Sabtu, 21 September 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Sindiket buat bom tumpas

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
pengarang@utusan.com.my

Ahmad Ibrahim (kiri) dan Nashir Ya (dua dari kiri) bersama anggotanya menunjukkan bom buatan sendiri yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Alor Setar, Kedah, semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 21 Sept. - Polis Kedah menahan sembilan lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun kerana disyaki terlibat dengan sindiket penghasilan bom tangan dalam serbuan di dua lokasi di Sungai Petani semalam.

Dalam serbuan pukul 11.30 pagi dan 2.30 petang itu polis turut merampas 10 bom buatan sendiri termasuk tiga yang telah siap untuk digunakan.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek berusia antara 14 dan 49 tahun itu ditahan di sebuah bengkel perusahaan kecil dan sederhana termasuk dua daripada mereka di sebuah rumah.

Kata beliau, bom yang dihasilkan sindiket itu boleh digunakan untuk membunuh dan sekiranya diletakkan di bawah kenderaan dipercayai boleh melambung setinggi dua ke tiga tingkat bangunan.

"Kita masih menyiasat sejauh mana mereka terlibat dengan kes senjata api atau letupan dan siasat sama ada mereka terlibat dengan kes kematian seorang wanita di Sungai Petani tahun lalu yang maut selepas menerima bungkusan berisi bom di hadapan rumahnya.

"Kita juga akan siasat sama ada mereka ini terlibat dengan beberapa kes jenayah di negeri ini atau negeri lain," katanya dalam sidang akhbar hari ini yang turut dihadiri Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Nashir Ya.

Ahmad berkata, peralatan lain yang digunakan untuk membuat bom yang dianggarkan berat setiap satu kira-kira 500 gram turut dirampas.

"Suspek remaja yang berusia 14 tahun dipercayai tidak bersekolah dan kita menyiasat motif dia terjebak dalam kegiatan ini. Mereka direman selama lima hari mulai hari ini untuk membantu siasatan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Hukuman Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang sah," katanya.

Tambah beliau, menerusi Op Cantas Khas, polis akan menjalankan pemeriksaan secara teliti terhadap orang ramai yang keluar masuk dari negara ini terutama hari minggu.

"Bermula semalam, dalam tempoh dua minggu ini, Polis Kedah telah menambah anggota untuk melakukan pemeriksaan berhampiran pintu sempadan Bukit Kayu Hitam bagi menahan individu yang terlibat dalam jenayah," katanya.

Gadis ditemui lemas

Posted: 21 Sep 2013 10:46 AM PDT

KOTA BHARU 21 Sept. - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kelantan berhampiran Pangkalan Pasir di Kampung Sungai Budor dekat sini hari ini.

Mayat Siti Fatimah Zakaria (gambar) ditemui orang ramai yang tinggal berhampiran lokasi kejadian kira-kira pukul 1.15 petang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian remaja terbabit dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Cina kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya, mengikut maklumat yang diperoleh daripada keluarga, Siti Fatimah dipercayai mengalami masalah mental.

"Pemeriksaan awal yang dijalankan ke atas tubuh remaja ini mendapati tiada sebarang kesan kecederaan.

"Mayatnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainad II untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu seorang saksi, Wan Karzaman Wan Mohammed, 52, berkata, ketika kejadian dia sedang makan tengah hari di sebuah kedai tidak jauh dari lokasi kejadian.

Katanya, tiba-tiba seorang pekerja asing datang meminta bantuan selepas menemui mayat remaja berkenaan.

"Sebaik sahaja remaja itu di bawa naik ke tebing, saya cuba memberikan bantuan awal untuk menyelamatkannya namun gagal," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved