayar zakat hasil keuntungan syarikat selain promosi yang dilakukan pihak kami," katanya.

Mengenai keengganan segelintir umat Islam membayar zakat, Abdul Razak berkata, keadaan itu berpunca daripada kurang kefahaman tentang tanggungjawab tersebut menyebabkan mereka memilih membayar sendiri kepada pengutip zakat yang tidak dilantik MAINJ.

Melalui kutipan zakat itu, katanya, pelbagai bantuan diberikan kepada lapan golongan yang dikategorikan asnaf antaranya rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang, baik pulih rumah dan pendahuluan melanjutkan pengajian.

Sebagai contoh, jelasnya, setiap tahun MAINJ memperuntuk sebanyak RM18 juta kepada hampir 3,000 pesakit buah pinggang melakukan rawatan dialisis.

Mengenai program itu, Abdul Razak berkata, program yang dilancarkan tahun lalu tersebut bercorak kemasyarakatan dengan menubuhkan pasukan Briged Ansor untuk turun ke padang bertemu masyarakat.

"Pelbagai acara yang dilakukan seperti bergotong-royong, tazkirah dan menjejak golongan asnaf. Dalam program kelima tahun ini, kita berjaya menjejaki 30 asnaf dan mereka diberikan bantuan termasuk baik pulih rumah berjumlah RM10,000. Mereka yang berpendapatan RM700 ke bawah layak digelar asnaf dan menerima bantuan zakat," katanya.

Empat wakil Johor rebut kerusi Exco Pemuda

Posted: 20 Sep 2013 11:29 AM PDT

Azizul Kamar Abdul Rahman (berdiri tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada keluarga Paiman Supian di Batu Pahat, kelmarin.

BATU PAHAT 20 Sept. - Empat wakil daripada Pergerakan Pemuda UMNO Johor mengesahkan akan mewakili negeri itu bagi merebut kerusi Exco Pemuda pada pemilihan Oktober ini.

Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat, Azizul Kamar Abdul Rahman; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahrin Md. Jamaludin; Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong, Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Sheikh Ahmad Nafiq Al-Firdaous.

Daripada empat nama itu, Shahrin akan mempertahankan kerusi Exco Pemuda yang dimenanginya pada pemilihan lalu manakala tiga lagi merupakan muka baharu yang akan memberikan saingan.

Azizul Kamar berkata, keputusan bertanding kerusi Exco Pemuda itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

"Selepas mengadakan pertemuan dengan akar umbi sebelum ini, keempat-empat nama itu termasuk saya telah membuat keputusan akan bertanding bagi merebut kerusi Exco," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan untuk mangsa bencana di sini semalam.

Sementara itu, mengenai penyampaian sumbangan tersebut, Azizul berkata, bantuan berkenaan diberikan bagi meringankan pasangan suami isteri yang terdiri daripada warga emas selepas rumah mereka dihempap pokok kelapa sawit usang pada awal bulan lalu.

"Dalam kejadian itu, rumah yang dihuni Paiman Supian, 85, dan isterinya Sarah Karim, 70, rosak teruk dan memerlukan kos yang tinggi untuk diperbaiki. Disebabkan itu, Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat terpanggil bagi memberi bantuan.

"Lebih menyedihkan apabila rumah itu turut dihuni oleh anak saudara pasangan berkenaan yang tidak mempunyai sebelah kaki selepas dipotong akibat penyakit diabetes," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved